Ambil iktibar sejarah politik negara

Ambil iktibar sejarah politik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYELAMI sejarah negara ialah kunci kepada kekuatan jati diri anak bangsa. Kehebatan sejarah sesebuah negara bukan hanya diukur daripada kejayaan di medan perang tetapi juga kebijaksanaan mengatur langkah di meja rundingan. Kekerasan dan peperangan bukan jawapan kepada semua kebuntuan. Malah, banyak negara hancur akibat peperangan, yang menderita tentulah rakyat jelata – gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit.

Raja-raja Melayu serta para pembesar baginda bijak mencatur politik lama sebelum sistem demokrasi dibawa British ke negara ini. Hasilnya, raja-raja kita kekal berdaulat dan negara tidak berjaya dijajah secara keseluruhannya oleh mana-mana kuasa besar dunia. Mengguna sistem pemerintahan tradisi, negara ditadbir dengan baik dan rakyat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Sekitar abad ke-19, British secara agresif eecuba mencampuri urusan pentadbiran Tanah Melayu. Kita terpaksa berhadapan dengan percaturan geopolitik kuasa-kuasa besar yang berniat untuk menjajah negara.

Pada kala itu, kehebatan tentera kita tidak lagi semegah zaman Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun kita mempunyai pahlawan terbilang, namun kekuatan serta kelengkapan tentera British dan sekutunya sukar untuk kita tandingi secara sendirian. Tersilap langkah, kita dijajah seperti India dan Indonesia.

Di Selangor, Perang Kelang berterusan kerana Raja Mahadi dan penyokongnya tidak bersetuju dengan cara pemerintahan Tengku Kudin (wakil Yamtuan Selangor). Mereka mendakwa Tengku Kudin bekerjasama dengan British dan membuka pintu kepada penjajahan British. Itu ialah naratif sering kita baca tentang kisah ini sehingga kajian lebih terperinci mendapati banyak fakta diketepikan. Catatan sejarah sebenarnya menunjukkan keadaan menjadi lebih teruk dari sebelumnya apabila Raja Mahadi berjaya menguasai Klang kerana tiada kestabilan.

Pada ketika kekuatan tentera Sultan Abdul Samad sangat lemah berbanding tentera Raja Mahadi yang bekerjasama dengan kumpulan Ghee Hin dan beberapa pihak lain, Tengku Kudin terpaksa berdiplomasi dengan British untuk menentang pihak memberontak. Pada masa sama, beliau mengekalkan pertalian yang baik agar British tidak menjajah Selangor. Namun, Tengku Kudin tidak membenarkan British mencampur tangani urusan Selangor. British hanya berjaya melakukannya apabila Tengku Kudin berada di luar negeri.

Hal sama berlaku di Terengganu. Ada pihak menuduh Menteri Besar pertama, Dato’ Seri Amar Diraja Ngah Yusof sebagai dalang British. Walhal catatan sejarah jelas membuktikan beliau secara tegasnya menghalang campur tangan British. Ramai tidak tahu bahawa beliau tidak membenarkan pembinaan landasan kereta api ke Terengganu bagi mengekang kemasukan pengaruh British secara meluas. Beliau juga bertindak membatalkan sebarang perjanjian dengan British yang merugikan negeri.

TEPUNG

Adakalanya pemimpin terpaksa berkompromi agar kita tidak hilang segala-galanya. Bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Kita tidak mengangkat senjata perang, senjata kita ialah kebijaksanaan menyusun strategi politik. Bukan berkomplot atau menyokong British tetapi berdiplomasi dan berhemat agar negara tidak dijajah. Sebenarnya, catatan sejarah menunjukkan Tengku Kudin dan Ngah Yusof tidak disukai British kerana menghalang mereka daripada mencampur tangani urusan pentadbiran.

Namun begitu, ada pihak gagal memahami akan hal ini. Malah, ada juga yang sengaja mereka cerita bagi memburukkan raja-raja dan pembesar Melayu. Pelbagai tohmahan dilemparkan sehingga ke hari ini. Ada yang memfitnah raja dan pembesar Melayu khilaf akibat tertipu dengan hasutan musuh atau sanggup menggadai negara demi kuasa dan kepentingan diri. Ada pula pihak mengangkat mereka yang memberontak sebagai pejuang, walaupun sebenarnya menyebabkan huru-hara. Mujurlah raja dan pembesar Melayu bijak mengawal suasana dan mengelakkan kacau-bilau.

Aneh sekali, apabila Siam mengelak penjajahan melalui strategi bekerjasama dengan kuasa luar, kita melihatnya sebagai satu tindakan bijak pemerintah negera Gajah Putih itu. Soalnya, bukankah strateginya sama seperti apa yang dilakukan oleh raja-raja dan pembesar Melayu? Justeru, kenapa ada pihak yang berpandangan negatif apabila raja-raja dan pembesar Melayu melakukan hal sama dalam usaha mempertahankan negara daripada dijajah? Peperangan bukanlah satu-satunya cara untuk kita mengangkat martabat bangsa. Musuh mahukan kita untuk bertindak secara tidak rasional dan melakukan sesuatu tanpa memikirkan akibatnya.

Kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman menamatkan campur tangan British di Tanah Melayu melalui diplomasi telah mengelakkan pertumpahan darah rakyat akibat peperangan. Namun, terdapat pihak yang menentang keras usaha Tunku Abdul Rahman, khususnya Kesatuan Kaum Muda, PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan komunis. Tokoh-tokoh haluan kiri seperti Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al-Helmy berjuang untuk membawa negara bersatu bersama Indonesia di bawah gagasan Melayu Raya atau Indonesia Raya. Tidak dapat dibayangkan sistem pemerintahan bagaimanakah yang mahu dilaksanakan dan bagaimanakah kedudukan raja-raja Melayu menurut perancangan mereka.

Namun, kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman merangka strategi bertaktik dan hebat membolehkan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dengan jayanya. Diplomasi dan kebijaksanaan ialah elemen penting dalam percaturan politik. Seperti catur, kita juga mesti mencongak beberapa langkah ke hadapan dalam setiap gerakan kita. Bukan mudah untuk mentadbir negara kerana setiap keputusan diambil akan melibatkan kehidupan seluruh rakyat.

Banyak iktibar boleh kita ambil daripada sejarah politik negara. Kita tidak boleh mengasingkan diri daripada sejarah, apalagi melupakan sejarah kita. Pilihlah jalan yang terbaik dan bukannya jalan yang dilihat terhebat. Adakalanya ibarat memakan ubat, kita terpaksa menahan pahit buat seketika agar dapat sembuh daripada kesakitan. Berfikirlah sebelum bertindak dan aturlah strategi dengan bijak. Tindakan terburu-buru menurut emosi boleh menikam diri sendiri kelak. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×