NILAI: Usaha reformasi dan memperkukuh tadbir urus negara berdepan cabaran besar disebabkan sikap segelintir pihak yang enggan menerima perubahan serta terus mempertahankan budaya rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keengganan golongan elit yang masih mempertahankan budaya rasuah merupakan cabaran terbesar oleh pihak kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Katanya, langkah kerajaan memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah meskipun tidak popular, namun ia perlu diteruskan bagi sistem pentadbiran negara telus dan berintegriti.
“Ramai yang tidak senang apabila kita hendak membetulkan sistem. Namun, sistem tidak pernah sempurna dan mesti sentiasa diperbaiki. Itulah tuntutan agama, budaya serta tamadun.
“Apabila kita berusaha membetulkan sistem dan menghapuskan budaya rasuah yang dianggap biasa, muncul penentangan terhadap perubahan. Mereka mungkin moden daripada segi pakaian dan gaya hidup, tetapi keengganan untuk berubah tetap wujud kerana perubahan akan mencabar kedudukan serta kebiasaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Temu Anwar bersama pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Baru Enstek, di sini hari ini.
Anwar berkata, masyarakat kebiasaannya terpecah kepada dua kelompok iaitu golongan yang cenderung untuk membuat perubahan dan kelompok yang menolak perubahan.
“Kumpulan pertama sentiasa mahu memperbaiki diri. Kalau sudah baik, dia mahu menjadi lebih baik. Namun, ada satu lagi kelompok yang enggan berubah, kolot, jumud dan melihat setiap perubahan sebagai ancaman,” katanya. –UTUSAN










