SEJAK awal pembentukan negara, Melayu mempunyai kedudukan penting dalam politik Malaysia, bukan sekadar kerana demografi sebagai masyarakat teras tetapi kerana peranannya dalam asas pembentukan negara bangsa, Perlembagaan, institusi politik dan imaginasi kenegaraan.
Kemerdekaan, Perlembagaan, kedudukan Islam, bahasa Melayu, institusi raja-raja serta hak kewarganegaraan dan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera membentuk keseimbangan politik negara. Dalam kerangka ini, politik Melayu bukan sekadar politik kaum, tetapi sebahagian daripada struktur kenegaraan Malaysia.
Namun realiti semasa jauh lebih kompleks. Politik Melayu kini tidak lagi bergerak dalam satu blok dominan. Pasca 2018 menyaksikan sokongan Melayu terpecah kepada pelbagai parti dan gabungan. Kuasa Melayu masih besar dari segi angka, tetapi semakin terbahagi dari segi strategi, representasi dan keyakinan. Persoalannya bukan lagi siapa mendapat undi Melayu, tetapi siapa mampu mengurus amanah Melayu dalam negara yang semakin majmuk, muda, digital dan mencabar.
Dalam konteks ini, pembinaan semula keyakinan politik Melayu tidak boleh berasaskan nostalgia, tetapi mesti memastikan politik Melayu terus menyumbang kepada kestabilan negara, keadilan sosial dan masa depan bersama.
Persoalan Melayu hari ini lebih tepat difahami sebagai keresahan kolektif yang lahir daripada pertembungan identiti, ekonomi, kepimpinan, institusi dan bayangan masa hadapan. Ia boleh dilihat melalui empat dimensi: kedudukan, akses, kepercayaan dan imaginasi.
Kedudukan merujuk kepada Perlembagaan, agama, bahasa dan institusi. Akses pula kepada peluang ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan mobiliti sosial. Kepercayaan merujuk kepada integriti pemimpin dan keberkesanan institusi, manakala imaginasi ialah gambaran masa depan Melayu dalam negara moden dan majmuk.
Di sinilah paradoksnya. Secara struktur, Melayu masih mempunyai asas kukuh: Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, institusi raja sebagai tonggak negara, serta kedudukan Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan. Namun kedudukan dalam Perlembagaan tidak semestinya melahirkan keyakinan jika tidak diterjemahkan kepada dasar, pelaksanaan dan hasil yang dirasai.
Melayu bukan tidak mendengar perbincangan tentang hak dan Perlembagaan. Namun persoalan lebih mendasar ialah sama ada ia sekadar slogan atau benar-benar agenda strategik dengan pelaksanaan yang jelas. Di mana peta besar masa depan Melayu? Di mana mekanisme pelaksanaannya? Dan bagaimana kedudukan Perlembagaan diterjemahkan kepada ekonomi, pendidikan, ilmu, akhlak kepimpinan dan daya saing generasi baharu?
Dalam sains politik, ini ialah persoalan representasi substantif, bukan sekadar simbolik. Representasi simbolik berlaku apabila identiti disebut; representasi substantif berlaku apabila kepentingan diterjemahkan kepada dasar, institusi dan hasil.
Cabaran politik Melayu hari ini bukan sekadar parti mana menang sokongan tetapi siapa benar-benar mampu mewakili masa hadapan Melayu secara bermakna dengan menjaga identiti dengan hikmah, menyelesaikan isu ekonomi secara serius, memimpin negara secara inklusif, dan pada masa sama menolak rasuah serta membina kepercayaan rakyat.
Jurang keyakinan ini tidak wajar dijadikan bahan dagangan politik. Mentaliti terkepung mungkin berkesan untuk menggerakkan emosi jangka pendek, menyatukan penyokong dan melabel musuh dengan mudah tetapi dalam jangka panjang ia melahirkan politik berasaskan kebimbangan yang melemahkan masyarakat.
Bangsa yang sentiasa merasa dikepung akan menjadi defensif lalu sukar berinovasi. Bangsa yang terlalu sibuk mencari musuh luar akhirnya gagal membetulkan kelemahan. Lebih membimbangkan, keadaan ini membuka ruang kepada pemimpin yang mahir membakar emosi tetapi lemah menyelesaikan masalah sebenar.
Justeru, isu Melayu perlu ditangani dengan disiplin analitikal. Kebimbangan yang tulen mesti didengar sementara eksploitasi rasa terancam perlu ditolak. Dalam masa sama, perlu dibezakan antara cabaran sebenar dan cabaran persepsi.
Cabaran sebenar melibatkan ekonomi kos sara hidup, gaji rendah, pekerjaan, perumahan, pendidikan anak, peluang perniagaan, pemilikan aset dan mobiliti sosial. Cabaran persepsi pula berkisar kepada rasa kedudukan Melayu-Islam yang dianggap semakin terhakis. Kedua-duanya penting: ekonomi tidak boleh dinafikan dan persepsi tidak boleh diperlekehkan kerana boleh membentuk realiti politik.
Sebab itu penyelesaian memerlukan pendekatan ekonomi-politik yang melihat hubungan antara kuasa, dasar, pengagihan sumber dan kelompok yang mendapat manfaat.
Jika dasar bumiputera hanya mengukuhkan kelas perantara, broker politik dan elit tertentu, ia tidak akan memulihkan keyakinan massa Melayu. Sebaliknya, agenda Melayu perlu beralih daripada politik naungan kepada politik pembinaan keupayaan. Naungan mungkin masih diperlukan, tetapi tanpa pembangunan keupayaan ia hanya melahirkan kebergantungan.
Akhirnya, yang diperlukan ialah pengukuhan keupayaan dalam ilmu, ekonomi, teknologi, institusi, moral dan kepimpinan. Di situlah letaknya asas kekuatan yang sebenar.

POLITIK SEBAGAI PENGUPAYA MASA HADAPAN
Politik bukan penyelesaian jangka panjang kepada semua masalah Melayu. Ekonomi perlu menangani isu pendapatan dan pemilikan, manakala pendidikan menjadi asas kepada mobiliti sosial.
Agama membentuk akhlak dan etika, sementara agenda sosial memperkukuh serta memulihkan komuniti. Namun, kestabilan politik tetap menjadi penentu yang menggerakkan semua teras ini kerana ia menentukan keutamaan, pengagihan sumber, kestabilan dasar dan tahap kepercayaan rakyat. Apabila politik terganggu, hampir semua aspek kehidupan turut terjejas.
Justeru, pembaharuan politik Melayu mesti bermula dengan integriti. Tidak bermakna membicarakan bangsa jika pemimpin mengejar projek dan tidak bermakna bercakap tentang Islam jika amanah dipermainkan.
Dalam tadbir urus, integriti ialah asas legitimasi dan tanpanya, naratif bangsa hilang keabsahan selain agama menjadi retorik.
Pada masa sama, politik Melayu perlu disokong oleh institusi pemikiran yang lebih tersusun, bukan sekadar bergantung kepada intuisi, nostalgia atau jentera lama. Ia perlu mampu membaca perubahan masyarakat secara segmen daripada Melayu bandar dan luar bandar, hingga ke anak muda, warga senior, B40, M40, profesional, peniaga kecil mahupun pengundi atas pagar.
Ruang musyawarah nasional juga mesti diperluas. Isu Melayu tidak wajar hanya dibincangkan oleh ahli politik, sebaliknya perlu melibatkan akademik, ulama, profesional, pendidik, usahawan, belia, masyarakat sivil dan akar umbi.
Akhirnya, penyelesaian kepada persoalan Melayu bukanlah politik yang lebih bising tetapi lebih cerdas dalam membina keupayaan.
Bangsa yang yakin tidak mudah terperangkap dengan rasa terancam, sebaliknya fokus kepada pembangunan ilmu, ekonomi, akhlak dan institusi. Di situlah terletaknya kekuatan sebenar Melayu. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusia ialah Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional, Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










