UMNO adalah parti keramat orang Melayu mengikut sejarahnya. Banyak jasa bakti telah disumbangkan oleh UMNO kepada bangsa Melayu dan Malaysia amnya. Hakikat sejarah jasa UMNO tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.
Bagaimanapun, selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, UMNO menempuh tindakan baharu yang sebahagian besar tidak menyangka bahawa ini akan berlaku. UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan. Ini tidak kurang ditentang oleh ahli UMNO di peringkat akar umbi. Namun apakan daya, keputusan terletak pada pucuk pimpinan utama, khususnya Presiden dan Timbalan Presiden.
Kerjasama dengan PH di Perak dan Pahang juga ada mendapat bantahan daripada ahli dan peringkat akar umbi. Tindakan-tindakan ini bercanggah dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini bahawa pegangannya adalah No Anwar, No DAP dan No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Walaupun tindakan ini bercanggah, ia berlaku dengan lancar tanpa apa-apa halangan. Keputusan lebih banyak ditentukan oleh pimpinan atasan dan bukan keputusan perhimpunan agung dan hasrat ahli akar umbi.
Pihak yang menyokong tindakan ini mempunyai hujah tersendiri. Pada sudut tertentu ada logik dan boleh diterima hakikatnya. Keputusan PRU15, tidak ada parti yang menang majoriti bagi membentuk kerajaan.
PH mendapat 82 dan Perikatan Nasional (PN) mendapat 74 kerusi Parlimen. Kedua-dua tidak berjaya mendapat majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Kedudukan Parlimen tergantung amat menyukarkan tindakan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua negara perlu bertindak bagi membentuk kestabilan negara. Kestabilan negara adalah nadi utama kestabilan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Tanpa kestabilan politik khususnya pembentukan sebuah kerajaan, perjalanan negara sukar untuk diteruskan.
Atas alasan kestabilan politik negara dan akur dengan cadangan YDPA, tindakan UMNO bekerjasama dengan PH adalah boleh diterima walaupun bercanggah dengan prinsip asal UMNO dan perjuangannya. DAP adalah musuh UMNO dan perjuangannya sangat berbeza. Sebagai rakyat, UMNO akur dengan cadangan YDPA bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan dan kestabilan negara. Dengan PH sebanyak 82 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30, maka majoriti mudah 112 kerusi boleh dibentuk. Dengan sokongan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak, maka sebuah gabungan yang kuat/majoriti besar dapat dibentuk.
Ia juga membawa kebaikan dan kekuatan kepada UMNO dalam sudut tertentu. UMNO terus berada dalam kerajaan dengan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Mana mungkin sebuah parti yang menang hanya 30 kerusi dapat menjawat jawatan TPM dan beberapa menteri penting.
ANTII-MELAYU
Salah satu sebab orang Melayu menolak PH adalah kerana kedudukan dan pengaruh DAP dalam PH. Pengalaman 22 bulan PH memerintah selepas PRU14 pada 2018 nampak jelas pengaruh DAP dalam kerajaan PH sebelum ini. Ini dijadikan alasan kepada pihak lawan PH yang parti ini didominasi oleh DAP. Ia dikaitkan pula dengan DAP adalah anti-Melayu.
Dengan UMNO berada dalam PH akan mengukuhkan kedudukan parti-parti politik Melayu dalam PH. Kalau ini berjaya dilakukan dan dibuktikan, ia akan menjadi satu era baharu dalam PH dan mungkin akan lebih boleh menarik orang-orang Melayu memberi sokongan kepada PH dalam PRU akan datang.
Bagaimana pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencaturkan aksi dan langkah politik akan memberikan kesan besar kepada PH. Sebahagian besar orang Melayu melihat Anwar adalah tokoh besar, cuma yang dikhuatiri adalah peranan dan pengaruh DAP dalam PH. Kalau Anwar dapat bukti yang orang Melayu mempunyai pengaruh besar dalam PH dan DAP dapat dikawal, kemungkinan besar sokongan orang Melayu kepada PH akan meningkat pada masa depan.
Persoalan UMNO dan kerjasamanya dengan PH belum berakhir. Ia masih bergolak dalam ahli UMNO dan akar umbinya. Ia masih proses penyesuaian berterusan yang belum ada keputusan muktamad dan persetujuan mutlak. Ia perlu didebat dan diperjelaskan dalam perhimpunan agung UMNO. Pimpinan atas harus memberikan penerangan rasional dan hakikat yang boleh diterima oleh semua ahli dan perwakilan. Ia tidak harus dilihat sebagai keputusan beberapa pemimpin atasan.
Perhimpunan agung UMNO mesti membincangkan persoalan ini secara terbuka, mendalam dan dengan panjang lebar. UMNO perlu benar-benar bersifat demokratik dan berhujah secara matang dan terbuka.
Jangan ada unsur-unsur diktator sama ada dalam membincangkan isu kerjasama dengan PH atau pemilihan pimpinan tertinggi parti.
Semua jawatan pimpinan utama parti mesti dipertandingkan secara demokratik terutama Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden. Jika ada cadangan yang menyekat pertandingan jawatan-jawatan utama parti ini, maka UMNO akan dilihat tidak demokratik dan tertutup serta menuju kepada diktator. UMNO tidak harus dilihat sebagai parti kumpulan tertentu sahaja dan menyekat mana-mana ahli untuk bertanding dan menyuarakan pendapat. Jika persoalan ini disekat, maka UMNO tidak lagi dilihat sebagai parti utama orang Melayu.
Jika ini berlaku maka orang Melayu mungkin akan keluar dan tidak lagi memberikan sokongan kepada UMNO serta mungkin bertindak mencari parti politik lain sebagai wadah baharu perjuangan. Jika ini berlaku,
UMNO akan menjadi tidak berkembang kukuh dan semakin kecil. Jika ini tidak dibendung maka pengaruh UMNO dalam politik negara akan semakin kecil dan mungkin hilang sebagai parti dominan. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Yazid ialah pelajar sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










