SEMENJAK skandal 1MDB tersebar luas, Malaysia mulai terkenal sebagai ibu negara rasuah seantero. ‘Penghormatan’ tersebut masih terlekat walaupun hampir keseluruhan rakyat cuba menepis rasa malu sebanyak yang mungkin.
Namun, tidak semudah dijangkakan. Lekatannya agak kukuh lagi mencemarkan segenap akal budi yang ada. Rupa muka bangsa Malaysia tetap bercontengan arang sama ada diakui atau tidak. Ia termasuk bagi sesetengah yang tidak mahu menyedarinya.
Ini terbukti dalam beberapa hal apabila menjadi perbualan ramai kerana contengan yang hodoh lagi menghodohkan terus melukai perasaan rakyat yang cintakan negara. Namun, masih ada segelintir tidak langsung tersentuh seraya berpura-pura tidak mempedulikan apa yang sebenarnya terpancar dari air muka mereka. Ada yang masih mampu gelak ketawa untuk melindungi duka nestapa. Bagi yang memerhati dari jauh, ia jelas menjelikkan. Begitulah seterusnya yang dipertontonkan kepada khalayak ramai yang dewasa itu bakal menjadi pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Apa pun, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kali ini jatuhnya agak terhenyak dan amat menyakitkan setelah melayani keegoan serta harapan begitu tinggi menggunung. Seolah-olah telah dijamin menang besar khususnya selepas berjaya mendahulukan penjadualan PRU walaupun hampir seluruh kelompok politik lain tidak bersetuju.
Akhirnya, atas kehendak Ilahi jua, tidak semua yang dihasratkan termakbul jika niat kurang jernih maksudnya. Mungkin ada rezeki yang tidak direstui dan menyebab segala-gala bertukar wajah pudar. Kepada yang peka ini sudah tentu membawa bibit keinsafan mendalam. Mungkin ada yang tersilap langkah atau lenggok yang mencurigai.
Paling tidak terdapat detik yang kurang mesra dengan fitrah semula jadi sehinggakan langkah menjadi sumbang dan lenggok tidak sepadan. Tetapi kepada yang tidak peka, semuanya tidak membawa pengajaran.
Maka kemelut terus menimpa, kadangkala sehalus sutera tetapi kesannya cukup menyakiti atas niat yang kurang jernih tadi.
GULING
Beberapa minggu lalu di ruangan Rencana ini bertarikh 8 Disember 2022 bertajuk Awasi musuh dalam selimut, ada menyapa tentang kemungkinan musuh dalam selimut yang wajar diawasi. Tidak disangka yang ia akan berlaku begitu pantas sekali apabila cubaan tidak semena-mena menggulingkan sebuah kerajaan negeri dilakukan, setelah sama-sama bersekongkol menyokong pembentukannya.
Apatah lagi kononnya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menstabilkan suasana politik negara. Jika ini benar, bukankan langkah menggulingkan kerajaan satu bentuk secara ‘haram’ satu penderhakaan? Mengapa ini tidak difikirkan terlebih dahulu? Kebetulan? Atau sebaliknya terutama melibatkan mereka terpalit skandal rasuah. Lagi sekali Ilahi tidak mengizinkannya. Penggulingan gagal! Dalangnya sibuk menuding jari ke sana ke mari. Mungkin ada daulatnya kepada yang mengerti! Sedangkan kepada yang tidak akan terus menjadi duri dalam daging. Bak kera diberi bunga. Kurang bersyukur. Tidak pandai menghargai budi.
Maka timbul tanda tanya: Jika tiada politik, di manakah pengacau seperti ini agaknya? Kini sudah pintar berpolitik, mengapa rakus bagai kacang lupakan kulit? Lupa daratan? Tidak cerdik dan tidak pula beradab.
Rakyat dijadikan batu loncatan secara kurang sopan. Adakah mereka ini akan insaf dan sedar diri? Kerana perpaduan yang jati menuntut kepadanya. Bukan bagai gunting dalam lipatan, tidak sudah-sudah merancang senyap-senyap untuk kepentingan diri semata-mata. Ia memburukkan lagi keadaan seandainya yang terbabit bercalitkan pelbagai dakwaan skandal berjela-jela.
Akhirnya, gelagat ini akan mencetuskan satu lagi padah yang belum pernah dialami – pendemokrasian perasuah! Tidak cukup dengan skandal yang melata, kini dijadikan pilihan secara demokratik untuk menghalalkan perbuatan keji. Tambahan pula yang terlibat bukan calang-calang orang.
Lantas ingin mencari jalan keluar mudah dengan memperalatkan proses ‘demokrasi.’ Bukan demokrasi untuk menegakkan yang terbaik serta terhormat tetapi sebaliknya. Malah lebih tepat digelar demon-crazy, gabungan sifat ‘hantu’ dan ‘kegilaan.’
Suatu rekaan yang tidak munasabah atau logika atas kegilaan rasa dan kuasa meniti skandal yang tiada henti. Seolah-olah dirasuk makhluk yang hilang kawalan diri. Apa yang tidak dibenarkan, ditolak ke tepi sahaja walaupun menyalahi naluri. Termasuk peruntukan perlembagaan yang mewajibkan pemilihan serta pertandingan demokratik. Disangkal begitu sahaja dengan mengenyahkan hak demokratik ahli yang menuntut seadilnya.
Oleh yang demikian, ia menghantui semua peringkat dan pelosok. Ketidakadilan pun mula memuncak kerana proses demokrasi turut diskandalkan. Nilai etika turut luntur berkesudahan umpama yang sedang membara selepas percubaan penggulingan kecundang.
Sudah pasti ini merungkai ‘perpaduan’ yang baru mula berputik. Kini retak seribu akibat penderhakaan melangkaui titah raja, malah menodai amanah bangsa serta bernegara. Sekali gus matlamat asal untuk kembali bersatu padu terbengkalai lagi.
Ringkasnya, jangan termakan dengan dakyah mendemokrasikan skandal dan perasuah untuk membulatkan perpaduan, kononnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










