PENDIDIKAN merupakan suatu perkara terpenting buat mana-mana penguasa dalam negara di dunia ini. Aspek pendidikan tidak pernah basi dan ia kekal signifikan dalam apa jua cabaran dan dugaan dunia, sama ada dalam politik, kesihatan, keselamatan dan sosiobudaya.
Oleh sebab itu, di negara kita, aspek pendidikan sentiasa menjadi penekanan kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dari zaman-berzaman.
Bagi memberi dampak yang tinggi kepada aspek pendidikan rakyat di dalam negara, kerajaan sentiasa mengutamakan Kementerian Pendidikan sebagai sebuah kementerian kanan dan peri pentingnya diiktiraf setiap masa.
Apatah lagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut dibentuk sejak Perdana Menteri kelima pada 27 Mac 2004. Sehingga kini, KPT tetap menjadi keutamaan semua pihak dalam soal pembentukan reformasi dunia pendidikan negara. KPT bukan sekadar kementerian biasa. Ia bagaikan ‘enjin’ yang bergerak tanpa henti bagi menyebarluaskan nilai ilmu ke dalam masyarakat sejagat.
Jika dahulu KPT dianggap sendu dan sepi kerana keterlibatan masyarakat kebanyakan tidak begitu mendesak dek kurangnya anak-anak di kampung dan dalam bandar yang berjaya masuk institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun, pada skala masa kini, kemasukan ke IPT sudah menjadi kebiasaan kepada kita khususnya lepasan sekolah. Justeru, KPT kian dipandang penting dan mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita.
BUKAN SEKADAR SEBAR ILMU
Ketika mana Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerajui KPT sejak Disember lalu, terserlah fungsi kementerian ini bukan hanya sekadar menjayakan tata kelola sebaran ilmu kepada penuntut dan masyarakat, sebaliknya dicambahkan fungsinya sebagai ‘pengurus’ kedewasaan dan mencari kebenaran hakiki.
Sebagai seorang ‘Menteri KPT 2.0’, Mohamed Khaled punya impian yang jitu serta jelas dalam konteks reformasi pendidikan di negara ini. Ini menjadi jalan mudah untuk beliau kerana dikelilingi oleh para pemain industri pendidikan tinggi yang telah lama dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
Ia suatu perkara cukup mudah buat Mohamed Khaled untuk memacu pendidikan tinggi ke suatu tahap yang lebih jauh, walaupun ia lebih bersifat kompleks dan mencabar dek tuntutan-tuntutan serta cabaran-cabaran baharu dihadapi sektor ini.
PENDIDIKAN RELEVAN
Mohamed Khaled menitikberatkan kerelevanan pendidikan sedia ada dan keyakinan masyarakat kepada pendidikan tinggi di negara kita. Jalur pemikiran Mohamed Khaled dalam dunia pendidikan tinggi tampak cukup matang dan berani, apatah lagi ketika beliau sendiri menyedari dan mengajak semua jentera kementeriannya untuk tidak lari daripada apa juga jenis cabaran baharu mendatang, sekali gus terus menjawab persoalan semasa yang ada, yang memberi impak negatif kepada masyarakat.
Perspektif kesilapan lampau turut menjadi keutamaan kepada KPT sekarang ini dengan lebih banyak pelan bersifat sofistikated dan lestari dicipta serta dirangka.
Begitu juga dengan idea untuk membuang segala dasar-dasar bersifat lapuk dan meneroka dasar-dasar baharu lebih segar untuk dijayakan, agar mana-mana perkara yang dianggap silap, ia boleh diperbetulkan kembali.
MEMPERKASAKAN PELAJAR
Mohamed Khaled tidak bersifat tinggi diri walaupun kali kedua menjawat jawatan itu. Beliau amat cekap dan berhati-hati ketika bertindak terutama dalam mengurus isu-isu berkaitan dasar kerajaan dan dalam konteks melahirkan mahasiswa dan pelajar yang bersifat manusiawi.
Walaupun berhati-hati dalam bertindak, namun agak merisaukan apabila rentak kerja Mohamed Khaled agak drastik dan berani menerobos cabaran mendatang. Ini termasuklah dalam soal mengangkat martabat dan memperkasakan pelajar di IPT.
Antara usaha pemerkasaan pelajar yang diterjemahkan Mohamed Khaled, beliau memberi lebih banyak kuasa dan tanggungjawab kepada pelajar di IPT untuk mengurus sendiri soal politik kampus, keusahawanan dan keterlibatan mereka dalam organisasi luar kampus.
Yang pasti, ini merupakan menteri KPT pertama berbuat demikian dan ia seharusnya disambut oleh barisan kepimpinan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan lebih kondusif dan vibrant (bersemangat).
Mereka yang berada di dalam kepimpinan NGO dan parti-parti politik harus merebut peluang yang dipampang oleh Mohamed Khaled ini untuk ‘mencuri’ minat para pelajar IPT terhadap mereka.
Jika dahulu pentadbir IPT dipandang serong kerana sentiasa bersifat menegah pelajar untuk terlibat dalam organisasi luar terutama politik kepartian, namun sekarang tidak lagi. Para pelajar IPT sudah diberi lampu hijau oleh menterinya sendiri. Cuma, tunggu masa dan ketika untuk parti politik dan NGO memancing jiwa-jiwa anak muda ini bagi menyertai ideologi dan perjuangan mereka.
HARAPAN SAYA
Sebagai seorang bekas pemimpin pelajar di IPT, usaha yang diterjemahkan KPT ini merupakan suatu perkara yang menjadi dambaan pemikiran saya sejak sekian lama. Pun begitu, tata kelola yang tersusun dan jitu daripada para pentadbir IPT harus seiring dengan tata kelola pelajar agar tidak bersifat cemerkap.
Yang penting, kehadiran Mohamed Khaled di KPT membawa IPT tidak sekadar beroperasi untuk memenuhi impian dan nafsu ranking yang dicipta oleh persepsi dan keterkejaran massa. Sebaliknya IPT memacu sebuah tindak-tanduk yang tepat untuk sebuah pembentukan negara bangsa yang lebih maju dan kalis cabaran.
IPT perlu disihatkan dan disegarkan kembali untuk pengoptimuman kesarjanaan, sukatan pelajaran lebih berkualiti, membentuk kematangan pelajar, mengupayakan masyarakat madani dan melahirkan mahasiswa manusiawi.
Semoga kita mampu mencipta legasi ketamadunan manusia yang smart and sharp iaitu pintar mengurus manusia dan bijak mengurus serta menggunakan teknologi semasa. Ayuh, kita angkat semula tamadun Malaysia yang lebih segar dan selamat. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) dan Ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bangi, Selangor.










