Bahana gagal ‘baca’ agenda tersirat

Bahana gagal ‘baca’ agenda tersirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, terdapat laporan berita filem animasi, Mechamato Movie terbitan syarikat tempatan, Animonsta Studios Sdn. Bhd., menerima tamparan hebat apabila tidak lagi mendapat slot tayangan waktu perdana di pawagam di negara ini pada sebelah malam.

Perkara itu berlaku selepas pihak pawagam tempatan menerima kemasukan filem Hollywood, Avatar: The Way of Water bermula 15 Disember lalu yang dijangkakan mendapat permintaan lebih tinggi daripada penonton.

Memang diakui kehebatan siri susulan filem fiksyen sains, Avatar pada 2009 yang menjadi naskhah pertama meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman di seluruh dunia. Siri kedua itu akhirnya menjengah pawagam 13 tahun selepas filem pertamanya.

Filem yang mengambil masa lebih tiga jam adalah hasil buah tangan sutradara sama yang juga pengarah filem kedua terkaya di dunia dari Kanada, James Cameron. Ia adalah filem keempat termahal pernah dihasilkan setakat ini dengan kos AS$350 juta (RM1.5 bilion). Dikatakan beliau akan tampil lagi dengan tiga filem susulan lain pada 2024, 2026 dan 2028.

Ketika ada pihak-pihak tertentu di Malaysia terlalu memberi muka pada filem-filem Hollywood, adakah kita pasti ia tidak mempunyai agenda tersirat yang akan meruntuhkan masyarakat pada masa depan?

Rata-rata filem Hollywood mempunyai agenda tersirat dan bukan seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mempunyai agenda tersurat sangat jelas iaitu mengisahkan tentang Mat Kilau bersama dengan ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya berjuang bermati-matian menentang penjajah Inggeris suatu ketika dahulu.

Kerana maksud tersurat terlalu jelas termasuk adegan seorang kanak-kanak mati ditembak tali barut penjajah pada awal cerita, maka filem itu dengan pantas menerima kritikan pelbagai pihak.

Filem itu dikatakan bersifat stereotaip apabila menggambarkan watak-watak bukan Melayu sebagai jahat dan pada masa sama terlalu mengagung-agungkan nasionalisme Melayu.

Sebenarnya kita sudah lama menerima bahana agenda tersirat filem-filem Hollywood. Misalnya, meningkat dengan ketara pengaruh agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh dunia sekarang kerana ia telah dipromosikan melalui filem sejak lama dahulu.

Filem kartun pertama membawa agenda LGBT ditayangkan pada 1939 dan kemudiannya satu lagi pada 1941 yang berselindung di sebalik watak-watak binatang sebelum diubah kepada watak-watak manusia jahat bermula pada 1948.

Ketika itu tiada istilah LGBT kerana ungkapan berkenaan sebenarnya hanya mula digunakan secara rasmi pada 1988 tetapi bibit-bibit songsang itu telah ditanam berpuluh-puluh tahun lebih awal sehingga tabiat luar tabii yang dipromosikan kepada kanak-kanak melalui kartun dan filem animasi umpama badai yang sangat sukar untuk ditangkis.

Selain itu, mesej-mesej tersirat yang mempunyai agenda tidak baik juga dipaparkan dalam poster-poster bagi mempromosi filem animasi seperti yang dikeluarkan pada 1994 mengenai kisah binatang yang menjadi raja rimba.

TUHAN

Paling membimbangkan, perjumpaan tahunan para pelobi, Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di Davos, Switzerland dari 16 hingga 20 Januari lalu telah menganjurkan sesi perbincangan yang turut melibatkan ahli panel beragama Islam mengenai cara-cara meningkatkan promosi LGBT secara ‘diplomasi senyap’ termasuk melalui filem-filem Hollywood.

Selain itu, agak menghairankan kerana filem epik (kisah kepahlawanan) bersiri, Star Wars tidak menerima ulasan daripada agamawan sedangkan ia sarat dengan amalan tarekat yang hanya boleh diamalkan dengan bimbingan guru mursyid yang merujuk kepada tokoh sufi yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohaninya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Terdapat sembilan filem dalam siri itu yang kebanyakannya diarahkan oleh pengarah dari Amerika Syarikat, George Lucas. Siri filem itu bermula pada 1977 yang sebahagian besar penggambaran dilakukan di Tunisia dan yang terakhir pada 2019.

Wujud persamaan antara filem terbabit dengan amalan sufi bukanlah pelik kerana terdapat dakwaan dalam melakukan kajian bagi menghasilkan filem terbabit, Lucas telah berjumpa dengan kumpulan tarekat Habibiyyah di California.

Jedi dalam filem itu yang merujuk kepada pahlawan yang menjaga keamanan di alam semesta yang mengelakkan penggunaan keganasan kecuali sebagai pilihan terakhir menyamai nama dalam bahasa Arab, iaitu al-jeddi yang bermaksud pahlawan yang menguasai ilmu mistik. Pakaian pahlawan jedi juga mirip jubah ahli sufi.

Paling kontroversi ialah konsep The Force (Kuasa) seperti yang disebut guru jedi, Obi-Wan Kenobi kepada anak muridnya, Luke Skywalker dalam filem tersebut yang menyatakan, “Kuasa yang memberi jedi kuasanya. Ia adalah medan tenaga yang dicipta oleh semua makhluk hidup. Ia mengelilingi kita dan menembusi kita, ia mengikat galaksi bersama-sama.”

Lucas sendiri dalam satu temu bual mengakui ‘kuasa’ yang dimaksudnya merujuk kepada Tuhan tetapi beliau teragak-agak untuk menggunakan perkataan itu kerana bimbang ia tidak dapat menarik minat penonton dalam kalangan golongan muda di Barat yang menolak apa sahaja yang dikaitkan dengan agama.

Tambahnya lagi, “Saya meletakkan ungkapan ‘kuasa’ ke dalam filem itu untuk cuba membangkitkan sifat kepercayaan kepada Tuhan. Saya rasa ada Tuhan. Tiada sebarang persoalan tentang perkara itu.”

Sementara itu, filem Avatar: The Way of Water yang diakui Cameron banyak dipengaruhi unsur-unsur agama Hindu boleh dikategorikan sebagai filem epik sama seperti Star Wars yang merujuk kepada karya seni yang cuba menggambarkan sifat kepahlawanan atau sesuatu peristiwa dengan cara berlebih-lebihan.

Adakah siri pertama dan kedua Avatar dan tiga lagi filem susulan selepas ini tidak mempunyai agenda tersirat? Benarkah dakwaan filem bersiri Avatar ini membawa agenda disclosure (pendedahan) fenomena udara tidak dikenali (UAP) supaya masyarakat global tidak takut dengan kemunculan makhluk biru dari bintang Arcturus itu?

Tidak dapat dipastikan kebenaran dakwaan itu. Tetapi belum terlambat untuk menghalang agenda menggunakan filem sebagai medium propaganda secara halus.

Yang pasti, kita perlu mengelak menjadi pengikut fanatik sesebuah filem seperti peminat Star Wars sehingga sanggup menerapkan amalan jedi dalam hidup tanpa bimbingan guru. Anggaplah filem terbabit sekadar hiburan semata-mata. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×