MUKADIMAH
THE only easy day was yesterday (hari mudah hanyalah semalam).
Slogan yang digunakan komando Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) Seals menjadi gambaran situasi gerak kerja jentera parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih-lebih lagi menjengah ke minggu terakhir kempen.
Malah, tempoh tersebut begitu genting selepas
pelbagai ramalan kemenangan dan jumlah kerusi sudah dibuat penganalisis terhadap keputusan itu nanti.
Barisan Nasional (BN) tidak terkecuali. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA menemuramah Timbalan Pengerusi BN, DATUK SERI MOHAMAD HASAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
MINGGUAN MALAYSIA: Sudah hampir memasuki pusingan kedua tempoh berkempen PRU15. Bagaimana momentum penerimaan penduduk di Parlimen Rembau dan Negeri Sembilan setakat ini?
MOHAMAD: Setakat ini kempen seperti biasa kerana Rembau banyak penyokong Barisan Nasional (BN). Lagipun kita bekerja bukan sewaktu berkempen sahaja. Kami sentiasa bekerja dan bersama masyarakat sekiranya ada apa-apa yang diperlukan.
Buktinya kita boleh lihat walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi kalah pada PRU14 sekalipun, kami beri perkhidmatan terbaik.
Pusat khidmat kami di Pejabat UMNO Bahagian Senawang dan menjadi pusat operasi untuk kawasan Paroi. Saya merupakan Pengerusi Penyelaras DUN Paroi. Jadi perjalanan kempen macam biasa.
Cuma intensiti agak tinggi kali ini. Jadi masa berkempen kita perlu keterlihatan dan mesti ada orang nampak. Tidak boleh macam dulu lagi, biasa-biasa sahaja.
Selain itu, saya juga banyak habiskan masa di kawasan Paroi kerana di kawasan lain seperti Rantau saya sudah jaga elok-elok. Di DUN Kota dan Chembong pun kita ada wakil rakyatnya.
Lagipun di Paroi pengundi kira-kira 50,000 orang. Gerak kerja berfokus dan mantap. Sebab itu, perhatian perlu diberi lebih sikit di sini.
Bagaimana pula dengan keseluruhan penerimaan rakyat terhadap BN di semua kawasan Parlimen?
Saya tidak berkesempatan untuk memantau media sosial. Akan tetapi rasanya dua tiga tempat di luar kawasan Rembau penerimaan masyarakat tidak seperti PRU14.
Gaya bahasa tubuh sudah lain. Dulu waktu nampak jentera pakai baju BN, ada yang cepat-cepat buat tak nampak atau menyorok.
Alhamdulilah sekarang keadaan berbeza dan kita boleh lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Saya juga nampak untuk kali ini sambutan pengundi terhadap BN tidak mencemaskan sebagaimana PRU14. Penerimaan orang terhadap kita kini nampak lain dan lebih mesra.
Justeru saya rasa ini satu petanda baik jika dibandingkan dengan dahulu. Mungkin orang sudah membuat keputusan kepada siapa mereka hendak berikan mandat semula.
Tugas kita cuma bergerak untuk tunjukkan kehadiran dan tunjukkan gerak kerja sambil menyantuni serta menemui seramai mungkin penduduk sehinggalah 18 November nanti.
JANGKAAN BOLEH MENANG
Berdasarkan situasi tenang ini berapa anggaran kerusi yang boleh dimenangi BN untuk PRU15 nanti?
Saya belum dapat feedback dan Selasa lalu saya sudah berhubung dengan dua Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
Yang lain kita belum terima lagi dan kita tidak boleh hendak buat kesimpulan sehingga hujung minggu.
Apabila saya dapat maklum balas dan menerima laporan daripada pelbagai pihak, di situ nanti barulah saya boleh buat perbandingan dan simpulkan keadaan semasa.
Kalau ia mencemaskan, saya akan gerakkan tenaga kerja dengan lebih kuat. Sekirannya terkawal sekalipun, kita akan teruskan kekalkan gerak kerja sampai hari mengundi.
Pada jangkaan Datuk Seri, adakah terdapat gelombang atau tsunami melibatkan kaum-kaum tertentu sebagaimana pilihan raya sebelum ini?
Dulu memang ada gelombang atau dikenali sebagai tsunami. Sekarang tiada dan ia jelas sekali. Dulu di kedai kopi sampai bertengkar sebab masing-masing mahu menangkan pendirian. Rasanya untuk PRU15 lebih tenang.
Kita punya ceramah pun tidak macam tahun 2018. Walaupun ada pihak yang cuba menggunakan isu dan sentimen, saya berpesan kepada semua jentera kita agar tidak menghina peribadi. Kita mesti ada kematangan dalam berpolitik.
Kita akan cuba bentangkan apa yang boleh dilakukan dan laksanakan apabila diberi mandat nanti. Di samping itu, kita juga ingatkan rakyat walaupun parti lain diberi mandat pada 2018, ternyata mereka gagal dan tiada modal lagi untuk beri peluang mentadbir negara atau negeri.
Sekarang ini semua parti sudah diberi peluang dan ternyata mereka gagal. Rakyat tidak minta pun ‘kami hendak itu dan ini’. Mereka yang janji. Kali ini mereka mahu janji apa?
Tiada apa lagi yang mereka boleh janji dan apa lagi mereka mahu berikan. Apabila diberi peluang mentadbir, mereka gaduh sesama sendiri sejak dari hari pertama memerintah lagi.
ISU KITAR SEMULA
Ada percubaan untuk mengitar semula isu-isu lama di media sosial. Adakah memberi implikasi kepada BN?
Parti sebelah sana tiada modal lain sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), mereka mengitar isu-isu lama, menuduh rasuah, penipu dan penyamun.
Selepas itu ada dakwaan mengatakan kalau BN menang, kita akan lepaskan pemimpin parti yang dihukum.
Akan tetapi cuba kita lihat perbandingan sewaktu BN memerintah lebih 60 tahun dan semasa PH. Semasa BN mentadbir pun banyak pemimpin besar dipenjarakan, Datuk Seri Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim, dan Dr. Mohamad Khir Toyo. Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Cuba pula kita bandingkan semasa zaman PH. Banyak kes dilepaskan termasuk Lim Guan Eng.
Itu belum lagi cerita mengenai janji. Dulu dalam manifesto kata akan lantik ikut Jawatankuasa Pemilihan Parlimen untuk jawatan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara. Tetapi sekarang apa yang berlaku?
Rekod membuktikan kita kerajaan yang mendukung prinsip rule of law. Kita gantung keahlian dan sesiapa didapati bersalah, mereka tetap dikenakan hukuman oleh mahkamah.
MAJORITI MUDAH
Banyak meramalkan tiada parti yang akan mendapat majoriti mudah dalam PRU15. Apakah formula atau kriteria ditetapkan BN untuk membentuk kerajaan bersama parti lain?
Saya simpan (gelak). Kalau beritahu susahlah. Semua strategi ada dalam poket saya. Awak percayalah kepada saya.
UMNO JANGAN RIGID
Tapi adakah UMNO perlu bersikap lebih terbuka kali ini?
UMNO ini parti. Sebagai sebuah parti kita perlu sentiasa ikut perubahan. Parti tidak boleh terlampau rigid dan perlu ada dinamik mengikut persekitaran kita.
Kalau tidak nanti orang akan ubah kita. Jadi kita perlu ubah diri kita. Cari dinamik bagaimana kita mahu ubah. Sekiranya situasi ‘A’ berlaku bagaimana pendekatan UMNO begitu juga sekiranya berlaku situasi ‘B’.
Akan tetapi dalam masa sama kita tidak boleh berkompromi dengan prinsip dan perjuangan. Kita ada pada tiga zaman berbeza iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas merdeka pun ada dua tiga fasa lain.
Jadi kita perlu berubah agar kita tidak lagi dipandang serong rakyat. Sebagai contoh kalau Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apa orang muda mahukan, kita beri dan akhirnya meraih kemenangan.
Walaupun kita terpaksa korbankan warlord yang banyak. Sekarang pun kita buat dan ia perlu supaya proses pemimpin pelapis mengambil tempat dilaksanakan. Kalau tidak bila masa kita mahu beri mereka peluang?
Parti lawan ada menyatakan jangkaan untuk memenangi kerusi Parlimen dalam jumlah tertentu. Adakah memberi tekanan kepada BN?
Kita tiada tekanan sebab kita tahu tempat mana boleh menang dan kita tahu tempat mana yang dikategorikan sebagai kawasan putih, kelabu putih atau kelabu hitam.
Yang mana kerusi kita boleh pertahankan kita pertahankan dan yang mana kita boleh rampas semula kita rampas semula dengan kerja keras.
Kita tidak nafikan selepas penamaan calon memang ada gegaran. Bukan UMNO sahaja tapi parti lain. Cuma dalam tempoh sekarang semua gegaran sudah okey, tiada apa-apa lagi. Itu semua biasalah. PRK pun ada gegaran. Kita telah gerakkan pasukan pengurusan masalah supaya dapat tangani masalah setempat dan kawasan masing-masing.
Malah saya setiap malam menerima laporan daripada war room berkenaan perkembangan semasa. Setakat ini kita okey dan tiada perkara-perkara yang menyebabkan kita perlu tekan butang panik.
FELDA KERUSI SELAMAT BN?
Bagaimana pula dengan kerusi di Felda yang dikatakan banyak kerusi selamat untuk BN?
Ada tempat-tempatnya bukan semua. Felda ada 54 Parlimen. Itu sebab saya cakap kita sudah kategorikan yang mana kelabu putih, putih dan sebagainya.
Kita perlu kerja berfokus. Saya sudah pergi ke 191 bahagian dan kemudian saya panggil balik 53 bahagian untuk perbetulkan mana yang ada kekurangan di samping dapat menerima arahan yang jelas.
Jadi ini tugas war room kita. Ada tempat kita tahu susah untuk menang dan kita harap sekurang-kurangnya dapat kurangkan jurang kekalahan.
Ada berapa Parlimen di Negeri Sembilan yang boleh menyumbang untuk BN ke Putrajaya?
Dalam perkiraan sebelum ini 4+1. Tapi yang satu pun sudah tunjukkan peningkatan dan mungkin boleh jadi 5+1 seandainya gerak kerja dan jentera berjalan lancar. Setakat ini Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin. Tempoh hari kita fikir 4+1. Tapi keadaan di Tampin sudah selesai.
Adakah keputusan PRU akan memberi gambaran kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti?
Itu saya tekankan semua wakil rakyat dan jentera parti. Jangan ingat tiada PRN kita tidak perlu bekerja kuat. PRU15 ini adalah ujian penilaian kita untuk melihat tahap sokongan orang di setiap DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti akan keluarkan dan gazet keputusan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Daripada situ nanti kita akan buat kajian sikap selama ini sama ada Okey atau sebaliknya.
Daripada situ, nanti juga kita boleh baca DUN mana boleh menang dan mana yang kalah. Kita bekerja seolah-olah DUN pun diadakan pilihan raya sebab mahu atau tidak, PRN akan diadakan tujuh bulan daripada sekarang.
KJ BOLEH MENANG
Mampukah Khairy Jamaluddin menang di Sungai Buloh nanti?
Ya, sudah tentu walaupun sebelum ini kita kalah dengan jurang yang besar. Sebab masa PRU14, undi orang UMNO pergi kepada Pas.
Tapi kali ini Insya-Allah beliau boleh menang sebab ada pulling factor (faktor penarik).
Datuk Seri bertanding lagi untuk PRN nanti?
Terpulang kepada keputusan PRU15 nanti. Kalau saya, BN menang Insya-Allah dan saya diberi pegang jawatan di Persekutuan saya rasa tidak perlu saya bertanding di Rantau.
Akan tetapi kita lihat pada keadaan masa itu nanti di Rantau. Kalau perlu saya bertanding untuk memenangkan DUN itu saya masuk gelanggang. Namun itu adalah keputusan pada masa itu. – Mingguan Malaysia










