Keperluan pembelaan ‘Romeo & Juliet’

Keperluan pembelaan ‘Romeo & Juliet’

HUKUMAN penjara ke atas remaja lelaki yang disabitkan kesalahan rogol dikhuatiri mendatangkan kesan negatif. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGISAN seorang ibu memecah sepi pekarangan mahkamah pada pagi itu. Tangannya mengusap-usap raut wajah anaknya, seorang pemuda berumur 19 tahun sebelum kehadiran polis mahkamah menamatkan paparan kasih sayang itu. Gari yang disemat kemas pada lengan anak muda itu berdenting serentak dengan langkah kaki yang membawa dia keluar dari mahkamah. Langkah yang salah membunuh segala potensi seorang pemuda.

Pemuda 19 tahun itu didapati bersalah atas satu pertuduhan rogol statutori terhadap teman wanitanya yang ketika kejadian berumur bawah 16 tahun. Pasangan itu berpacaran selama lebih setahun dan baru sahaja mencecah usia 17 dan 19 tahun.

Tetapi di Malaysia, undang-udang menetapkan hanya remaja yang sudah berumur 16 tahun boleh memberikan keizinan bagi melakukan hubungan seksual. Selain itu, tiada pengecualian bagi keizinan yang diberikan kepada pasangan remaja yang umur tidak terlalu berbeza.

Pada awal bulan ini, saya berpeluang menghadiri sesi libat urus bersama pelbagai agensi kerajaan berkaitan cadangan pindaan kepada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) serta kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Akta 676) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Sesi libat urus itu didahului dengan pembentangan Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd.; Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr. Farah Nini Dusuki; dan Pakar Perlindungan Kanak-Kanak, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, S. Selvi. Susulan itu, hadirin terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) berkaitan isu kanak-kanak memulakan perbincangan bagi meraut dan memperhalusi isu serta persoalan berkait cadangan pindaan tersebut.

Antara isu yang diruncingkan adalah keperluan bagi pembelaan ‘Romeo & Juliet’ atau sweetheart defense diguna pakai bagi mengelak pasangan muda yang mengadakan hubungan seksual didakwa sebagai melakukan rogol statutori. Keizinan adalah satu faktor menentukan hukuman dalam kes rogol statutori. Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) menyebut bahawa hukuman minimum jika mangsa di bawah umur 12 tahun adalah lima tahun penjara dan/atau disebat sama ada atau tidak mangsa bersetuju dengan perbuatan itu. Bagaimanapun, tidak ada hukuman minimum disediakan jika seseorang mangsa yang berumur di atas 12 tahun dan bawah 16 tahun.

Pembelaan ‘Romeo & Juliet’ adalah pembelaan undang-undang yang digunakan di beberapa negeri di Amerika Syarikat bagi pasangan remaja yang melakukan hubungan seksual secara suka sama suka. Kebiasaannya, pasangan ini mempunyai umur yang hampir antara satu sama lain.

UNIK

Pembelaan ini memperhitungkan keadaan unik dan dinamika hubungan melibatkan remaja yang hampir sama umurnya. Ini termasuk fakta bahawa remaja bawah umur tidak memiliki tahap kedewasaan atau pemahaman tentang akibat tindakan mereka yang sama seperti individu dewasa dan tidak memahami secara penuh sifat aktiviti seksual yang mereka lakukan.

Ini sejajar dengan saranan Unicef bagi meminda Kanun Keseksaan mensyaratkan kanak-kanak berumur 16 tahun dan ke bawah mampu untuk memberi keizinan bagi aktiviti seksual dengan syarat suka sama suka, kanak-kanak tersebut berumur sekurang-kurangnya 13 tahun dan beza umur pihak-pihak terlibat tidak melebihi tiga tahun antara satu sama lain.

Namun di Malaysia, kebanyakan pendakwaan bagi kes rogol statutori melibatkan pasangan remaja adalah atas dorongan laporan polis dibuat ibu bapa pasangan perempuan yang bertindak menghukum pasangan lelaki walaupun tiada paksaan atau keganasan terjadi. Harus ditekankan, sistem perundangan dan hukuman penal bukanlah alternatif kepada tanggungjawab didikan ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Hukuman penjara yang berat sebelah ini bagai melepaskan batuk di tangga. Isu keruntuhan nilai moral remaja harus ditangani sebagai isu sosial dengan asuhan dan nilai kekeluargaan yang holistik. Lebih-lebih lagi kajian menunjukkan tindakan menghukum remaja lelaki dengan penjara mendatangkan kesan negatif seperti kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal pada masa depan serta stigmatisasi sosial yang berpanjangan.

Selain itu, remaja yang dipenjarakan berisiko lebih tinggi untuk melakukan kesalahan sama dibandingkan dengan rakan-rakannya yang tidak pernah dipenjarakan. Jelas membuktikan baha­wa hukuman penjara dan pendakwaan bukan penye­lesaian bagi isu pergaulan remaja di luar pernikahan.

Selain itu, amatlah janggal apabila kita menghujahkan bahawa remaja perempuan di bawah umur 18 tahun berupaya untuk memasuki alam pernikahan, namun tidak mempunyai kefahaman dan keupayaan mental untuk memberikan keizinan dalam pergaulan seksual. Saranan saya bagi Unicef pula, haruslah tidak rambang mata dan lebih konsisten dan logik dalam perjuangan mereka. Sekiranya kanak-kanak berumur 16 tahun mempunyai keupayaan memberi keizinan dalam hubungan seksual, maka mereka juga mempunyai keupayaan bagi memasuki alam pernikahan. – UTUSAN

Penulis ialah seorang peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN