PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bertentangan prinsip demokrasi dan menafikan hak rakyat memilih wakil mereka melalui pilihan raya.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sistem demokrasi seharusnya diisi berdasarkan mandat yang diberikan rakyat, bukannya melalui pelantikan politik.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting dan mewakili DAP berkata, pelaksanaan ADUN lantikan bukan sahaja meningkatkan kos pentadbiran dan penggunaan dana awam, malah berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, amalan pilih kasih serta pelantikan yang dipengaruhi kepentingan politik.
“Keputusan DAP Melaka menarik diri daripada kerajaan negeri membuktikan bahawa prinsip dan integriti lebih diutamakan berbanding jawatan atau kedudukan dalam pentadbiran.
“Tindakan ini menghantar mesej yang jelas bahawa kuasa tidak boleh dipertahankan dengan mengorbankan prinsip demokrasi. Demokrasi hanya akan kekal kukuh apabila mandat rakyat dihormati, tadbir urus dilaksanakan secara telus dan setiap wakil rakyat memperoleh legitimasi melalui pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DAP Melaka semalam mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta selepas DUN Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN bukan eksekutif.
Beliau turut menyeru semua pihak mempertahankan sistem demokrasi yang berteraskan mandat rakyat serta menolak sebarang cadangan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi negara.
“Demokrasi bukan untuk dimanipulasi. Mandat rakyat mesti sentiasa dihormati,” katanya.- UTUSAN










