SUNGAI PETANI: Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada politik berasaskan prestasi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tanpa terpengaruh dengan sebarang percaturan atau kerjasama yang melibatkan parti-parti lain.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keutamaan PH adalah menampilkan rekod pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang tempoh pentadbiran lalu.
Menurut beliau, pendekatan tersebut lebih penting berbanding menyerang atau mencari kelemahan pihak lawan sepanjang kempen pilihan raya.
“Pendekatan kita adalah untuk menunjukkan politik prestasi. Kita tidak mahu campur tangan dalam apa sahaja yang mahu dilakukan parti lain.
“Fokus utama adalah mengekalkan prestasi baik di Negeri Sembilan. Menteri Besar bersama barisan Exco telah membuktikan kemampuan mereka melonjakkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi,” katanya selepas pelancaran Program Madani Kita di Padang Awam, Bandar Puteri Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan.
Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, PH akan terus menonjolkan pencapaian kerajaan negeri dan memastikan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan dapat diteruskan selepas pilihan raya nanti.
“Keutamaan kita bukan untuk mencari salah atau menghentam parti lain, sebaliknya menonjolkan segala prestasi yang telah dicapai kerajaan Negeri Sembilan di bawah PH,” katanya.
Mengenai peluang PH mempertahankan Negeri Sembilan katanya, gabungan itu kekal optimis berdasarkan rekod pentadbiran dan keyakinan bahawa rakyat mampu membuat penilaian terbaik.
“PH di Negeri Sembilan sangat positif dan optimis bahawa rakyat mampu menilai siapa yang paling layak untuk menerajui kerajaan negeri selepas PRN akan datang,” katanya.
Terdahulu dalam program berkenaan, sebanyak RM500,000 disampaikan kepada Kampung Angkat MADANI Kampung Bukit Kecil, RM200,000 bagi Program Santuni MADANI di Kampung Batu Dua serta RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Keladi menerusi Program Sekolah Angkat MADANI.-UTUSAN










