KANGAR: Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) negeri, Azahar Hassan mempunyai hubungan baik dengan Pas Perlis khususnya mereka yang mempunyai jawatan di dalam badan perhubungan parti itu.
Katanya, beliau difahamkan daripada kepemimpinan Pas negeri, kenyataan Pesuruhjaya Pas Perlis yang menolak kerjasama politik dengan pemimpin Wawasan di Perlis hanya melalui medium beliau sendiri.
Beliau berkata, hubungan beliau dengan Pas Perlis khususnya Yang Dipertua Pas tiga kawasan serta jawatankuasa perhubungan yang menang dalam pemilihan parti cukup baik.
“Cuma yang tidak berapa baik dengan bekas Menteri Besar dan wakil rakyat Pas itu sahaja iaitu kebanyakkan mereka yang kalah dalam pemilihan parti itu sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali dalam satu kenyataan memaklumkan tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana individu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa terlibat pengkhianatan dan kini bersama Wawasan Negara.
Ahmad dilaporkan berkata, pendirian tersebut diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah dan bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.
Kata Ahmad, kerjasama dengan pihak terlibat juga akan dihentikan selagi isu pengkhianatan belum diselesaikan oleh Bersatu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Wawasan seterusnya dilantik sebagai Penyelaras Wawasan negeri.
Sementara itu, Azahar berkata, Wawasan yang bersama Perikatan Nasional (PN) akan terus berusaha mengekalkan negeri ini dibawah pentadbiran gabungan berkenaan.
“Dalam masa terdekat, kita akan gerakkan barisan jawatankuasa penaja di tiga bahagian di negeri ini. Sebahagian besar akar umbi Bersatu juga akan menyertai parti Wawasan.
“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kita mensasarkan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen. Kita akan pastikan Wawasan dan PN berjaya mengekalkan kerajaan negeri ini,” katanya.-UTUSAN








