PENGIKTIRAFAN baharu terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) memohon tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA) sekali lagi mencetuskan polemik hangat dalam masyarakat.
Langkah ini juga sebenarnya memakan diri, yakni tidak berkesudahan seperti yang diinginkan pemerintah, agar diterima baik semua pihak yang diberikan pengiktirafan itu.
Hal ini kerana langkah tersebut masih menerima tentangan kuat, termasuk daripada pihak yang sepatutnya menyambut baik pengiktirafan itu, khususnya SMPC.
Pada masa sama, sekolah dan institusi tahfiz turut dikaitkan secara tiba-tiba dalam polemik berkaitan pengiktirafan institusi pendidikan di luar sistem kebangsaan, walaupun isu tersebut sebenarnya tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mereka.
Entiti tahfiz tidak menghadapi sebarang masalah pengiktirafan. Dalam hal ini, rata-rata pelajar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Justeru tidak timbul masalah sebagaimana pelajar SMPC yang kebanyakannya tidak mengambil SPM, selain hanya segelintir menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sahaja.
Dalam hal pengiktirafan ini, kerajaan berkeras menegaskan langkah yang diambil bukan untuk mengakui sijil itu, sebaliknya hanya laluan kepada lepasan UEC untuk memperoleh tempat di IPTA.
Apa-apa jua istilah yang digunakan, natijahnya ialah lepasan UEC kini dibenarkan memohon untuk ke IPTA walaupun ketika ini hanya untuk kursus tertentu. Walaupun istilahnya bukan pengiktirafan, tetap membawa makna sebegitu, iaitu diterima untuk diluluskan bagi sesuatu tujuan.
Di sebaliknya semua ini, etnik Cina didapati tetap tidak berpuas hati dengan kursus yang dihadkan. Hal ini kerana peluang yang diberikan kebanyakannya tertumpu kepada bidang berkaitan bahasa Mandarin seperti linguistik, pendidikan dan sastera Cina.
Keadaan itu dilihat kurang sesuai kerana sistem pendidikan di SMPC sebenarnya memberi penekanan yang kuat terhadap bidang sains, matematik dan teknikal termasuk pelbagai cabang kejuruteraan. Selain itu, bidang perdagangan yang melibatkan perakaunan dan ekonomi turut menjadi antara fokus utama pengajian di sekolah tersebut.
Dalam konteks ini, mereka tentunya menjangkakan laluan yang dibuka ke IPTA melibatkan bidang yang selari dengan pengkhususan yang dipelajari di SMPC.
Oleh sebab itu, mereka menganggap ia sebagai penghinaan kerana bahasa Mandarin dianggap sekadar mengulangi pendekatan sedia ada tanpa membawa peluang baharu yang lebih luas.
Sebelum ini, sijil UEC juga pernah diterima bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk pengkhususan pendidikan bahasa Mandarin sahaja.
Walaupun kali ini peluang tersebut diperluaskan ke IPTA, namun sebahagian pihak tetap melihatnya sebagai pendekatan lama yang masih tidak banyak berubah dari sudut pilihan bidang pengajian.
Dalam hal ini, etnik Cina mahu tawaran baharu yang lebih luas yang merangkumi pelbagai bidang pengajian kritikal. Antaranya perubatan, pergigian dan ubat-ubatan bagi bidang sains, pelbagai kursus signifikan dalam bidang kejuruteraan, selain bidang perdagangan pada kursus perakaunan dan ekonomi.
Dengan kata lain, mereka tidak mahu kursus ilmu kemanusiaan, sebaliknya kursus profesional, khususnya yang tinggi nilainya untuk menjadi doktor perubatan, jurutera elektronik dan akauntan kewangan.

KENAPA HERET TAHFIZ?
Bagi etnik Melayu, walaupun sebilangan kecil berada di luar sistem pendidikan kebangsaan, namun entiti tahfiz tidak pernah menimbulkan sebarang masalah seperti permintaan SMPC dan UEC. Kini tahfiz dijadikan korban sampingan, yang sengaja diheret ke dalam masalah pihak lain.
Tidak keterlaluan jika ada pihak melihat penglibatan institusi tahfiz dalam polemik pengiktirafan UEC sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang melibatkan SMPC dan UEC itu sendiri.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak wajar, malah menimbulkan persoalan dari sudut etika kerana mengaitkan pihak lain yang langsung tidak mempunyai hubungan dengan tuntutan pengiktirafan tersebut.
Sepatutnya dalam hal pengiktirafan sijil UEC ini, ia hendaklah dilakukan secara runcit, iaitu hanya kepada SPMC yang menuntut semenjak sekian lama. Bukan memandai-mandai memperluasnya kepada entiti yang bukan sahaja tidak pernah mendesak, juga tidak pun memerlukannya.
Apa-apa jua keputusan menerima sijil UEC, kalau tidak pun sesekali mengiktirafnya, adalah sangat salah, sungguh malang selain amat dikesali. Ini kerana ia berada di luar sistem dan tidak boleh sesekali dimasukkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan apa-apa jua cara yang tidak sah.
Sehubungan itu, semangat nasionalisme yang menjadi teras Akta Pendidikan 1996 perlu terus dijunjung tinggi pada setiap masa dan dalam apa juga keadaan.
Dalam konteks ini, Bahagian 17 Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menegaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Pada masa sama, Bahagian 18 pula menetapkan penggunaan kurikulum kebangsaan yang tidak seharusnya dikompromikan dalam apa jua keadaan.
Oleh itu, mana-mana institusi pendidikan yang tidak mematuhi sepenuhnya kedua-dua peruntukan tersebut wajar kekal di luar sistem pendidikan kebangsaan sehingga benar-benar bersedia mematuhi dasar yang ditetapkan tanpa sebarang pengecualian.
Hakikatnya, apabila pengecualian mula diberikan, ia secara tidak langsung menunjukkan peraturan sedia ada tidak lagi dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.
Dalam hal ini, peraturannya ialah SPM diambil secara sepenuhnya, bukannya secara separa pada mata pelajaran tertentu. Sepatutnya peraturan ini diguna pakai tanpa pengecualian. Langkah ini lebih adil kepada semua pihak.
Inilah yang sepatutnya dilakukan kerajaan.
Dari sudut moraliti umum pula, pemberian pengecualian mempunyai kaitan rapat dengan persoalan etika dan keadilan. Pengecualian bukan sahaja membuka ruang kepada sesuatu pihak menerima keistimewaan tertentu yang pada asalnya tidak sewajarnya diberikan, malah turut menimbulkan persoalan yang lebih besar.
Antaranya ialah sama ada wajar sesuatu pihak menuntut pengecualian daripada prinsip dan peraturan yang telah diterima umum semata-mata untuk menyesuaikan kepentingan atau keadaan khusus yang dihadapinya sendiri. Jika perkara ini berlaku secara berterusan, ia boleh menjejaskan prinsip kesaksamaan serta melemahkan kewibawaan dasar yang sepatutnya dilaksanakan secara konsisten kepada semua pihak.
Inilah sebenarnya yang dilihat berlaku dalam isu pengiktirafan tersebut. Ia menimbulkan persoalan dari sudut keadilan kepada semua pihak yang terlibat kerana dianggap tidak selari dengan ketetapan sedia ada.
Inilah yang berlaku kepada lepasan SMPC dan UEC apabila mereka diberikan laluan pengecualian untuk kemasukan ke IPTA mulai tahun ini. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










