Apa pilihan pengundi Negeri Sembilan?

Apa pilihan pengundi Negeri Sembilan?

AHLI-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bergambar bersama selepas berakhirnya Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima, DUN Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban, baru-baru ini. – PEJABAT MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan baru-baru ini berlangsung penuh harmoni. Bukanlah bermaksud suasana perbahasan antara wakil kerajaan dan pembangkang sebelum ini sentiasa dalam keadaan tegang, tetapi kemesraan mereka kali ini nampak luar biasa.

Usikan dalam kalangan wakil rakyat termasuk dengan Yang Dipertua DUN menceriakan suasana. Rasanya masing-masing juga tidak menyangka, lawan mereka selama empat tahun selama ini, tiba-tiba menjadi kawan dan kini saling memerlukan antara satu sama lain.

Walaupun tidak bersama dengan pembubaran Parlimen penggal ke-14 lalu, namun pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sememangnya dijangka memberi kesan kepada suasana dalam DUN Negeri Sembilan.

Jika konsep kerjasama di antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersama beberapa parti lain bagi membentuk kerajaan Pusat diguna pakai, sememangnya tiada seorang pun wakil rakyat pembangkang di Negeri Sembilan.

Selepas PRU14 pada 2018, PH memenangi 20 kerusi DUN daripada 36 kerusi keseluruhan di negeri ini manakala selebihnya dimenangi oleh BN.

Bagaimanapun, berbaki tempoh enam ke tujuh bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan tahun hadapan, masih sukar untuk menjangka bentuk persaingan antara parti-parti bertanding apatah lagi pilihan pengundi di negeri ini pada pilihan raya itu nanti.

Keputusan PRU15 baru-baru ini memberi gambaran awal, saingan sengit untuk memenangi kerusi DUN di Negeri Sembilan tidak lagi hanya melibatkan BN dan PH seperti sebelum ini, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) juga berupaya tampil memberikan cabaran.

Walaupun Negeri Sembilan menjadi negeri yang berjaya menahan gelombang kemenangan buat PN pada PRU15 apabila kesemua kerusi Parlimennya berjaya dimenangi oleh BN dan PH, namun tempias gelombang itu tetap dirasakan.

Ia berdasarkan jumlah undi diterima PN yang meningkat melebihi 100 peratus jika diambil menerusi jumlah undi diperoleh oleh Pas pada PRU14. Sudah tentu BN dan PH tidak boleh mengambil mudah keadaan tersebut apatah lagi selepas PN secara terbuka menyatakan keyakinan untuk menyasarkan 19 kerusi DUN di Negeri Sembilan bagi dimenangi mereka.

Keadaan mungkin lebih memihak buat PH dan BN jika mereka dapat memuktamadkan kerjasama di antara satu sama lain sekali gus mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Seperti dikatakan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jika kerjasama itu berlaku, pasti memberikan keyakinan buat PH untuk mempertahankan kesemua 20 kerusi yang dimenangi mereka ketika ini. Jika perkara tersebut berlaku, bolehlah dibuat pengiraan bahawa kesemua kerusi DUN Negeri Sembilan akan bersifat status quo melibatkan PH dan BN.

JIWA BESAR

Tetapi adakah bacaannya akan semudah itu? Beberapa perkara perlu diambil kira terutama undi dari akar umbi parti masing-masing yang mungkin masih belum dapat menerima hubungan kerjasama berkenaan.

Satu lagi isu mungkin mengganggu usaha kerjasama ini adalah melibatkan pengagihan kerusi. Jika konsep status quo digunakan, ia memerlukan jiwa yang besar buat kedua-dua gabungan tersebut.

Siapakah yang bersedia untuk beralah ketika Aminuddin turut mengakui, beberapa kerusi DUN dimenangi PH pada PRU14 lalu boleh terlepas jika bersandarkan jumlah undi diterima pada PRU15 baru-baru ini?

Bagi PN pula, mereka berada dalam keadaan moral dan semangat cukup tinggi didorong kejutan yang telah mereka lakukan pada PRU lalu.

Di Negeri Sembilan, dijangka sasaran mereka terarah ke kerusi-kerusi tradisi calon Melayu termasuk di kawasan bandar seperti Parlimen Seremban yang menjadi satu-satunya kerusi di mana PN memperoleh jumlah undi kedua tertinggi.

Kerusi DUN Ampangan, Sikamat dan Lenggeng selain DUN Labu di Parlimen Rasah antara dilihat akan diberikan tumpuan oleh PN.

Mungkin ada beranggapan masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang PRN, namun mereka perlu akui masa buat mereka semakin menghimpit.

Pengalaman PRU15 dijadikan panduan untuk setiap parti sama ada tampil dengan strategi sama ataupun baharu untuk sekali lagi menambat hati pengundi.

Apa yang jelas, prestasi kerajaan Pusar yang dijangka berusaha mewujudkan feel good factor dalam negara dalam tempoh terdekat pastinya akan memberikan kesan dalam corak pengundian nanti. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×