PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu menunjukkan respons pengundi muda dan pengundi biasa memberikan satu keputusan untuk masyarakat menilai pola pengundian rakyat. PRU15 memberikan isyarat kepada Barisan Nasional (BN) yang merupakan parti utama Melayu telah tumbang di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan kepada Perikatan Nasional (PN). Keadaan ini jelas menunjukkan penolakan rakyat secara jelas terhadap BN yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri-negeri tersebut.
Kekalahan serta penolakan BN oleh pengundi muda dan pengundi biasa umumnya berkait rapat dengan pelbagai faktor. Namun persoalan lebih menarik, di mana dan apakah peranan universiti dan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri-negeri berkenaan? Ini kerana universiti dan IPT termasuk institut latihan kemahiran belia memiliki ratusan ribu pelajar dan pekerja yang menjadi pengundi berumur 18 tahun ke atas.
Berdasarkan kajian dijalankan di Kedah mendapati fenomena penolakan rakyat terhadap BN turut membabitkan kegagalan dan masalah dalaman universiti dan pelbagai IPT yang memberikan kesan rantaian kepada ratusan ribu pengundi. Ini kerana respons daripada para pengundi sama ada pengundi muda atau pengundi biasa telah memberikan reaksi negatif apabila ditanyakan mengenai peranan dan keberkesanan universiti dan IPT dalam pembangunan golongan muda dan pembangunan negeri.
Malah lebih buruk lagi apabila masalah dalaman universiti diperkatakan dengan jelas yang berkaitan dengan kelemahan pentadbiran kepimpinan IPT kepada rakyat setempat hingga mempengaruhi penolakan kepada BN.
Dalam penemuan kajian ini, kekalahan BN di Kedah turut berkait dengan kegagalan universiti dan IPT lain yang merupakan agensi Persekutuan yang tidak mengambil berat terhadap kepentingan pengundi muda berumur 18 tahun ke atas. Malah pelantikan kepimpinan yang memiliki keperibadian bermasalah dalam IPT di Kedah menjadi bualan dan buah mulut masyarakat setempat dan rakyat di negeri itu secara umumnya.
Masalah konflik dalaman universiti dan IPT, tekanan tempat kerja serta masalah kepimpinan yang lebih menumpukan populariti diri dan jawatan serta kepura-puraan pemimpin ini akhirnya gagal memainkan peranan yang sepatutnya dalam pembangunan orang muda dan belia di Kedah.
POLA
Bagaimana universiti dan IPT boleh mempengaruhi pola pengundian rakyat di Kedah? Berdasarkan kajian yang dijalankan, golongan pekerja atau staf serta pelajar universiti dan IPT memiliki pengaruh yang besar kepada rakyat Kedah dalam pelbagai lapisan masyarakat. Tindakan kepimpinan universiti dan IPT yang bermasalah, memberikan tekanan kepada pekerja, konflik dalaman serta tindak-tanduk kepimpinan mementingkan agenda peribadi berbanding agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyebabkan ia menjadi faktor penanda aras sokongan oleh rakyat terhadap BN yang ketika itu menjadi Kerajaan Persekutuan.
Masalah kepimpinan universiti dan IPT tidak lagi menjadi ‘rahsia’ sebaliknya ia merebak di kawasan setempat pekerja serta pelajar dan rakyat Kedah secara umumnya.
Selain itu, kajian mendapati pekerja, pelajar dan masyarakat setempat mula membandingkan cara dan keberkesanan kepimpinan universiti sebelum ini yang lebih mesra dan diterima oleh pekerja, pelajar dan rakyat Kedah berbanding sedia ada yang bermasalah serta mementingkan agenda peribadi daripada agenda KPT. Malah pekerja universiti yang terdiri daripada pensyarah, profesor dan pelajar telah menjadi sumber rujukan atau ‘tempat bertanya’ kepada rakyat Kedah untuk mengetahui mengenai Kerajaan Persekutuan.
PRU16
Di sini, dengan masalah yang dilakukan oleh kepimpinan universiti dan IPT lain telah mempengaruhi pensyarah, profesor dan pelajar memberikan jawapan berdasarkan tekanan yang dihadapi ketika bertugas bagi pekerja. Bagi pelajar pula, mereka memberikan jawapan berdasarkan apa yang dilihat dan disampaikan oleh pensyarah. Kegagalan mentadbir dengan baik, mementingkan diri sendiri serta tindakan buruk dilakukan ke atas pekerja menyebabkan ia membawa kepada kesan ‘rantaian’ besar kepada pelajar dan masyarakat setempat di Kedah untuk menolak BN.
Keadaan sama pernah berlaku ketika kekalahan BN pada PRU14 yang diakibatkan oleh kelemahan kepimpinan universiti dan IPT bermasalah di Kedah menyebabkan sokongan terhadap Parlimen terdekat menghadapi impak negatif. Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Jerlun, Merbok, Jerai, Sik dan Baling adalah kawasan-kawasan Parlimen yang dekat dengan universiti dan IPT pernah terjejas ketika PRU14.
Namun, permasalahan ini tidak menjadi teladan kepada BN bagi menghadapi PRU15 walaupun menyedari mengenainya, Kegagalan kepimpinan mentadbir dengan baik universiti dan IPT serta tekanan dilakukan telah memberikan kesan kepada para pekerja dan pelajar yang akhirnya memberikan kesan negatif dengan lebih besar kepada rakyat Kedah terhadap kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Justeru, adakah KPT masih mahu melihat keadaan dan keputusan PRU14 dan PRU15 akan berulang pada PRU16? – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Sarjana Sains Politik di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).










