DATUK Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan bulanan pertama sebagai Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri ada menyeru kepada seluruh kakitangan kerajaan agar bersama-sama membawa negara ke arah pemulihan melalui semangat atau nilai islah. Perkataan islah berasal daripada bahasa Arab, biasanya diterjemahkan sebagai pembaharuan atau usaha untuk memperbaiki, menjadi lebih baik, meletakkan sesuatu ke dalam kedudukan lebih baik, membetulkan sesuatu, mengolah semula dan pemulihan untuk kembali kepada yang lebih baik.
Perkataan berlawanan bagi islah ialah kemusnahan atau fasad. Islah juga meliputi aspek mencegah kemusnahan atau memulihkan atau membaiki sesuatu yang telah runtuh atau rosak.
Dalam Mu’jam Muyassar tulisan Al-Nahwiyy, islah diertikan sebagai membaiki kerosakan atau menghapuskan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan rakyat atau untuk memperbaiki sesuatu. Dalam al-Quran, perkataan islah banyak digunakan dalam semua aspek kehidupan manusia dengan satu tujuan iaitu menambah baik keadaan.
Islah juga merupakan elemen terpenting untuk mencapai ihsan. El-Muhammady dalam tulisannya menjelaskan, islah merangkumi makna lebih luas termasuk membuat sesuatu yang baik, betul, munasabah dengan kedudukan betul, tersusun dan usaha untuk kembali kepada yang layak, membetulkan, memperbaiki atau membuat lebih baik dalam apa jua aspek kehidupan.
Dengan kata lain, islah ialah satu perubahan atau anjakan paradigma yang perlu dilakukan oleh seluruh rakyat agar sesuatu lebih baik berjaya dicapai meliputi semua aspek kehidupan manusia bermula dengan diri sendiri, sosial, pendidikan, ekonomi dan politik termasuk tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Islah kebiasaannya digandingkan dengan tajdid yang membawa maksud pembaharuan. Islah (penambahbaikan) dan tajdid (pembaharuan) pada asasnya merupakan seruan agama bertujuan mengembalikan kehidupan umat Islam dalam semua aspek agar berada di landasan yang betul. Bagaimanpun, dalam konteks Malaysia, islah boleh dijadikan nilai dikongsi bersama agar pada akhirnya sesuatu lebih baik berjaya dicapai.
Perkara asas untuk sesuatu penambahbaikan atau pembaharuan ialah perubahan cara berfikir tentang apa yang hendak dicapai dalam hidup. Dengan kata mudah, selagi manusia tidak berusaha mengubah diri, selagi itulah keberhasilan sukar dicapai. Perlu diingatkan, pembentukan cara berfikir diterjemahkan dengan perbuatan yang menjadi amalan dan akhirnya menjadi budaya adalah satu usaha mengambil masa agak lama. Namun dengan keazaman yang kuat, tempoh keberhasilan boleh disingkatkan. Walau apa pun, islah atau perubahan ke arah lebih baik perlu dimulakan sekarang, pada saat ini oleh setiap warganegara Malaysia.
BUSHIDO, HWARANG, JINSHENG
Jika disingkap bagaimana penganut fahaman Bushido di Jepun, Hwarang di Korea Selatan dan Jinsheng di Taiwan bangkit menjadi bangsa yang maju dalam tempoh begitu singkat, ternyata mereka menguasai ilmu dan diterjemahkan pula dengan penghayatan nilai murni seperti tahap integriti dan daya juang tinggi di samping tegas dalam bertindak. Perkara sama juga dilihat amat perlu untuk memastikan kesepaduan sosial di Malaysia berada dalam keadaan sejahtera.
Dalam hal ini, semangat tolak ansur lebih tertonjol dalam bangsa Melayu. Untuk memastikan sifat tolak ansur dan toleransi ini akhirnya tidak mencairkan orang Melayu itu sendiri, kekuatan dan ketegasan amat perlu untuk dimiliki.
Tiada yang menafikan isu kemiskinan masih menebal dalam masyarakat kita. Namun, ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang bukan terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda, namun lebih kepada pemilikan jiwa hebat berasaskan nilai murni yang tinggi.
Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Namun, mereka berjaya kerana dapat menjadikan pengalaman kesusahan sebagai pendorong untuk bangkit dan mencipta kejayaan.
Kemiskinan material hanya bersifat sementara, namun kemiskinan jiwa akan menjadikan seseorang itu terus kekal miskin jiwa dan material untuk selamanya. Justeru, rakyat khususnya orang Melayu perlu meruntuhkan tembok kemiskinan jiwa yang masih menghalang mereka untuk bergerak maju seiring kaum lain.
Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari dengan perasaan malas. Hal ini termasuk malas berfikir, berusaha, belajar dan membaca, bersifat negatif dalam banyak perkara, tidak jelas tujuan hidup dan tidak berdisiplin.
Perkara ini juga boleh membawa kita kepada sejarah awal tanah air untuk memahami alasan kenapa British membawa masuk pekerja dari China dan India untuk mengusahakan pelbagai hasil bumi Tanah Melayu yang akhirnya membawa kesan besar terutama dalam aspek pemilikan harta dan kekayaan.
Namun sebagai bangsa berjiwa besar, bangsa yang berada pada alaf 21, biarpun apa jua yang diperkatakan, apa yang penting adalah usaha untuk membuktikan apa yang difikirkan atau anggapan mereka itu tidak tepat sama sekali. Orang Melayu dahulu tidak sama dengan Melayu hari ini. Bangsa Melayu hari ini mampu untuk memiliki kekuatan dan kekayaan jiwa disertai kekuatan daya juang.
Dengan berbekalkan cara berfikir baharu, yang meletakkan usaha bersungguh-sungguh dalam semua aspek kehidupan sebagai perkara utama, rakyat Malaysia mampu untuk maju biarpun pelbagai cabaran mendatang. Maka tepatlah apabila Perdana Menteri meletakkan islah sebagai asas dalam agenda pembangunan pasca PRU15. – UTUSAN
DR. Ratna Roshida Ab. Razak ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).










