Saya perlu kenal artis lain, kalau tidak nanti dipanggil bodoh - Auddra Zulkifli - Utusan Malaysia

Saya perlu kenal artis lain, kalau tidak nanti dipanggil bodoh – Auddra Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Auddra Zulkifli atau Oddah mengakui penting untuk dirinya mengenali artis tempatan tanah air terutamanya dalam kalangan senior selepas bergelar anak seni.

Menurut anak kepada pelakon, Sharifah Shahira itu, dirinya sebelum ini tidak begitu mengenali artis tanah air meskipun membesar dalam keluarga seni, selain hanya mengenali nama mereka dan perlu merujuk kepada ibu dan pengurusnya.

“Apabila sudah menjadi artis, memang saya lebih kenal ramai artis. Rasanya seperti pergi sekolah perlu buka buku teks setiap kali pengurus saya kenalkan mereka satu persatu.

“Kadang-kadang saya cuma kenal muka, tapi tidak tahu nama. Sebelum saya pergi berlakon, ibu saya memang akan beri taklimat kepada saya.Terangkan siapa yang saya akan berlakon bersama, semua dia akan cerita. Saya tak mahu memalukan Mama saya. Kalau saya tidak tahu, saya akan pastikan saya ambil tahu.

“Ini kerana apabila sudah menjadi artis, saya perlu bekerja dengan artis lain. Jadi saya perlu kenal mereka. Kalau saya tidak tahu, nanti orang panggil saya bodoh. Sebab itu kalau saya tak tahu, saya akan tanya pengurus atau ibu saya,” katanya.

Tambah Oddah, sebelum menjejakkan kaki ke dalam industri hiburan, artis yang dikenalinya hanyalah ibu saudaranya, Sharifah Sakinah kerana terlalu mengidolakan aktres itu.

“Sebelum ini, saya memang lebih meminati pelakon Hollywood. Kalau pelakon Malaysia yang saya minat pula seorang saja iaitu Sharifah Sakinah. Saya memang idolakan dia.

“Cara dia berlakon dan cara dia membawa diri di depan kamera sangat menarik dan unik. Tapi pelakon Malaysia yang lain, saya kenal juga. Cuma kadang-kadang saya kenal muka, tapi tidak tahu nama.

“Memang itu perangai saya. Tetapi, alau penyanyi pula, saya tahu ramai,” jelasnya ketika ditemui di sidang media Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, pada Khamis.

Mengulas mengenai penglibatannya menerusi siri travelog itu, Oddah turut mengetahui dirinya kali pertama mengenali aktor terkenal, Kamal Adli ketika bekerjasama dengannya.

“Sebenarnya saya pernah dengar nama dia. Mak saya selalu puji ketampanan Kamal Adli. Cuma saya memang lebih kenal muka daripada nama. Saya juga baru tahu dia pernah berlakon dengan Sharifah Sakinah sebab saya kaji sendiri.

“Sejujurnya saya malu. Walaupun orang sudah kenal saya, saya tetap akan perkenalkan diri. Saya tidak boleh ego. Saya artis baru. Saya kena ikut didikan ibu bapa saya saya. Tidak kira sebesar mana atau sekecil mana pun kita, kita tetap perlu ada disiplin dan adab,” ujarnya.

Geng Bijak Berbajet yang dikendalikan oleh Kamal Adli itu bakal membawa penonton menjelajahi pelbagai destinasi unik merentas enam buah negeri di Malaysia bersama Hotlink.

Selain Oddah, siri travelog itu turut barisan selebriti tempatan Hael Husaini, Nabila Razali, Siti Saleha, Zaki Yamani, Izzue Islam dan Ain Edruce.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN