Sumbangan kita tidak dihargai? - Utusan Malaysia

Sumbangan kita tidak dihargai?

KEHIDUPAN rakyat Bosnia adalah jauh lebih baik berbanding warganegara Malaysia. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP orang kita yang gemar membantu dan menyumbang merupakan satu sikap yang sangat terpuji. Namun, kita perlu akur yang orang kita ini terlebih membantu orang luar daripada orang sendiri. Kalau tidak, tiadalah pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Selama bertahun-tahun berkelana di Turkiye dan Eropah serta berinteraksi dengan pelbagai bangsa dari serata dunia terutama dalam kalangan umat Islam, saya boleh simpulkan bahawa sebahagian daripada mereka tidaklah begitu suka atau menghargai Malaysia. Kalau suka pun bersebab.

Mereka nampak seperti menghargai kita kerana sikap kita yang suka memberikan apa sahaja yang mereka inginkan. Kalau tidak bagi, mulalah naik angin, kritik dan menghina negara kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sikap orang Bosnia antara yang paling saya tidak gemari sekali terutama mereka yang ada hubungan secara langsung dengan Malaysia, tidak kiralah sama ada pernah menjadi pelajar atau pelarian di sini. Mereka cukup arif dengan kenaifan dan kebaikan orang Melayu yang tidak kena tempat.

Oleh itu, macam-macam modus operandi yang mereka buat demi mendapat bantuan dari segi kewangan daripada orang kita. Dari dulu sampai sekarang, mereka akan membawa naratif perang Bosnia. Tidak sudah-sudah bercakap tentang keganasan puak Serb Bosnia. Isu-isu Srebrenica diangkat saban tahun.

Semuanya bermatlamat untuk membuatkan orang kita tersentuh hati lalu menjadikan ia sebagai modal untuk mendapatkan wang ringgit. Walhal hakikatnya, Bosnia pada hari ini cukup berbeza. Saya berani katakan, kehidupan rakyat mereka jauh lebih baik daripada warga kita.

Selama saya menetap di Bosnia, saya tidak pernah melihat lagi orang Muslim di sana merempat di kaki lima jalan. Kalau adapun, mereka adalah gipsi yang memang begitulah cara hidup mereka dan dalam kalangan pelarian serta imigran asing.

Umat Islam di Bosnia kalau miskin pun hanya sekadar tak ada kerja dan kalau ada kerja pun, gaji sedikit, tetapi masih ada tanah dan rumah untuk didiami. Makan dan minum terjaga bahkan dengan mudah boleh berhijrah ke negara berdekatan seperti Jerman dan Austria untuk bekerja sebagai buruh dengan gaji lumayan.

Bandingkan pula dengan orang kita, nauzubillah. Kemiskinan yang cukup luar biasa, ada sahaja orang miskin. Tak perlulah cakap tentang Sabah dan Sarawak. Jauh lebih dahsyat.
Sehingga ke saat ini, saya tak nampak langsung bantuan-bantuan dari Bosnia kepada kita.

Nak kata ucapan takziah pun cukup sukar kedengaran. Yang selalu bantu kita pun negara-negara yang kita selalu kritik seperti Arab Saudi dan China.

Oh ya, orang Bosnia suka Tun Dr. Mahathir Mohamad pun disebabkan bekas Perdana Menteri itu sentiasa memberi apa sahaja yang mereka mahu. Sehingga ke saat ini, orang-orang Bosnia masih ‘meratib’ nama Dr. Mahathir.

Cuba kalau Dr. Mahathir tolak permintaan mereka? Saya tidak rasa tugu peringatan Dr. Mahathir akan didirikan di Sarajevo seperti yang ada pada hari ini.

1MDB

Asal berbual, mereka tidak sudah-sudah memuji Dr. Mahathir dan mencela Perdana Menteri kita yang lain. Saya tertanya-tanya, apa salah silap dan dosa pemimpin kita lainnya terhadap mereka sampai dibenci sedemikian rupa?

Kalau mereka marah sebab isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau korupsi lainnya, itu bukan urusan mereka, itu masalah Malaysia. Tiada kaitan dengan Bosnia sama sekali.

Hakikatnya, Perdana Menteri selain Dr. Mahathir cukup susah nak bagi bantuan pada Bosnia. Itulah sebenarnya sebab utama kenapa mereka tidak suka dengan pemimpin kita yang lain. Orang Bosnia, baik dan beragama macam mana sekalipun, mereka masih mat salih yang egonya tinggi dan angkuh. Saya jumpa ramai sahaja warga Muslim Bosnia yang cuba menafikan bantuan kita terhadap mereka.

Mendidih hati mengingati semula perbualan saya dengan salah seorang pelajar wanita Bosnia yang pernah menuntut di sini. Dia tanpa rasa bersalah menghina dan melecehkan Malaysia. Katanya, Malaysia tidak beri apa-apa bantuan pada Bosnia. Dia mengungkapkan 1,001 alasan untuk menafikan bantuan kita pada mereka.

Mengapa perkara ini berlaku? Kerana mat salih Bosnia tak boleh terima hakikat yang orang Asia, Melayu macam kita ini membantu pertahankan mereka daripada Serbia waktu perang dahulu.Mereka tak boleh terima hakikat yang Malaysia pernah menghantar tentera melindungi mereka daripada keganasan Serbia.

Mereka malu untuk berhadapan dengan Eropah dan Serbia apabila fakta menunjukkan tanah air mereka selamat disebabkan orang Asia. Yalah, mana tidaknya. Ikut logik akal mestilah orang Eropah yang kuat-kuat dan besar itu membantu orang Asia.

Tapi dalam kes Bosnia, orang Asia pula yang bantu mereka. Saya tak ada apa-apa isu dengan Bosnia bahkan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka. Akan tetapi negara saya adalah keutamaan saya. Saya tak akan biarkan mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan terhadap masyarakat di negara ini.

Nasihat saya buat mereka yang hendak sangat membantu Bosnia disebabkan mereka mat salih, anda dipersilakan, namun jangan sesekali memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit.Anda boleh bantu mereka dengan pengendalian seminar atau kelas tertentu. Kalau nak beri sumbangan wang ringgit juga, anda boleh lakukan sendiri. Jangan sesekali serahkan pada mana-mana individu.

Cuba buat kajian tentang apa yang berlaku dengan sebahagian syarikat kita yang bertapak di Bosnia. Mesti anda terkejut. Artikel ini bukan bertujuan mencetuskan perpecahan tetapi peringatan untuk orang kita supaya sedar hakikat yang kita ini bukan dihargai sangat pun. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×