“SAYA datang ke sini (Indonesia), saya fokus ekonomi dan pelaburan, bukannya diheret dengan isu Rasa Sayange atau batik.”
Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas dua hari lawatan rasmi ke Indonesia.
Beliau ditanya mengenai isu-isu ‘tradisional’ tak habis-habis dimainkan pihak yang seolah-olah tidak menyenangi hubungan baik dua negara serumpun ini.
Keberadaan Anwar di Indonesia, 8 dan 9 Januari, dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, November lalu, bukannya datang dengan ‘tangan kosong.’
Di belakangnya hadir orang penting dalam perusahaan swasta Malaysia, selain menjalin memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan dagang di Indonesia bernilai RM1.66 bilion, Malaysia menawarkan 11 surat minat (LOI) untuk bersama dalam projek mega Indonesia di bumi Kalimantan.
Tenaga Nasional Berhad dan Bousted Properties Berhad antara syarikat Malaysia yang tersenarai dalam minat terhadap pembangunan ibu kota negara (IKN) Nusantara.
Usaha mereka untuk bersama merealisasikan IKN Nusantara disambut baik Bapak Presiden, Joko Widodo (Jokowi) dengan 11 LOI diserahkan kepada Pengerusi Pihak Berkuasa IKN, Bambang Susantono.
MoU itu pula berkait dalam bidang perkapalan, pembiayaan eksport-import, tenaga hijau serta pengembangan industri bateri.
Malah, dalam pertemuan empat mata Anwar-Jokowi, enam perkara digariskan untuk Malaysia-Indonesia bertindak, melangkah ke era baharu mempertingkat hubungan dua hala antara negara.
Pastinya isu tenaga kerja Indonesia (TKI), khususnya isu pembantu rumah yang menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Indonesia diketengahkan untuk dicari penyelesaian bersama.
“Saya menyambut baik komitmen Perdana Menteri (Anwar) dalam memberikan perlindungan bagi pekerja migran Indonesia. Saya sangat berharap One Channel System untuk perekrutan dan penempatan pekerja migran Indonesia benar-benar kita jalankan bersama.
“Dan, saya mengulangi permintaan mengenai pentingnya pembangunan Community Learning Center di Semenanjung untuk memenuhi hak pendidikan anak-anak pekerja migran Indonesia.”
Demikian dinyatakan Jokowi ketika membacakan kenyataan bersama sejurus selepas pertemuan dengan Anwar di Istana Bogor.
Lain-lain perkara yang digariskan adalah isu sempadan dengan kesepakatan agar MoU perbatasan darat bagi segmen Sebatik dan segmen Sinapad Sesai dapat ditandatangani serta perjanjian laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka bahagian selatan juga dapat disepakati, tahun ini.
Jokowi turut menghargai dukungan Malaysia terhadap perjanjian Maklumat Penerbangan Ruang Udara (FIR) Indonesia-Singapura dan proses seterusnya di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan dapat dilanjutkan.
Mengenai industri minyak sawit, Malaysia-Indonesia sepakat mengenai kerjasama dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk meningkatkan pasaran dan memerangi diskriminasi oleh Barat dan Kesatuan Eropah (EU).
Kekuatan kesepakatan ini tentunya menggerunkan dunia apabila Indonesia dan Malaysia, masing-masing berada di tangga pertama dan kedua pemegang utama industri sawit dunia.
Inilah satu kesepakatan paling utuh dan kuat memberitahu dunia, ‘jangan main-main’ dengan bangsa serumpun ini dalam membela nasib pekebun dan peneroka industri sawit negara.
Akhirnya, kedua-dua pemimpin sepakat untuk meneruskan, menguatkan ASEAN memainkan peranan dalam memastikan wilayah Indo-Pasifik terus aman termasuk komitmen menamatkan konflik di Myanmar.
Dalam pertemuan bersama dispora dan penuntut Malaysia di Indonesia, Anwar ‘mengganyang’ kelompok elit yang mengumpul kekayaan, mengumpul harta pusaka bukan milik mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab membela nasib rakyat.
Jalan cerita ini, jika dilakukan dengan baik dan betul, memajukan Malaysia itu, memajukan bangsanya, berada di landasan yang tepat.
“Saya banyak belajar dari Indonesia. Bung Hatta (Mohammad Hatta) hadir dengan pemikiran merakyatkan ekonomi. Beliau konsisten menekankan keperluan mengangkat ekonomi rakyat bawahan,” jelasmya ketika ditanya pengajaran penting diperoleh mengenai Indonesia.
Bung Hatta merupakan negarawan dan bekas Naib Presiden yang turut digelar Bapa Koperasi Indonesia.
Keberanian Anwar di bumi Jakarta, mengakui rasuah di Malaysia bersifat sistemik, menjalar dari atas ke bawah.
Laungannya mahu membersihkan Malaysia daripada rasuah dan penyelewengan, membangkitkan keyakinan tinggi pelabur untuk menerokai peluang-peluang baharu, bukan sahaja dalam perladangan atau ‘pelaburan tradisional’ sedia ada malah teknologi maklumat dan tenaga hijau.
Hari ini, mesyuarat Kabinet di Putrajaya, Anwar berjanji untuk membawa segala isu yang dibangkitkan Jokowi, dibincangkan secara serius.
Kabinet tidak boleh lagi berlengah dengan Anwar mahu Jokowi bertandang sebagai tetamu istimewa ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini dengan isu-isu diketengahkan, dapat diselesaikan di sini.
Paling penting, mesej yang disampaikan Anwar, sejauh mana pun kekayaan, kemajuan dicapai oleh individu atau negara, nilai-nilai kemanusiaan harus diletak di atas dengan membela nasib rakyat bawahan, keadilan sosial.
“Saya ini (pernah) tersisih dan terbuang. Sebab itu saya mengenal lebih erti keadilan, keadilan sosial. Kini tanggungjawab saya untuk memastikan memihak kepada soal kemanusiaan,” tegas Anwar mengakhiri lawatan penuh nilai sentimental bagi dirinya di Indonesia. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










