Pasukan keselamatan, anjing dan alam - Utusan Malaysia

Pasukan keselamatan, anjing dan alam

Anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat keluar dari lokasi tanah runtuh selepas seharian turut serta membantu di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm pada hari kedua operasi SAR dijalankan. – MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Cakap pada jurufoto yang pergi sana (Batang Kali), ambil gambar Blake banyak-banyak. Ramai nak tengok. Gambar menteri tak payahlah. PM pun nasihatkan mereka jangan ganggu anggota keselamatan buat kerja,” kata seorang rakan dalam mesejnya pada saya beberapa hari lalu.
Saya tersenyum membacanya. Sebenarnya bukan senang untuk merakamkan gambar operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sana. Bukan boleh main terjah dan dekat dengan kawasan pencarian itu. Media pun diberikan ruang terhad atas faktor-faktor keselamatan. Cuma apabila pihak berkuasa memanggil mereka masuk sekejap untuk membuat liputan berita, itulah peluangnya. Kalau tidak, ‘bersidailah’ di luar.
Tulis kawan saya yang juga seorang guru di Subang Jaya itu, laporlah pasal jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan, tentera, polis dan bomba dalam menjalankan SAR di di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali itu. Berhari-hari mereka telah berkampung di sana. Berkorban masa dan tenaga. Ada yang telah merancang bercuti bersama keluarga semasa cuti sekolah ini terpaksa membatalkannya demi tugas.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis dimasukkan ke Hospital Selayang akibat strok ringan kerana keletihan.

Beliau antara orang terawal berada di tempat kejadian untuk memastikan misi pencarian itu berjalan lancar. Tambah kawan saya itu, tak payahlah tulis lagi punca-punca tanah runtuh dan tuding jari siapa yang salah dan harus bertanggungjawab dalam tragedi yang membabitkan lebih 90 mangsa itu. Iyalah, setiap kali kejadian tanah runtuh berlaku di negara ini, pasti itu saja jawapan – akan siasat dan akan pantau. Semua orang dah naik hafal. Tak pernah ambil iktibar daripada tragedi yang lepas-lepas.

Selain melihat gambar-gambar pasukan keselamatan terbaring keletihan turut menjentik emosi apabila melihat kesungguhan anjing-anjing pengesan Unit K9 bomba dan polis ini menjalankan tugas mencari mangsa. Jasa haiwan adakalanya lebih besar daripada manusia yang ada antaranya hanya pandai merungut dan memaki saja.
Dan pada hari ketiga misi SAR dilakukan, kita diberitahu Blake, anjing baka English Springer Spaniel ini telah ‘kecundang’ kerana keletihan. Anjing itu kelelahan setelah dua hari berturut-turut bekerja bertungkus lumus dan terpaksa direhatkan.
Sebaik saja diberitahu pada media keadaan anjing tersebut, sekejapan saja Blake sudah digelar ‘hero’ dan wira di media sosial. Gambar dan video Blake berada di mana-mana dalam media sosial.
Begitu juga ‘kawan-kawannya’ Pop, Grouse, Denti, Lady dan Frankie. Nama-nama haiwan ini dijulang dalam Tiktok, Facebook dan Twitter.
Kumpulan anjing pengesan ini mengingatkan kita tentang pengorbanan. Walau dalam keadaan letih meranduk selut dan lumpur yang dalam, anjing ini tetap melakukan kerjanya demi mencari mangsa walaupun ada yang tercedera ketika menjalankan misi itu. Aksi lincah dan kepenatan haiwan ini sebenarnya amat mengharukan dan ramai yang tewas emosinya apabila melihat anjing-anjing ini tidur berehat sekejap dalam keadaan comot berlumpur sebelum meneruskan semula misi pencarian mangsa.

Ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada kita semua betapa pentingnya Unit K9 polis dan bomba ini. Haiwan ini telah banyak menabur baktinya pada manusia dan alam. Di luar negara, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyampaikan pingat kepada anjing pengesan periuk api terkenal di negara itu, Patron pada Mei lalu. Pingat itu diberikan bagi mengiktiraf perkhidmatan Patron sejak insiden pencerobohan Russia di Ukraine. Anjing jenis Jack Russell Terrier menerima pingat tersebut selepas berjaya mengesan lebih 200 bahan letupan sejak operasi ketenteraan Russia di Ukraine pada 24 Februari lalu.  Di negara ini, dua ekor anjing daripada unit Anjing Pengesan PDRM antara 139 penerima Anugerah Ketua Polis Johor sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri, pada tahun lalu.
Dua ekor anjing baka German Shepherd itu menyumbang banyak jasa dalam menyelesaikan kes termasuk berprofil tinggi. Anjing bernama Mailo dan Barny membantu polis Johor dalam mengesan mayat seorang wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian di Kota Tinggi.
Pada Jun lalu, Chulio, anjing baka German Sherperd dari Unit K9 PDRM menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ di Perak atas kejayaan mengesan mayat seorang warga emas yang hilang pada 11 Mei lepas.
Banyak sebenarnya jasa dan kejayaan Unit K9 dalam membanteras jenayah dan membantu operasi SAR. Pengajarannya di sini, haiwan juga boleh menyelamatkan nyawa manusia. Maka,jangan angkuh berjalan di muka bumi ini. Berbuat baiklah pada semua termasuk alam.
Takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali. Terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam misi SAR ini. Semoga tahun 2023, negara ini bebas daripada bencana alam.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya