PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus mengembangkan #LANE FREEDOM ke wilayah selatan menerusi pengaktifan JustGO di enam lagi plaza tol mulai pukul 100 pagi pada Rabu, 15 Julai 2026.
Pengaktifan terbaharu ini melibatkan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Enam plaza tol berkenaan ialah Plaza Tol Mambau dan Lukut di SPDH, Plaza Tol Kempas di NSE, serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di LINKEDUA.
PLUS merupakan salah satu syarikat konsesi lebuh raya yang mengambil bahagian dalam platform JustGO.
Melalui pelaksanaan ini, PLUS membawa Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan Sistem Pengecaman Nombor Plat, atau Automatic Number Plate Recognition (ANPR), pertama untuk industri lebuh raya Malaysia ke lebih banyak lokasi dalam rangkaiannya.
Pengguna yang telah mendaftar boleh membayar tol menggunakan nombor plat kenderaan dan menikmati #LANEFREEDOM di plaza tol yang telah diaktifkan.
Mereka bebas masuk dan keluar melalui mana-mana lorong yang tersedia dan tidak lagi perlu menggunakan lorong khusus mengikut kaedah pembayaran sedia ada.
Kamera ANPR akan membaca nombor plat kenderaan berdaftar dan memproses bayaran tol melalui kad pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi JustGO.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi, mendaftar akaun dan kenderaan, serta memautkan kad pembayaran.
JustGO mula diperkenalkan di NSE kendalian PLUS melalui pelaksanaan projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026.
Pelaksanaannya kemudian diperluas ke Plaza Tol Jitra di NSE, serta Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim pada Jun 2026.
Pengaktifan di Wilayah Selatan meneruskan peluasan JustGO dalam rangkaian lebuh raya PLUS, sebelum pelaksanaannya diperluas ke semua plaza tol kendalian PLUS mulai Ogos 2026. – UTUSAN










