Berani sekalipun, biarlah berkecuali

Berani sekalipun, biarlah berkecuali

PENULIS mempersoalkan tindakan akhbar arus perdana menyiarkan kritikan-kritikan keras ke atas perjalanan dan keputusan PAU 2022 yang disifatkan berat sebelah. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSUNGGUH-SUNGGUH sekali akhbar arus perdana tertentu memuatkan kritikan ke atas UMNO sehubungan dengan perjalanan dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang baru berlalu.

Terpampang sebagai tajuk muka depan akhbar itu, persoalan apakah tindakan PAU 2022 meluluskan usul tambahan menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO adalah sah atau tidak dari sudut undang-undang.

Walhal akhbar sama pada 8 Disember 2017 melaporkan kelulusan usul tambahan sama oleh PAU 2017 bahawa jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan jawatan Timbalan Presiden yang dipegang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan dalam PAU 2018.

Tidak berbangkit pula pada waktu itu apakah kelulusan usul tambahan ini yang dikemukakan oleh wakil Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz dan disokong wakil Perak, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin sebagai sah atau tidak dari sudut undang-undang. Sedangkan serupa, di mana kedua-duanya bersifat usul tambahan, ada pencadangnya, iaitu wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsudin dan ada penyokongnya, iaitu wakil Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Akhbar sama juga memuatkan kenyataan seorang penganalisis politik yang berkata, tindakan menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pasti dianggap tidak demokratik dan menjejaskan proses reformasi, peremajaan dan transformasi UMNO. Ia juga didakwa memperlihatkan seolah-olah parti enggan berubah selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain dianggap menyekat demokrasi dalam parti dan menghantar mesej negatif pada akar umbi dan rakyat secara keseluruhan.

Dihujahkan oleh penganalisis politik ini bahawa antara faktor menyebabkan UMNO dihukum pada PRU15 adalah reputasi pimpinan tertingginya yang tercemar dan usul tambahan ini berisiko menjadi petanda buruk buat UMNO.

Seorang lagi penganalisis politik dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata, kelulusan usul tambahan itu menutup ruang demokrasi dalam UMNO dan memberi persepsi buruk pada pihak di luar parti.

Tidak cukup dengan ini, turut disiarkan di dalam akhbar itu ialah rencana semuka penuh tulisan seorang lagi penganalisis politik mengkritik hebat PAU 2022 yang disifatkan tidak menampakkan UMNO sanggup bergerak ke hadapan. Ujar beliau, dalam PAU 2022 tidak ada pihak tidak dipersalahkan UMNO berikutan prestasi mereka dalam PRU15. Hanya yang tidak dituding dan diselak ialah kain sendiri, manakala ucapan kepemimpinan tertinggi pula dikatakan hanya dijadikan medan memulangkan paku buah keras.

Selanjutnya, dua cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO dalam PAU 2022, iaitu penubuhan Majlis Ulama dan Institut UMNO, juga dikatakan lebih dilihat sebagai preskripsi kosmetik manakala penyertaan ahli Majlis Profesor Negara (MPN) dalam Institut UMNO disifatkan membawa idea lapuk.

PEMBANGKANG

Perlu diingat bahawa UMNO bukanlah sebuah parti pembangkang kerana ia adalah parti kerajaan. Dengan enam daripada 28 menteri Kabinet diwakili oleh pemimpin UMNO, parti itu boleh disifatkan sebagai antara tonggak kepada kerajaan perpaduan, malah kerajaan perpaduan hanya terbentuk setelah UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menyertainya.

Oleh itu, tindakan akhbar arus perdana ini menyiarkan kritikan-kritikan keras ke atas perjalanan dan keputusan PAU 2022 tidak dapat tidak menunjukkan akhbar ini berani, sekali gus melambangkan kebebasan media yang wujud di negara ini pada masa ini.

Pada masa sama, seberani mana sekalipun sesebuah akhbar itu, ia haruslah dibezakan dengan sikap keneutralan dan kebertanggungjawaban kerana ramai sahaja penganalisis politik lain yang mempunyai pandangan positif mengenai PAU 2022 tetapi tidak disiarkan. Tidak disebut oleh mana-mana penganalisis politik ini bahawa Presiden UMNO dalam ucapan dasar pada PAU 2022 menyebut secara terbuka bahawa sebagai seorang demokrat, beliau serahkan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertanding atau tidak.

Tidakkah undian ke atas usul tambahan ini yang menyaksikan lebih 90 peratus perwakilan PAU 2022 menyokongnya menunjukkan bahawa kelulusan usul ini telah dibuat secara demokratik?

Mana-mana pihak yang mahu membuat perubahan di dalam parti seharusnya menggunakan sepenuhnya ruang pemilihan kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan pusat kerana selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, tidak ada sekatan ke atas pertandingan semua jawatan lain. Tidak benar jika dikatakan UMNO enggan mengaku silap serta enggan berubah. Malah dalam ucapan dasar beliau pada PAU 2022 Presiden UMNO mengakui, “Jika mahu dicari punca (kekalahan), kitalah puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah.”

Turut ditegaskan oleh Presiden parti adalah UMNO perlu berubah sesuai dengan kehendak semasa dengan perlu mampu menangkap imaginasi anak-anak muda, perlu mempunyai kemampuan untuk menseimbangkan politik pembangunan dan politik perkhidmatan serta mesti menggarap pemikiran serta idea baharu di setiap peringkat parti. Malah dalam PRU15, UMNO membuat langkah berani dengan menampilkan muka-muka baharu sebagai satu proses peremajaan dan pembaharuan dalaman parti. Dengan penubuhan Majlis Ulama dan Institut UMNO, maka sudah pastilah usaha ini akan berjalan dengan lebih rancak.

Dakwaan antara faktor menyebabkan UMNO dihukum pada PRU15 adalah kerana reputasi pimpinan tertingginya yang tercemar juga boleh dipertikaikan kerana kita tahu ada pertuduhan berbentuk politik dan selagi mana seseorang tidak disabitkan, maka dia dikira belum bersalah.

Mengenali Presiden UMNO dengan latar belakang keagamaannya, sentiasa solat berjemaah di awal waktu, malah boleh menjadi imam dengan ketahanannya mempertahankan kelangsungan UMNO sewaktu UMNO diserang hebat dan dengan ketepatan strategi pasca PRU15, semua seharusnya memberi ruang kepada beliau dan timbalannya memulihkan parti. – UTUSAN

Datuk Ir. Shaari Hassan ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanah Merah dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN