MUKADIMAH
MADAHNYA sentiasa lembut. Siapa sahaja yang mengenali DATUK SERI IR. HASNI MOHAMMAD pasti mengakui beliau mudah didekati oleh semua lapisan masyarakat.
Malah, ketokohannya memimpin sudah terbukti apabila berjaya mengemudi Johor melalui badai pandemik Covid-19 dengan baik.
Dalam arena politik, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor ini berjaya mengepalai Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu dengan cemerlang apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ADNAN IBRAHIM dan jurufoto, RAJA JAAFAR ALI bersama Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
UTUSAN: Kenapa rakyat khususnya di Johor perlu memilih BN pada PRU15?
HASNI: Saya rasa selepas PRU14, rakyat dapat melihat prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan apabila banyak janji yang diberikan begitu mengecewakan rakyat kerana tidak dipenuhi.
Ia berbeza dengan pentadbiran di bawah pimpinan BN selama lebih dua tahun yang banyak mengubah landskap kehidupan rakyat di negara ini.
Keadaan ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat perbandingan serta menilai parti mana yang seharusnya dipilih untuk mentadbir negara.
Berdasarkan PRN di Sarawak, Melaka dan Johor lalu, jelas menunjukkan rakyat ada pertimbangan yang utama khususnya kestabilan, keupayaan sesebuah kerajaan untuk menguruskan ekonomi, pekerjaan dan menarik pelaburan. Jadi, ini adalah satu kekuatan bagi BN sebagai sebuah kerajaan yang telah lama dan dapat membawa negara ke mercu kejayaan.
Oleh demikian, atas faktor-faktor inilah yang perlu menjadi penilaian kepada pengundi untuk menjadikan BN sebagai pilihan dalam PRU15.
Untuk menambat hati khususnya pengundi atas pagar, apa Datuk Seri akan bawakan kepada mereka sekiranya berjaya terpilih untuk mewakili suara orang Simpang Renggam?
Secara dasarnya, pengundi atas pagar ini membuat penilaian dengan tunggu dan lihat, juga bagaimana manifesto, ikhtiar dan janji dalam PRU.
Saya percaya apa yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tentang pencapaian negeri ini selepas lapan bulan mentadbir dapat membuka mata pengundi betapa pengurusan di bawah kepimpinan BN mampu diterjemahkan sebagai sokongan dalam PRU nanti.
Saya juga percaya manifesto BN jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keluh kesah rakyat yang inginkan pentadbiran kerajaan lebih cekap dalam perancangan ekonomi lebih pragmatik, kestabilan kerajaan dapat terus dipertahankan melalui beberapa siri reformasi yang dibawa termasuk hubungan kerajaan negeri dan Pusat dapat ditambah baik.
Percayalah, dalam tempoh lima tahun akan datang, majoriti rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa serta makmur di bawah pentadbiran kerajaan yang cekap daripada BN.
Boleh Datuk Seri terangkan visi dan misi untuk masyarakat di Simpang Renggam?
Kita ada wakil BN di hampir semua kawasan dalam Parlimen Simpang Renggam, iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan DUN Machap. Maka atas sebab itu. adalah wajar Parlimen Simpang Renggam menjadi kawasan keutamaan apatah lagi banyak potensi yang ada bergantung kepada kerajaan negeri dan Pusat.
Jika kerajaan Pusat juga daripada BN, saya rasa pembangunan akan jauh lebih cepat dan pesat. Namun, jika silap buat keputusan untuk tidak menjadikan calon BN sebagai wakil rakyat di sini, pembangunan ini tidak akan menjadi kenyataan.
Pandangan Datuk Seri terhadap calon lawan khususnya Dr. Maszlee Malik?
Wakil rakyat diukur keupayaannya bukan hanya kehadiran pada musim PRU semata-mata. Namun, wakil rakyat yang lepas terlalu banyak berpolitik dengan melompat dari satu parti ke parti lain sehingga berada dalam tiga buah parti dalam tempoh hanya empat tahun.
Keadaan ini membuatkan rakyat di sini terabai sedangkan mereka mengharapkan wakil rakyat yang sering berada bersama-sama mereka.
Namun, wakil rakyat ini mengisi masa hanya berpolitik siang dan malam menyebabkan rakyat hampa.
Dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Simpang Renggam baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Maszlee adalah individu yang menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan tersebut. Komen?
Saya pernah menjadi Exco yang menjaga infrastruktur negeri ini. Oleh demikian, saya amat memahami keperluan jangka masa panjang dari sudut bekalan air di Simpang Renggam. Pada awalnya, bekalan air terjejas akibat pusat pelupusan sampah di Ladang CEP 1 Renggam sebelum pusat ini diarahkan tutup.
Kini dengan adanya perancangan kerajaan negeri, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam sudah boleh menerima secara terus bekalan air bersih dari Empangan Machap sekiranya air di Sungai Benut terjejas akibat pencemaran atau kemarau dengan pemasangan saluran paip dari empangan berkenaan.
Semua ini sememangnya sudah dalam perancangan kerajaan negeri sebelum ini dan turut dilakukan adalah menambah lebih banyak pusat simpanan air untuk rawatan yang mencukupi bagi digunakan oleh penduduk setempat. Pembinaan Empangan Kahang juga memainkan peranannya tersendiri untuk menampung keperluan bekalan air di Simpang Renggam sekiranya memerlukan.
Oleh demikian, beliau (Maszlee) tidak perlulah mahu menjuarai isu bekalan air di Simpang Renggam kerana ia adalah hasil perancangan kerajaan negeri. Tidak perlulah mengambil kredit tentang perkara berkaitan bekalan air ini. – UTUSAN










