DIJANGKAKAN beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti akan dibuat dalam Perhimpunan Agung Khas yang dianggap sebagai prelude kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Juga kedengaran beberapa ketetapan penting melibatkan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam PAU dijadualkan untuk dilaksanakan pada Mac ini.
Dalam perhimpunan khas itu, ada pihak mendakwa kononnya akan dilakukan ketetapan untuk tidak mengadakan pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atas alasan untuk menjamin kestabilan parti. Ketetapan ini dikatakan akan dibuat untuk memperkukuhkan saf kepimpinan parti yang semakin berpecah-belah kebelakangan ini.
Namun, timbul juga pandangan dalam kalangan segelintir pemimpin dan ahli di akar umbi supaya pemilihan perlu diadakan bukan sahaja untuk melestarikan jiwa demokrasi dalam parti, malah
Ada berpendapat, pemilihan bagi jawatan tertinggi perlu diadakan untuk menjawab pelbagai soalan dan kegusaran yang timbul terhadap kepimpinan utama parti termasuk dakwaan kononnya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan sepadu dalam kalangan pemimpin-pemimpin atasan dan akar umbi.
Pada PRU15, sebahagian besar kawasan Barisan Nasional (BN) terutama kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO sejak merdeka telah diceroboh dan ditawan oleh parti lawan. Kekalahan hampir 30 kerusi jelas menunjukkan sokongan terhadap UMNO dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu merosot. Malah, pengundi Melayu di luar bandar yang menjadi benteng atau fixed deposit kepada UMNO lebih cenderung memilih parti bukan UMNO pada PRU15.
Perubahan dalam kecenderungan para pengundi menimbulkan keperluan untuk BN dan parti-parti komponennya, UMNO bermuhasabah serta menilai kelemahan masing-masing untuk membaca cita rasa dan naluri pengundi Melayu dalam persekitaran dinamika politik yang kian berubah.
Meskipun Ahmad Zahid yang mengambil alih kepimpinan UMNO pada 12 Mei 2018 ketika parti tersebut menghadapi suasana politik tidak stabil dan kritikal selepas kehilangan kuasa memerintah pada pertama kalinya dalam sejarah politik negara, beliau tidak berputus asa serta menggalas tanggungjawab mengembalikan kuasa parti itu untuk memerintah. Beliau bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Apabila kerajaan PN tumbang, seorang pemimpin dari UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama parti itu dilantik sebagai menteri Kabinet bersama PN. UMNO memperoleh semula kuasa memerintah yang hilang pada PRU14.
Seterusnya, meskipun UMNO gagal meraih kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan, beliau sekali lagi berjaya memujuk UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH), kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menubuhkan kerajaan perpaduan. Presiden UMNO dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Jadi, tidaklah keterlaluan sekiranya menyimpulkan bahawa kejayaan UMNO kembali berkuasa menganggotai kerajaan PN dan kini dalam kerajaan perpaduan adalah disebabkan strategi yang dilakar oleh kepintaran dan kebijaksanaan kepimpinan Ahmad Zahid.
RASUAH
Namun, ada pihak menggesa UMNO agar mengadakan pemilihan bersandarkan prinsip demokratik dalam parti yang disertai lebih tiga juta ahli dari 191 bahagian meliputi 22,274 cawangan di seluruh negara.
Malah UMNO perlu mengadakan pemilihan untuk mengukur sejauh mana tahap penerimaan dasar, strategi serta hala tuju kepimpinan Ahmad Zahid yang menyertai kerajaan kepimpinan Anwar kerana PAU pernah membuat ketetapan sebelum PRU15 agar UMNO menolak DAP dan PH atau No DAP, No PH.
Dengan itu, mereka mendakwa pemilihan bagi semua jawatan termasuk kedua-dua jawatan utama parti akan menunjukkan tahap penerimaan dan kesahihan ahli-ahli dari semua peringkat terhadap kepimpinan UMNO semasa.
Dalam pada itu, perlu sedar bahawa pengundi muda menolak UMNO kerana imej UMNO dan BN yang buruk dalam kalangan rakyat kesan dakwaan pembangkang termasuk PH, kononnya pemimpin-pemimpin UMNO terpalit dengan kes rasuah di mahkamah serta menyalah guna dana yang diperuntukkan untuk rakyat. Dengan itu, ada ahli termasuk veteran menggesa UMNO perlu memberi laluan kepada pemimpin baharu bagi memulihkan kepercayaan terhadap parti sebagai langkah untuk mengekalkan kelangsungannya pada pilihan raya akan datang.
Dipercayai pemilihan UMNO bukan sahaja akan meyakin dan mendorong pengundi muda yang menjadi penentu kemenangan pada PRU akan datang, bahkan PRN-PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Apa pun, para perwakilan yang hadir persidangan khas perlu merenung kembali asas-asas dan matlamat utama penubuhan UMNO. Kita sedia maklum, UMNO ditubuhkan sebagai respons kepada pelaksanaan dasar Malayan Union oleh penjajah British. Malayan Union dilihat sebagai langkah penjajah untuk menghapuskan hak istimewa serta kuasa politik orang Melayu di negara ini. Pendek kata, UMNO ditubuhkan untuk memperjuang mengekalkan dominasi kuasa politik Melayu serta memastikan hak-hak istimewa kaum bumiputera tidak dicabar.
Ahli-ahli UMNO yang menjadi tiang seri kini terdesak untuk melihat keputusan yang bakal ditetapkan oleh para perwakilan perhimpunan khas demi kelangsungan UMNO dalam menghadapi dinamika politik yang penuh mencabar. Malah, rakyat keseluruhan termasuk bukan Melayu juga mengikuti perkembangan dalam kepimpinan dan hala tuju UMNO kerana parti itu adalah suara sebahagian besar orang Melayu di negara ini. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.










