Berubahkah pendidikan tinggi di bawah pentadbiran Anwar?

Berubahkah pendidikan tinggi di bawah pentadbiran Anwar?

SEJUMLAH 70,156 calon berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN tinggi adalah institusi penting dalam pembangunan dan corak masa depan sesebuah negara. Daripada universitilah lahirnya individu yang bakal mentadbir dan mencorakkan pembangunan sesebuah negara.

Dengan kata mudahnya peranan universiti dalam sesebuah negara sangat penting. Runtuhnya institusi pengajian tinggi akan memberi kesan yang besar bagi corak dan pembangunan masa depan sesebuah negara.

Kesannya mungkin dapat dilihat dengan jelas dalam tempoh masa tertentu, setidak-tidaknya dalam masa dua dekad atau lebih. Pentadbiran serta individu penting yang menguasai dan menjalani negara pada hari ini adalah mereka yang lahir atau graduan universiti dalam tahun 70-an, 80-an, 90-an atau lebih awal.

Rosaknya fungsi universiti akan rosaklah graduan dan memberi kesan kepada negara secara keseluruhannya. Umumnya individu yang akan mentadbir negara adalah mereka yang mempunyai ijazah. Adalah mustahil pemimpin dan mereka yang menjadi anggota penting pengurusan negara terdiri daripada mereka yang tidak berpelajaran tinggi dan jauh tersorok di pedalaman.

PERUBAHAN
Perubahan dan penyusunan besar telah berlaku dalam awal 1990-an ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan. Bahkan lebih awal daripada itu dalam tahun 70-an, struktur dan asas universiti kita telah mantap yang umumnya berasaskan Pendidikan Tinggi British di bawah penyusunan Tun Abdul Razak.

Penyesuaian berlaku dengan sistem Amerika Syarikat yang berteraskan sistem semester. Diakhir Anwar sebagai Menteri Pendidikan struktur universiti diselaraskan kepada sistem empat tahun pengajian (termasuklah juga Universiti Malaya yang asalnya berteraskan sistem British tiga tahun pengajian bagi ijazah pertama dalam kebanyakan bidang pengajian).

Perubahan besar bermula 1996 apabila sistem pengajian berasaskan empat tahun ditukar kepada tiga tahun oleh Menteri Pendidikan pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pengkhususan awal juga berlaku kerana tempoh masa yang pendek.

Pengajian tahun pertama yang bersifat asas pengajian disiplin tidak lagi menjadi amalan di kebanyakan universiti. Alasan yang diberikan adalah bagi menghasilkan graduan lebih cepat bagi keperluan tenaga kerja semasa. Alasan ini agak dangkal dan bertentangan dengan falsafah serta teras utama pendidikan. Asas perubahan dalam bidang pendidikan mesti berasaskan pendidikan dan ilmu, tetapi perubahan tetap berlaku dengan kuasa Menteri Pendidikan. Apa yang dihasilkan adalah graduan ‘separuh masak’ yang mutunya boleh dipersoalkan.

Perubahan besar juga berlaku dalam perjalanan pengajian dan pengurusan universiti. Peranan serta tugas pensyarah dan profesor sedikit demi sedikit berubah. Pensyarah tidak lagi bebas mengembangkan pengajaran dalam bidangnya. Mulai tahun 2010-an, pengembangan ilmu berasaskan bidang dan kebolehan seseorang pensyarah mula terhambat dengan struktur yang sedang berkembang. Semuanya berlaku mengikut tatacara dan peraturan bertulis yang ditetapkan oleh pengurusan universiti atas nama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan garis panduan bagi memenuhi pengejaran ranking.

MQA dan pengejaran ranking menjadi tunggak yang lebih diutamakan daripada prinsip asas pengembangan ilmu sebenar.

Malah, syarat kenaikan pangkat profesor juga berubah daripada asas tradisi kepada unsur-unsur yang mempunyai kaitan dengan faktor fizikal dan perdagangan.

Penerbitan artikel scopus, Web of Science (WOS) dan seumpamanya serta jumlah dana penyelidikan mempunyai kaitan rapat dengan kenaikan pangkat ke tahap profesor. Kedudukan buku akademik yang rendah atau langsung tidak diambil kira oleh sesetengah universiti awam mengubah asas pengukuran.

Pertembungan besar berlaku antara pensyarah/profesor lama (yang mula berkhidmat dalam 70 hingga awal 90an) dengan pentadbiran baharu universiti. Arahan daripada atas yang bersifat ‘top-down’ daripada kementerian pendidikan tinggi memperkukuhkan kuasa dan arahan pentadbiran utama sesebuah universiti. Pensyarah dan profesor biasa terpaksa mengalah dan bertugas sebagai ‘di hati geleng, kepala angguk’ bagi meneruskan tugas.

Ramai juga yang mengambil keputusan bersara awal kerana perubahan situasi yang mendadak. Ramai pensyarah yang baik dan bermutu bersara, bukan kerana tidak berminat mengajar tetapi situasai semasa pengajaran telah berubah.

Banyak yang cuba dinyatakan dalam bentuk bertulis yang ‘baik’ sifatnya. Semuanya perlu direkod dan dinyatakan dalam bentuk bertulis. Pada hakikatnya, semua proses pengajaran dan perkembangan ilmu di peringkat universiti (khususnya dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan) tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk bertulis.

Laporan dan analisis yang bersifat kognitif, efektif dan psikomotor di peringkat universiti dan sekolah adalah berbeza. Menyamakannya adalah satu tafsiran yang tidak semua kena dan tepat dalam semua keadaan. Salah tafsir ini memberikan kesan buruk kepada universiti.

Kini, tugas guru dan pensyarah/profesor telah banyak disalahtafsirkan. Pengkhususan kerja semakin dihapuskan. Mereka bukan lagi melakukan kerja dan terkait secara langsung dengan pengajaran dan kepakaran disiplin ilmu yang dikuasai tetapi diminta melakukan kerja-kerja rutin yang bersifat perkeranian.

HAKIKAT
Adakah ini akan terus berterusan dalam pentadbiran Anwar? Mungkinkah Kementerian Pendidikan Tinggi dibawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan melakukan perubahan? Bukan semua yang ada sekarang buruk belaka, tetapi perubahan dalam aspek tertentu (yang sebahagiannya saya nyatakan di atas) adalah perlu.

Anwar mempunyai idealisme yang cukup tinggi dan memahami dengan mendalam falsafah universiti. Saya berpendapat kalau beliau mendalami apa yang sedang berlaku di universiti kita sekarang, pasti ada banyak aspek yang bakal ditegur.

Anwar perlu turun ke universiti dan melakukan dialog secara terbuka dengan penuh ikhlas dan benar-benar jujur dengan semua pensyarah dan para profesor (bukan hanya dengan pentadbir utama universiti sahaja). Kalau boleh perlu dipisahkan pertemuan antara pensyarah dan pentadbir utama universiti bagi mendapat gambaran sebenar dan lebih terbuka.

Saya tahu dan menerima hakikat bahawa Anwar tidak mungkin dapat membuat perubahan secara cepat dalam masa yang singkat dalam semua aspek pentadbiran dan pengurusan negara.

Walaupun begitu kita mesti menerima hakikat bahawa pengajian tinggi universiti adalah salah satu aspek penting dalam pengurusan dan pembangunan negara yang tidak boleh diketepi dan ditangguhkan.
Permulaan dan pembetulan segera dalam aspek-aspek penting tertentu pengajian tinggi universiti adalah sangat perlu.-UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah pelajar sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×