Apakah MIC akan terus bergantung pada UMNO untuk ‘hidup’?

Apakah MIC akan terus bergantung pada UMNO untuk ‘hidup’?

KEPEMIMPINAN MIC perlu bijak membuat keputusan untuk menjamin kelangsungan dan kemenangan calon-calon parti itu dalam pilihan raya umum pada masa hadapan. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tempoh hari, kerajaan perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dibentuk. Walaupun Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan perpaduan tersebut, namun tiada sebarang wakil dari MIC dan MCA, dua parti komponen utama dan rakan setia BN malah pelopor kemerdekaan dalam Kabinet. Dalam PRU15, MIC bertanding di 10 kawasan Parlimen dan hanya memenangi kerusi Tapah.

Dalam pada itu, kenyataan MIC yang menggesa Pengerusi BN, iaitu Presiden UMNO untuk mengundur daripada menerajui BN dan kenyataan akhbar kononnya kepimpinan BN membuat keputusan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menyokong Perdana Menteri yang baharu tanpa berbincang dengan parti-parti komponen BN menimbulkan pelbagai andaian. Ini termasuklah persoalan, apakah MIC akan keluar dari gagasan BN yang juga menemui kekalahan teruk pada PRU15?

Ditubuhkan pada 1946, MIC yang mewakili kepentingan kaum India bertanding buat julung kalinya pada 1952 dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Dalam pemilihan ini, MIC bekerjasama dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), sebuah parti yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar yang keluar dari UMNO.

Beliau merupakan Presiden UMNO pertama. IMP menentang calon-calon UMNO yang juga mendapat sokongan hebat orang Cina di bandar Kuala Lumpur di bawah naungan MCA Kuala Lumpur. Dalam pilihan raya tersebut, MCA Pusat bersama IMP, tetapi pemimpin MCA Kuala Lumpur bersepakat dengan UMNO Kuala Lumpur secara bersendirian tanpa persetujuan kepimpinan MCA Pusat. Meskipun hampir semua calon IMP kalah, wakil MIC yang bertanding atas tiket IMP menang. Pakatan politik antara MCA dan UMNO memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Menyedari kemenangan dalam PRU di negara ini memerlukan sokongan padu daripada pengundi Melayu dan Cina, maka MIC mengambil keputusan untuk keluar daripada menyokong Parti Negara yang menggantikan IMP. Kemudiannya menyertai pakatan politik yang terbentuk antara UMNO dan MCA. Pakatan ini melahirkan Perikatan pada 1954.

MIC yang menyertai Perikatan terus bertanding dalam PRU pertama pada 1955 sebelum merdeka di bawah simbol kapal layar. Perikatan memperuntukkan 35 kerusi untuk UMNO, 15 MCA dan dua MIC. Perikatan menang 51 kerusi dan Pas menang satu kerusi. MIC menang kedua-dua kerusi, Kinta Utara (Sungai Siput) dan Batu Pahat diperuntukkan kepadanya dengan sokongan hebat pengundi Melayu yang merupakan majoriti di kedua-dua kawasan tersebut. Langkah MIC menyertai Perikatan membolehkan MIC menang dengan mudah.

Seterusnya MIC belayar dengan lambang kapal layar bersama Perikatan sehingga PRU3 pada 1969. MIC menang kedua-dua kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepadanya iaitu Sungai Siput dan Pelabuhan Klang pada PRU1 (1959) dan PRU2 (1964) daripada sejumlah 104 kerusi Parlimen.

Seterusnya, MIC ditambah dengan satu lagi kerusi iaitu Port Dickson pada PRU3 (1969) apabila kerusi Parlimen ditambah kepada 144. Pada PRU3, Presiden MIC yang bertanding di Sungai Siput hanya mampu menang majoriti tipis 146 undi, manakala timbalannya yang bertanding di Pelabuhan Klang juga menang dengan majoriti tipis iaitu 480 undi.

13 MEI

Calon MIC yang bertanding di Port Dickson pula kalah. Perikatan juga dilaporkan hanya menang 77 kerusi. Perikatan hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Susulan peristiwa 13 Mei 1969, iaitu tragedi rusuhan kaum, gagasan BN ditubuhkan pada 1973 untuk mengelakkan permainan politik atau politiking berlebih-lebihan menyentuh sensitiviti kaum seperti hak-hak bumiputera yang terkandung dalam perlembagaan. Hampir semua parti yang menentang Perikatan seperti Gerakan, Pas dan lain-lain parti di Sabah dan Sarawak menyertai BN. DAP tidak menyertai BN manakala MIC terus bersama BN.

Dengan menyertai BN, MIC menang seratus peratus dalam semua PRU berikutnya dengan sokongan pengundi India dan UMNO (pengundi Melayu) sehinggalah PRU12. Pada PRU12 (2008), pertama kalinya Presiden serta sebahagian besar calon MIC terdiri daripada barisan utama MIC yang bertanding kalah. MIC hanya menang tiga daripada sembilan kerusi. MIC dilaporkan kalah kerana timbul gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mendakwa kononnya kaum India tertinggal dan terpinggir dalam pentadbiran kerajaan BN. Meskipun tewas, MIC terus kekal dalam BN.

Pada PRU berikutnya, MIC memenangi empat daripada sembilan kerusi Parlimen yang diperuntukkan pada PRU13. Namun, MIC terus menghadapi kekalahan teruk pada PRU14 dan PRU15. Hampir semua calon termasuklah Presiden MIC kalah.

Meskipun pola pengundian pada PRU15 menunjukkan MIC memperoleh sokongan sebahagian pengundi India, MIC masih menjunam kerana sokongan sebahagian besar pengundi Melayu yang menjadi teras kemenangan calon-calon MIC mengalihkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN). Tambahan, pengundi baharu juga menolak BN sekali gus MIC. UMNO, parti keramat orang Melayu juga kehilangan 22 kerusi tradisinya kepada PN.

PH di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi terbanyak, 82 pada PRU15. PH dikesan memperoleh sebahagian besar undi Cina dan India, manakala sebahagian besar undi Melayu (lebih 70 peratus) dikesan beralih kepada PN.

Memandangkan perubahan yang timbul dalam pemikiran dan pendirian politik pengundi Melayu yang menjadi tunjang kepada kemenangan BN selama ini, apakah MIC akan bergantung kepada UMNO untuk meraih sokongan pengundi Melayu dalam menjamin kemenangan calon-calon MIC pada masa depan? MIC perlu bertindak bijak dalam membuat keputusan untuk menjamin kelangsungan dan kemenangan calon-calonnya pada masa hadapan. Kita tunggu dan lihat. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×