Ke arah sistem dua parti menjelang PRU16

Ke arah sistem dua parti menjelang PRU16

BAGAIMANA Anwar Ibrahim mencaturkan semua kedudukan ahli Parlimen Melayu dan dasar pro-Melayu Islam dalam kerajaan perpaduan pimpinannya akan memberi impak besar kepada pandangan dan tafsiran orang Melayu terhadap PH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN besar percaturan parti-parti politik berlaku selepas berakhirmya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Gabungan dan kerjasama khususnya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah terfikir oleh kebanyakan daripada kita.

BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH adalah tiga parti/gabungan saling berlawanan dan mempunyai falsafah berbeza. Pada umumnya, PRU15 adalah persaingan tiga penjuru antara BN-PN-PH. Walaupun ada parti-parti politik lain bertanding, umumnya kita dapat katakan tiga parti inilah yang menjadi fokus utama pertandingan. Keadaan mungkin sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak.

Perkembangan selepas PRU seakan membentuk satu struktur baharu politik negara khususnya kerjasama PH-BN. Di satu pihak lain, PN adalah gabungan parti politik yang tidak boleh dinafikan kekuatan dan kuatnya pengaruh serta sokongan khususnya di kawasan majoriti Melayu-Islam.

Secara kasarnya hanya dua parti/gabungan yang mendapat sokongan besar pengundi iaitu PH sebanyak 82 kerusi dan PN, 74 kerusi. Walaupun jumlah ini bukan majoriti mudah (112 kerusi) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi angka ini tidak boleh dianggap kecil dan boleh dijadikan asas sokongan bagi membentuk sebuah kerajaan.

Apakah PH-BN mampu bertahan lama dan membentuk gabungan kuat sehingga PRU16? Adakah parti-parti gabungan PH khususnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dapat menerima kemasukan BN khususnya UMNO ke dalam PH? Adakah perbezaan ideologi politik antara UMNO dan DAP dapat diselaraskan dan disederhanakan oleh pucuk pimpinan PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Andai jawapannya positif, maka ia akan mendorong kepada pembentukan sistem dua parti. Satu pihak gabungan PH-BN dan di satu pihak, gabungan parti-parti PN. Ia menuju kepada struktur politik lebih matang yang biasanya diamalkan di negara-negara maju. Amerika Syarikat hanya ada dua parti politik utama iaitu Demokrat dan Republikan. Begitu juga Great Britain, Konservatif dan Parti Buruh. Persaingan sihat akan berlaku. Kedua-dua pihak akan saling bersaing membina kekuatan bagi menarik sokongan pengundi.

Darjah kestabilan akan lebih mudah dicapai kerana pengundi hanya mempunyai dua pilihan. Tidak suka PN, boleh pilih PH-BN. Pimpinan parti kedua-dua pihak akan lebih berhati-hati dalam tindakan dan sebarang polisi dibentuk. Kesilapan membuat keputusan dan polisi semasa menjadi kuasa pemerintah akan disanggah oleh rakyat melalui penolakan undi dalam pilihan raya.

Pembangkang juga akan memastikan menjadi pmbangkang berkesan dalam menilai polisi dan keputusan kerajaan. Kabinet bayangan juga mungkin dan wajar dibentuk bagi memastikan tugas dan tanggungjawab sebagai pembangkang benar-benar berkesan. Dengan proses ini, rakyat dapat melihat dan menilai kedua-dua belah pihak dengan jelas dan terbuka. Mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang akan lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana mereka sentiasa diadili.

SINGKAT

Persoalannya, adakah yang berlaku selepas PRU15 sedang menuju kepada pembentukan sistem dua parti? Adakah penerimaan PH terhadap BN benar-benar ikhlas kepada pembentukan satu gabungan berasas bagi jangka panjang atau memenuhi keperluan politik bersifat sementara sahaja? Adakah kerjasama ini boleh diterima oleh semua parti komponen PH dan diterima juga UMNO? Adakah ini hanya keputusan Presiden UMNO dan Pengerusi PH bagi kepentingan politik semasa bersifat jangka pendek dalam keadaan Parlimen tergantung?

Sekiranya kerjasama PH-BN adalah kukuh bagi jangka masa panjang akan memungkinkah kepada pembentukan sistem dua parti. Dalam PRU akan datang, pertandingan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN hanya ada dua parti iaitu PH-BN dan PN. Ini lebih memungkinkan kepada pembentukan majoriti mudah yang lebih senang untuk dicapai.

Andainya kerjasama PH-BN ini berkecai dalam masa singkat, sistem dua parti sukar dibentuk. Adakah semua 30 ahli Parlimen BN yang menang benar-benar bersetuju bekerjasama dengan PH atau ia keputusan Presiden UMNO/Pengerusi BN sahaja? Perhimpunan agung UMNO akan datang mungkin boleh menjelaskan persoalan ini. Adakah UMNO benar-benar selesa berada dalam kerajaan PH bersama-sama DAP dan Amanah?

Kemasukan dan kerjasama UMNO dalam PH mempunyai makna besar bagi tarikan kepada pengundi Melayu. PH bukan lagi didominasi oleh DAP sebagai komponen terbesar. Ahli Parlimen dari UMNO, PKR (Melayu) dan Amanah sudah dapat mengimbangai ahli Parlimen DAP. Ini besar kemungkinan dapat menarik sokongan pengundi Melayu kepada PH kerana alasan asas pengundi Melayu menolak PH adalah faktor DAP.

Proses bagaimana Anwar mencaturkan semua kedudukan ahli Parlimen Melayu dan dasar pro-Melayu-Islam dalam kerajaan perpaduan pimpinannya akan memberi impak besar kepada pandangan dan tafsiran orang Melayu terhadap PH. Jika majoriti orang Melayu boleh menerima PH sebagai parti politik yang mampu membela mereka, sudah pasti sokongannya akan bertambah kukuh.

Di satu pihak lain, PN perlu memberikan bukti jelas yang ia tidak hanya berjuang untuk orang Melayu-Islam semata-mata, tetapi semua kaum dengan adil dan saksama berasaskan perlembagaan negara. Keyakinan orang bukan Melayu-Islam adalah penting bagi membentuk sebuah pakatan politik yang kuat. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sesebuah parti politik yang ingin berkuasa di peringkat nasional mesti berteraskan prinsip keadilan untuk semua dan tidak hanya kepada satu-satu kaum tertentu.

Proses yang sedang berlaku diharapkan membawa kepada pembentukan sistem dua parti. Sekiranya ini berlaku, negara kita menuju setapak ke hadapan dalam darjah kematangan politik dan amalan demokrasi.

Semua pihak akan mendapat keuntungan. Selamat maju jaya dalam menempuh perubahan politik ke arah lebih mantap dan stabil. Semoga sebuah kerajaan kuat dengan majoriti terjamin berasaskan sistem dua parti terbentuk dalam PRU16 nanti. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah pelajar sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN