Tuanku Muhriz bersama rakyat waktu suka, duka - Utusan Malaysia

Tuanku Muhriz bersama rakyat waktu suka, duka

PERASAAN sukacita Tuanku Muhriz (tengah) jelas kelihatan apabila baginda mencemar duli untuk bersama-sama rakyat menyaksikan pelbagai acara dalam Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan 2022 di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah, bulan lalu. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dikenali sebagai raja yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Sifat kasih baginda itu jelas dirasakan terutama beberapa tahun kebelakangan ini ketika rakyat menempuh cabaran pandemik Covid-19 serta semasa banjir besar melanda.

Kedua-dua musibah ini membawa kepada kehilangan nyawa insan tersayang selain turut memusnahkan tempat tinggal dan harta benda mereka yang terjejas.

Keprihatinan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama kedua-dua putera baginda, iaitu Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin terserlah apabila baginda sekeluarga mencemar duli untuk bertemu dan menyantuni sendiri rakyat yang menjadi mangsa banjir.

Ketika bertitah bersempena Hari Keputeraan Ke-74 tahun lalu, Tuanku Muhriz juga menzahirkan sikap ambil berat baginda kepada rakyat yang dilihat masih terkesan dengan pandemik dan bencana yang melanda negeri itu.

Baginda menyatakan pandangan supaya para pakar dalam pelbagai bidang merangka program khas bagi membantu masyarakat dalam berdepan kesan emosi ekoran perubahan luar biasa yang mendadak dalam kehidupan masing-masing.

“Perubahan ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling.

“Oleh itu, beta berpandangan, para pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama merangka satu program khas pascabencana untuk membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif, agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda,” titah baginda pada waktu itu.

YAYASAN MUNARAH

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap ketika saya temui di pejabatnya baru-baru ini turut menyifatkan Tuanku Muhriz sebagai seorang pemerintah yang berjiwa rakyat.

“Semasa Covid-19 dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tuanku Muhriz begitu bimbang tentang keadaan yang menimpa rakyat Negeri Sembilan.

“Baginda amat mengambil berat dan setiap minggu menitahkan laporan diberikan kepada baginda berkenaan situasi Covid-19 dan langkah-langkah diambil kerajaan negeri.

“Baginda juga menerusi Yayasan Munarah banyak membantu menghulurkan sumbangan kepada rakyat bagi meringankan beban termasuk menghadapi kesan pandemik Covid-19.

“Tuanku Muhriz turut menitahkan untuk pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di ibu negara untuk turut mengadakan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di Seri Menanti, Kuala Pilah. Doktor dan petugas hospital berkenaan datang ke Seri Menanti selama dua minggu untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai di Kuala Pilah,” katanya lagi.

Menurut Mohd. Faizal lagi, penganjuran Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan termasuk yang diadakan pada Disember baru-baru ini juga menjadi peluang untuk Tuanku Muhriz bertemu dengan lebih dekat bersama rakyat baginda.

“Sejak diadakan pada 2019, acara ini sering mendapat sokongan Tuanku Muhriz dan baginda tidak ketinggalan untuk turut mencemar duli berangkat hadir melihat setiap aktiviti yang diadakan.

“Boleh dikatakan acara ini juga memperlihatkan dengan jelas bahawa baginda sangat berjiwa rakyat. Menerusinya, baginda menyelami perasaan gembira rakyat dan baginda juga rasa sukacita dengan penganjurannya,” katanya lagi.

Bersempena Hari Keputeraan Ke-75 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada hari ini, didoakan baginda sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera untuk mentadbir negeri serta rakyat jelata.
Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN