Mengurus kebimbangan rakyat - Utusan Malaysia

Mengurus kebimbangan rakyat

Sebahagian penggembara dari China mendaftar masuk sebelum berlepas menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin. – MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR atau tidak, kalau kita mengenang semula peningkatan kes Covid-19, yang menjadi mimpi ngeri kepada rakyat di negara ini dalam tempoh lebih dua tahun lalu, penegasan tentang ‘diperketatkan’, ‘dipantau’ dan ‘pemeriksaan rapi’ di pintu masuk negara oleh kerajaan ketika itu akhirnya tetap membawa negara ini melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala semua pusat kuarantin serta hospital padat dengan pesakit Covid.
Bermula dengan menyatakan keadaan terkawal, mengawal ketat sehinggalah seolah berada di luar kawalan akhirnya berjuta-juta rakyat negara ini dijangkiti Covid-19.
Maka, apabila baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk tidak menyekat mana-mana kemasukan pelancong luar termasuk China yang kini teruk diancam Covid-19 ke negara ini dan kerajaan akan mengambil langkah ‘memperketatkan lagi prosedur’ kemasukan, ia mencetuskan seribu macam kebimbangan kepada orang ramai.
Kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang gusar dengan langkah memperketatkan ini walaupun atas nama meningkatkan ekonomi negara kerana selalunya kemarahan dan kebimbangan rakyat ada asasnya.
Betapa tidak, episod hitam negara ini dalam tempoh itu, bagaikan tidak mahu kita kenang lagi. Banyak pengalaman pahit yang kita sudah lalui. Ramai kehilangan orang tersayang, ramai yang menanggung derita akibat Long Covid sehingga sekarang, ada yang terkesan dengan vaksin, kehilangan kerja, perniagaan ‘bungkus’ manakala pekerja frontliners jangan cakaplah, penat pun tak habis lagi. Persekolahan anak-anak turut kelam-kabut. Kelas online membuatkan ramai tercicir kerana tidak mampu membeli gajet selain liputan internet yang teruk di kawasan luar bandar terutamanya.
Ramai di antara kita sudah merasa sakitnya mengalami Covid-19. Ada yang sudah dua kali atau mungkin lebih daripada itu terkena Covid-19 walaupun selalu memakai pelitup muka dan jarang berada di luar kecuali pergi kerja. Hakikatnya, orang yang kena Covid-19 tidak semua melanggar prosedur operasi standard (SOP) tetapi mereka ini tetap tidak bernasib baik.
Justeru selain menuntut agar rakyat negara ini kekal menjaga SOP, rakyat mahu mengetahui dan berharap langkah ‘memperketatkan lagi’ itu betul-betul ketat bagi memastikan tidak kira pelancong dari China atau negara lain yang teruk dijangkiti Covid-19 tidak bolos masuk ke negara ini.
Selasa ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa akan mengumumkan prosedur baharu itu. Kita berharap ia janganlah sekadar mengimbas suhu badan seperti masuk ke pasar raya kerana simptom Covid-19 sekarang ini, tidak semua dimulai dengan demam. Ada yang sekadar sakit kepala, sakit badan atau tekak. Simptom-simptom ini sudah tentunya tidak dapat dibaca dengan mengimbas suhu. Begitu juga, ada pesakit tanpa simptom pun.
Hal memeriksa air kumbahan pesawat juga perlu dijelaskan. Masa bila pula keputusan itu akan diketahui. Adakah selepas mereka sudah dibenarkan masuk, baru keputusan boleh diperoleh?
Ini yang membuatkan, ramai tertanya-tanya apakah langkah-langkah diperketatkan lagi itu kerana sebelum ini kita sudah ada prosedur cukup ketat sebelum ia dilonggarkan dengan pembukaan semula pintu sempadan negara tahun lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini menerima data dari China yang menunjukkan kes jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 218,019 kes dalam tempoh seminggu sehingga 1 Januari lalu. Data juga menunjukkan sebanyak 648 kematian baharu dalam tempoh itu dari negara itu termasuk Hong Kong, Taiwan dan Macau. Sebelum ini, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan tidak menerima sebarang data dari China dalam tempoh beberapa minggu lalu selepas Beijing menarik balik dasar Zero Covid pada awal bulan lalu.
Kita bukan mahu kerajaan melakukan diskriminasi terhadap mana-mana pelancong tetapi apabila Malaysia mengamalkan dasar buka pintu kepada semua negara yang dijangkiti Covid-19 yang teruk, sudah tentu rakyat berisiko untuk dijangkiti. Inilah sebenarnya amat membimbangkan rakyat ketika ini. Justeru, rakyat mahu langkah diperketatkan lagi itu betul-betul berkesan. Lakukanlah ujian swab kepada semua pelancong asing. Tanpa memilih yang berisiko. Semua yang masuk tidak boleh dikecualikan.
Sekarang ini, kita sedang melalui fasa pemulihan. Bukan setakat pemulihan ekonomi tetapi juga pemulihan semangat bagi setiap orang yang terkesan dengan Covid-19 ini.
Hakikatnya, negara ini perlu belajar daripada kesilapan lalu yang mana apabila kita membuka pintu masuk negara ini kepada pelancong luar yang negaranya mengalami kes Covid-19 yang teruk, akhirnya habis kita sekali terpalit dengan virus ini walaupun tidak semuanya dari luar tetapi ia boleh merebak dengan mudah walau dengan seorang pelancong yang dijangkiti.
Meminta orang ramai supaya mengambil dos penggalak kerana mahu membenarkan pelancong asing datang ke negara ini, itu sudah pastilah kedengaran agak pelik. Maknanya, pelancong asing yang mahu masuk ke sini, rakyat negara ini pula diminta mengambil vaksin buat beberapa kalinya.
Betul, kita tidak perlu cemas dengan berita-berita yang membimbangkan tentang Covid-19 di negara lain. Sebab, kita sudah ada pengalaman melaluinya dan tahu langkah-langkah untuk mengelak dengan mematuhi SOP.
Pun begitu, jika kita ada peluang untuk menghalang, sepatutnya gunakanlah peluang itu kerana jika sudah terlambat, ia tidak mampu lagi dibendung walaupun dengan ‘memperketatkan lagi’ SOP.
Sebenarnya, rakyat kita sendiri sudah mampu berbelanja dengan memenuhi pusat-pusat pelancongan di pelosok negara ini setiap kali cuti umum dan cuti sekolah. Maknanya, industri pelancongan tidak akan malap sekiranya kemasukan pelancong asing disekat untuk sementara.
Memang betul soal keselamatan dan nyawa rakyat adalah satu keutamaan dan tidak boleh dikompromi seperti yang diperkatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita hargai keprihatinan Perdana Menteri.
Tetapi sebagai rakyat yang sudah mengharungi detik-detik sukar itu, tentunya kita tidak mahu perkara yang sama berulang kembali. Cukuplah ia hanya berlaku dalam tempoh lebih dua tahun lalu. Pada tahun ini dan tahun mendatang, tentunya kita mahu fokus dalam meningkatkan pendapatan isi rumah dan di pihak kerajaan pula memulihkan ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Kebimbangan rakyat perlu diambil kira. Sebab pusing-pusing macam mana pun nanti yang akan kena tempias dan musibahnya, rakyat juga.
Pada masa sama rakyat juga jangan leka. Teruslah mematuhi SOP walaupun ketika ini kes Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan. Kita tidak mampu lagi untuk terus duduk di rumah. Semua perlu bekerja. Perut perlu diisi. Bil-bil perlu dibayar.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya