KEMELUT pembentukan kerajaan pasca Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10. Pelantikan tersebut seharusnya menamatkan spekulasi dan tindakan politiking dalam kalangan sebilangan para aktivis politik. Ribut sudah reda dan debu-debu sudah jatuh ke bumi.
Pembentukan kerajaan hasil titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) perlu dihormati oleh semua pihak. Walaupun ramai menganggapnya kerajaan perpaduan, namun saya lebih suka mendeskripsinya sebagai kerajaan campuran. Ini kerana tidak semua parti politik terlibat dalam pembentukannya untuk mewajarkan ia dikenali sebagai kerajaan perpaduan.
Malaysia hari ini amat memerlukan sebuah kerajaan kuat dan stabil. Pengalaman 54 bulan negara mengharungi pelbagai tindakan politik kerana tidak boleh dibendung oleh institusi Parlimen telah mencederakan ekonomi yang pada masa sama mengharungi zaman pandemik Covid-19. Darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan pada waktu itu menambah cuka pada luka ekonomi negara. Kini Malaysia bersama seantero dunia sedang berdepan ancaman inflasi dan kenaikan kos sara hidup.
Penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam gabungan kerajaan perpaduan adalah untuk kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara selain akur dengan titah YDPA. Ini menunjukkan BN berjiwa besar dan berlapang dada walaupun sebahagian besar rakyat menolak gabungan BN dalam PRU15. Bagi menjamin kestabilan dan pengukuhan kerajaan perpaduan ini, pemilihan penjawat jawatan utama kerajaan adalah kritikal. Ini bermakna pelantikan Anwar sebagai PM atas kapasiti ketua parti Pakatan Harapan (PH) adalah langkah terbaik kerana memiliki kerusi terbanyak dalam PRU15.
Seterusnya, langkah kedua terbaik adalah memilih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku ketua parti gabungan BN sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Ia amat penting demi membantu pengukuhan kerajaan perpaduan agar tidak mudah goyah pada masa depan.
Sungguhpun pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM mendapat tentangan dan kecaman hebat khususnya para netizen, kita juga harus ingat respons beliau mengenai pendakwaan terpilih yang dihadapinya.
Malah, terbukti dalam kesnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam di mana Ahmad Zahid telah dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri. Juga bukan satu perkara salah jika beliau sanggup berulang ke mahkamah untuk menjawab tuduhan-tuduhan dikenakan. Seseorang adalah tidak bersalah selagi tidak diputuskan bersalah dan mana-mana orang berkemungkinan dihadap ke mahkamah jika ada apa-apa tuduhan walaupun cuma tuduhan rekaan.
Rakyat sudah terlalu penat berhadapan krisis politik tidak berkesudahan. Mereka amat membenci tindakan seumpama ‘Langkah Sheraton’ dan tidak mahu ia berulang.
Ketua parti adalah orang yang mendapat kepercayaan ahli-ahli parti, ditentukan mengikut sistem pemilihan perlembagaan parti masing-masing. Menolak ketua parti bererti menolak keputusan dibuat oleh ahli-ahli parti. Mana-mana cubaan untuk menolak ketua parti dan mengambil orang lain sebagai wakil parti, apa lagi jika tidak atas restu ketua parti tersebut merupakan tindakan pencabulan kepada sistem demokrasi dan keadilan berorganisasi. Tindakan sedemikian tidak seharusnya dibenarkan berlaku, apalagi untuk dihormati dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Perbuatan sebegitu hendaklah ditolak tanpa ragu dan para pelakunya tidak beretika dan tidak wajar dihormati.
PERIT
Ketua parti yang telah diberi amanah bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju sesebuah parti. Sekiranya tindakannya didapati tidak membawa parti ke arah sepatutnya atau ke arah telah dipersetujui oleh ahli-ahli atau wakil-wakil ahlinya, maka tindakan wajar hendaklah diambil mengikut proses-proses yang pastinya wujud dalam perlembagaan parti.
Perbuatan mendengar dan bertindak mengikut pendapat golongan tidak terpilih untuk mewakili parti adalah tindakan sabotaj kepada perlembagaan parti tersebut, sama ada dilakukan oleh ahli atau orang luar.
Justeru, mengumpulkan wakil-wakil yang telah diberi kepercayaan oleh parti dengan mengetepikan ketua parti dan melantik mereka ini dalam kerajaan akan mewujudkan sebuah kerajaan yang tidak stabil, seterusnya menidakkan pilihan ahli parti dan menghancurkan harapan rakyat. Malaysia sudah lalui zaman ini selama 54 bulan yang perit, membingungkan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi.
Justeru, Ahmad Zahid adalah individu terbaik diberi amanah memegang jawatan eksekutif kedua tertinggi kerana BN adalah rakan kongsi utama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Kesemua pelantikan dalam kerajaan perpaduan selaras titah YDPA yang mengutamakan kestabilan dan penyelesaian agenda rakyat, maka perlu mengikut hierarki parti melalui rundingan dalam situasi menang-menang. Ini bagi membolehkan penubuhan sebuah kerajaan baharu dalam konsep lebih adil kepada demokrasi sistem kepartian dan bukannya berdasarkan kepada agenda kumpulan-kumpulan tertentu.
Keyakinan bahawa proses keperintahan undang-undang dijalankan dengan adil dan masih belum disabitkan mana-mana kesalahan, maka Ahmad Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk layak dilantik sebagai TPM mengikut hierarkinya sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Keputusan ini untuk mencapai penyelesaian yang stabil bagi kerajaan baharu serta parti itu sendiri dalam jangka masa panjang.
Kerajaan dipimpin Anwar disokong oleh tiga golongan terbesar iaitu reformis Islam, nasionalis terutama nasionalis Melayu dan sendi pendidikan Cina iaitu Dong Zhong dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Huay Kuan. Pada masa sama, kemelut golongan nasionalis mendukung kerajaan perpaduan ini yang diterajui oleh ketua parti dalam UMNO dapat diselesaikan. Justeru, kepimpinan Anwar akan lebih stabil manakala golongan nasionalis mampu bekerjasama dengan golongan reformis Islam dalam mewujudkan kestabilan kerajaan. Melalui sokongan kedua-dua golongan Melayu dan Islam ini, pentadbiran yang merakyatkan dalam pentadbiran kerajaan boleh dijadikan agenda utama dalam kepimpinan Anwar.
Keberadaan Ahmad Zahid dalam kepimpinan Anwar sebagai TPM mampu membawa kuasa keseimbangan yang jika tidak ditadbir secara bijaksana, bukan sahaja kerajaan boleh runtuh, malah negara mengalami masalah antara ras yang kronik. Kemelut isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kini menjadi tuntutan utama golongan sendi pendidikan Cina bersama dengan NGO Huay Kuan. Kemelut isu UEC ini perlu diselesaikan dengan cara berhemah memandangkan telah berlarutan sejak Operasi Lalang pada 1987.
Harapan rakyat yang telah melalui zaman sengsara politik adalah agar kemelut itu tidak lagi berulang. Rakyat mahu fokus kepada kehidupan yang tidak tercalar oleh rebutan kuasa di puncak negara. Semoga Malaysia terus aman dan stabil. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










