Tiada mekanisme tegur pegawai kerajaan - Utusan Malaysia

Tiada mekanisme tegur pegawai kerajaan

Tan Sri Borhan Dollah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
BANYAK pandangan sinis diberikan terhadap penjawat awam terutama apabila menyentuh tentang kualiti kerja. Namun, jasa penjawat awam yang merupakan tulang belakang dan nadi negara tidak boleh disangkal.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak menjawat jawatan tersebut beberapa kali memberi harapan kepada penjawat awam agar dapat bersama-sama membawa negara ke arah pemulihan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) TAN SRI BORHAN DOLAH bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurugambar , MOHD. FIRDAUS MOHD.

MINGGUAN MALAYSIA: Kenyataan Anwar yang mahu penjawat awam tidak gentar lapor salah laku. Apa pandangan Tan Sri?
BORHAN: Tidak semudah itu. Kerajaan sudah ada sistem dan sebarang salah laku pegawai apatah lagi menteri kita tidak boleh sewenang-wenangnya menegur. Kita perlu lihat balik proses pelaporan itu. Sebagai contoh, yang berkuasa menteri dan saya pegawai bawahan. Kepada siapa saya hendak buat laporan itu nanti?
Lagipun, kita perlu ingat Perdana Menteri perlu fokus kepada perkara besar sahaja. Bagaimana mahu menjana ekonomi sebagai contoh. Laporan kecil sepatutnya biar agensi sahaja uruskan.Tambahan pula kita pun ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai badan pemantau.
Kalau kita biarkan atau letakkan semuanya pada bahu PM, beliau mungkin tidak mampu uruskannya. Bayangkan, sistem apa yang hendak digunakan supaya laporan boleh disampaikan kepadanya nanti? Siapa pula akan pantau dan semak? Kadang-kadang laporan ini bukan semua betul. Kita perlu adil untuk orang yang dituduh kerana bimbang ada unsur fitnah disebabkan persaingan tertentu.

Bagaimana Tan Sri melihat kualiti perkhidmatan awam. Adakah masih di takuk lama?
Orang kata kerajaan lembap dan sebagainya. Pada saya mudah sahaja. Lihat syarikat insurans sebagai contoh kerana saya pernah berkhidmat dalam sektor ini. Bagaimana mahu membuat tuntutan insurans? Bila mahu orang bayar dan gunakan perkhidmatan mereka, semua mudah. Tapi bila hendak claim (tuntutan)?
Apa yang saya boleh simpulkan, sama ada perkhidmatan sudah baik atau lebih baik, saya akan katakan memang kini sudah pun meningkat.
Kalau ada kes, hanya segelintir sahaja. Kita tidak boleh pukul rata. Ambil contoh perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dulu yang perlu beratur. Tetapi sekarang? Kita sudah tunjukkan penambahbaikkan. Cuma sejauh mana kita memperoleh ruang untuk menambah baik sistem sedia ada kerana ia melibatkan kos dan teknologi.
Analogi paling mudah Iphone. Hari ini edisi lain, esok sudah ada yang paling baharu. Teknologi bergerak pantas.

Hutang negara meningkat RM1.5 trilion. Adakah wajar kakitangan awam dikurangkan?
Masalah kita adalah takrifan kakitangan awam itu terlalu besar. Kadang-kala orang bandingkan kita dengan Australia dari segi jumlah yang ada (kakitangan awam) dengan jumlah rakyat iaitu 32 juta.
Mereka cakap kenapa jumlah kakitangan awam kita ramai. Pada saya mudah sahaja.Yang pertama, apa takrifan penjawat awam di Australia. Adakah ia sama. Kalau sama, ya kita perlu lihat balik jumlah berkenaan.
Akan tetapi di Australia, polis dan tentera tidak dimasukkan sebagai penjawat awam. Dulu pun ada bekas pemimpin bertanya kepada saya mengapa dahulu hanya 800,000 tetapi sekarang cecah 1.6 juta?
Kemudian saya cakap dulu berapa rakyat Malaysia 20 juta dan sekarang 32 juta. Lepas itu takrif kakitangan awam itu sendiri. Di Amerika Syarikat (AS) Cikgu bukan penjawat awam. Di Malaysia takrifan kita terlampau besar. Semua tu dilonggok sebagai penjawat awam.
Kalau kita tidak mahu angka yang begitu besar, senang sahaja. Kita ubah Perlembagaan Persekutuan dan swastakan beberapa sektor seperti keselamatan sebagai contoh. Polis kita keluarkan sebagai penjawat awam. Tiga sektor ini paling ramai penjawat awam iaitu keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Ikut sesetengah negara yang tidak kategorikan askar dan polis sebagai kakitangan penjawat awam kerana faktor keselamatan.

Adakah perlu ditambah baik pelaksanan pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam selepas masalah rasuah dilihat kronik?
Dalam sistem kita setiap kali tambah harta memang perlu buat pengisytiharan. Begitu juga kenaikan pangkat. Soal seseorang itu sembunyi-sembunyi atau tidak jujur itu kita tidak tahu. Sekiranya ditangkap maka jawablah.
Semua ada sistemnya. Cuma apabila datang kepada pelaksanaannya kita tidak lengkap. Lagipun ada masa-masanya politik terlalu dominan. Ini pun menjadi satu masalah. Sebagai contoh, apabila ada satu-satu menteri mahukan ‘orang dia’ menjadi Ketua Setiausaha (KSU).
Sekarang saya mahu awak jadi KSU. Tapi awak ada masalah tatatertib dan menteri masih mahukan awak. Jadi tiada pilihanlah. Sebab itu, saya katakan pelaksanaannya longgar kerana ada asakan serta desakan. Pada saya, apa pun sistem kita ada, jika digunakan sebaiknya dan kalau diperbaiki , maka perbaikilah. Sistem juga tidak semestinya bagus selama-lamanya.

Apakah penambahan atau perubahan yang perlu dilakukan terhadap penjawat awam?
Saya tidak risau berkenaan waktu bekerja kerana kita ada tempoh masa dalam seminggu yang perlu bekerja. Saya pegang pada prinsip sebagaimana kita menjawab peperiksaan. Awak kena jawab dalam tempoh dua jam. Dalam tempoh itulah awak perlu beri tumpuan. Tapi kita kadang-kadang longgar (waktu bekerja).
Lihat budaya Jepun. Mereka datang duduk dan kerja. Katakan masuk pukul 8 dan habis pukul 5. Mereka boleh fokus dalam tempoh itu. Paling tidak bangun sekejap rehat, minum dan kemudian sambung kerja.
Dalam kerajaan juga sepatutnya begitu. Budaya kerja bersungguh-sungguh dan tekun dalam tempoh diberikan perlu diterapkan. Tapi easier said than done (Lebih mudah cakap daripada laksana). Lagipun kerajaan perlu melabur dalam teknologi untuk melihat perkhidmatan cekap dan berkesan. Dari situ, baru boleh cakap untuk kurangkan jumlah penjawat awam. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.