AI: Kawan atau lawan?

AI: Kawan atau lawan?

DENGAN atau tanpa kemunculan AI, universiti perlu memastikan pendidikan di peringkat tinggi adalah menyeluruh ke arah membentuk insan seimbang dan sejahtera. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini banyak diperkatakan mengenai kecerdasan buatan (AI). Antara yang menjadi perhatian ramai ialah impak AI kepada bidang akademik, lebih khusus lagi pembelajaran pelajar di peringkat pendidikan tinggi. Ini kerana kebolehan AI seperti ChatGPT dalam menjana jawapan kepada soalan-soalan tugasan pelajar dan peperiksaan. Manakan tidak, dilaporkan dalam beberapa ujian yang dibuat, ChatGPT didapati berjaya melepasi peperiksaan bagi bidang perniagaan dan perubatan di universiti ternama di Amerika Syarikat.

Ini melahirkan kebimbangan dalam kalangan akademik akan potensi AI digunakan oleh pelajar bagi menjana jawapan kepada soalan-soalan tugasan dan peperiksaan mereka yang dilihat sebagai satu perkara tidak berintegriti atau dalam bahasa lain, suatu penipuan. Sebagaimana teknologi lain, penggunalah yang menentukan sama ada baik atau buruknya penggunaan teknologi tersebut.

AI mempunyai banyak potensi kebaikan dalam pelbagai bidang, namun ia juga digunakan secara tidak beretika oleh pengguna bagi membina perisian hasad (malware), e-mel phishing dan sebagainya. Begitu juga bidang pendidikan tinggi, AI menyediakan satu saluran pembelajaran baharu yang mengujakan bagi para pensyarah dan pelajar. Namun, penting untuk memastikan ia tidak disalahgunakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerisauan terhadap kemunculan AI dan impaknya terhadap pendidikan tinggi hampir sama dengan suatu masa dahulu apabila internet mula boleh dicapai dengan mudah oleh masyarakat. Timbul kerisauan dalam kalangan para akademik pada masa itu sekiranya internet disalahgunakan oleh pelajar dalam pembelajaran mereka. Namun, kini internet merupakan suatu elemen penting dalam pembelajaran di peringkat tinggi.

Malah, pelajar universiti yang tidak mempunyai capaian kepada internet terutama jika disebabkan ketidakmampuan ekonomi, kini dianggap terpinggir dan perlu dibantu demi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka.

Dengan atau tanpa kemunculan AI, universiti perlu memastikan pendidikan di peringkat tinggi adalah menyeluruh ke arah membentuk insan seimbang dan sejahtera. Pendidikan perlu berasaskan nilai (values-based) dan bukan hanya semata-mata tertumpu kepada penyampaian kandungan (content delivery).

Dengan kemunculan AI, maklumat berasaskan kandungan akan lebih mudah dijana oleh para pelajar menerusi aplikasi AI. Malah, maklumat yang dijana mungkin lebih jauh jumlahnya melangkaui apa yang ingin disampaikan oleh pensyarah.

Pendidikan berasaskan nilai memastikan pelajar dapat meletakkan diri mereka dan pengetahuan diperoleh dari universiti dalam kerangka nilai kemanusiaan yang terpuji seperti integriti, hormat, jujur, ikhlas dan sebagainya. Nilai-nilai ini perlu diterapkan dalam segala aspek pendidikan pelajar sama ada menerusi kurikulum formal ataupun tidak formal dan juga dalam kehidupan seharian pelajar di kampus. Penerapan nilai murni di dalam pendidikan juga merupakan suatu perkara penting yang dituntut di bawah prinsip pendidikan Islam.

PENGALAMAN

Universiti juga perlu memastikan kaedah pembelajaran yang sesuai dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini, pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan berbanding hanya penyampaian teori di dalam kelas. Pembelajaran berasaskan pengalaman antaranya memerlukan pelajar mendekati masyarakat dan dunia luar bagi membolehkan mereka mengaitkan ilmu yang diperoleh di dalam kelas dengan keperluan masyarakat serta merasai dan menjiwai pentingnya nilai-nilai kemanusiaan dalam hubungan dengan masyarakat.

Pembelajaran berasaskan pengalaman juga membentuk kemahiran insaniah pelajar seperti kemahiran berfikir, berkomunikasi, bekerjasama, beradaptasi dan menyelesaikan masalah. Ini merupakan kemahiran yang tidak dapat diperoleh dengan penggunaan AI. Ia mesti dibentuk dan dilalui oleh pelajar sendiri dengan bantuan pensyarah.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semenjak dari penubuhannya menekankan pendidikan yang menyeluruh menerusi pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan para pelajarnya di samping memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang terbaik. Pelbagai kaedah dilaksanakan antaranya menerusi kurikulum, usrah dan penglibatan kemasyarakatan bagi memastikan pelajar yang dilahirkan adalah seimbang dan menjadi insan sejahtera.

Rancangan strategik universiti yang terkini, IIUM Roadmap 2023-2024, kekal mengarusperdanakan pendidikan berasaskan nilai bagi mencapai aspirasi UIAM semenjak dari penubuhannya pada 1983. UIAM juga menyokong seruan Kementerian Pendidikan Tinggi agar universiti menjadi rakan yang bermanfaat kepada masyarakat dan bukan hanya mengejar kedudukan di dalam penarafan dunia semata-mata.

Inisiatif yang mendekatkan universiti dengan masyarakat dan dunia luar akan terus dilaksanakan oleh UIAM menerusi pembelajaran, kajian dan penglibatan kemasyarakatan secara berstruktur, formal dan tidak formal bagi memberi pendedahan kepada pelajar. Pada masa sama, memupuk nilai murni dan membentuk kemahiran insaniah dalam kalangan mereka.

Era AI mungkin tidak dapat dielak lagi. Oleh itu, universiti perlu bijak dalam beradaptasi untuk memanfaatkan potensi AI dalam pendidikan peringkat tinggi dan pada masa sama mengelakkan AI menjadi alat yang boleh disalahgunakan pelajar dalam mengejar kepujian akademik.

Bagi menghadapi era kecerdasan buatan dan impaknya terhadap pendidikan, universiti perlu kembali kepada pendidikan menyeluruh berasaskan nilai. Pelajar yang bernilai murni dan berakhlak mulia akan lebih bijak dalam memastikan penggunaan AI secara beretika dan berintegriti. Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga perlu dikemaskini terutama dengan menekankan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman yang sukar diperoleh pelajar menerusi aplikasi AI masa kini.

Sama ada kecerdasan buatan menjadi kawan atau lawan kepada pendidikan tinggi, pilihan di tangan kita semua. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Muhammad Faris Abdullah ialah Pengarah Pejabat Strategi & Perubahan Institusi (OSIC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini