Pilihan raya umum yang ‘menggilakan’

Pilihan raya umum yang ‘menggilakan’

PERTANDINGAN membabitkan sangat banyak penjuru boleh dianggap pencabulan demokrasi oleh politik yang licik lagi kotor. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebut oleh banyak pihak sebagai ibu kepada segala pilihan raya di Malaysia. Dengan ini, ia bermakna PRU15 ditegaskan sebagai paling penting atau besar. Ia juga boleh berupa yang paling jelik dan segala ciri negatif lain. Sebenarnya PRU15 sangat luar biasa berbanding dengan yang sebelumnya dalam sejarah negara.

Sehubungan keluarbiasaan ini, ia diadakan pada masa yang amat tidak sesuai, iaitu musim tengkujuh. Selain waktu begini yang pasti dilanda banjir, ia diperingat bahawa tengkujuh kali ini berisiko besar lagi dahsyat ekoran keadaan iklim dunia yang sangat tidak menentu kini.

Walaupun diberi ingatan dengan serius, ia masih diadakan juga. Ia gara-gara pihak tertentu mahu memanfaatkan keadaan politik semasa yang amat diyakini memihak kepadanya. Justeru, sebagai pertimbangan politik yang amat wajar baginya, kesempatan begini harus diambil segera tanpa berlengah sesaat pun. Biarpun ia tidak sesekali merupakan waktu baik kepada banyak pihak lain, khususnya pengundi sebagai pihak paling berkepentingan.

Selain amat menyusahkan pengundi, sepatutnya pada masa begini, negara bersiap sedia untuk menghadapi banjir. Sebaliknya dalam keadaan berbahaya sebegini, keutamaan untuk terus mengadakan PRU15 oleh pihak tertentu itu bukan sahaja tidak berhati perut, ia memperlihat kerakusan melampau untuk tidak sesekali melepaskan peluang begini waima apa-apa jua akibatnya kepada negara.

Seperkara lain yang menjadikan PRU 15 menggilakan, yakni amat luar biasa sehingga boleh dianggap sangat tidak normal, ialah pertandingan yang membabitkan sangat banyak penjuru. Ia dari satu segi ditafsirkan sebagai tanda demokrasi segar, malah amat subur di negara ini. Dari segi lain, pertandingan begini boleh dianggap sebagai pencabulan demokrasi sebagai urusan baik lagi suci oleh politik yang licik lagi kotor.

Sebenarnya demokrasi adalah urusan serius untuk memilih kepimpinan berbentuk representasi, yakni mewakili mereka yang memilih. Dalam hal ini, demokrasi sebagai ehwal penting lagi takzim bertujuan menjamin kemuliaan sesuatu pemilihan itu, tidak boleh sesekali dimanipulasi, dieksploitasi dan lain-lain yang jelik sifatnya oleh politik.

Politik kini sebagai entiti sebaliknya, yakni tidak serius dengan segala macam muslihat dan helah oleh ahli politik, didapati sering tidak menghormati demokrasi. Ia berlainan sekali semasa demokrasi mula diperkenal dengan mulianya pada zaman Yunani dan Rom. Dalam hal ini, kepimpinan perwakilan yang terpilih itu bukan sahaja merupakan mereka yang bijaksana selain berkelayakan bagi berkhidmat untuk masyarakat, mereka juga sangat selain selalu menghormati rakyat jelata.

Sehubungan ini, sepatutnya PRU15 tidak diadakan pada masa yang begitu berbahaya. Dengan melakukannya juga, meskipun dilarang keras semua pihak, tidak dapat disangkal lagi bahawa pihak tertentu itu langsung tidak menghormati rakyat jelata. Dengan kata lain, tindakannya bukan sahaja rakus sekali tetapi amat menjengkelkan rakyat sehingga ada yang berfikir untuk tidak menyertai proses demokrasi pada kali ini.

BADUT

Sebenarnya demokrasi untuk memilih perwakilan rakyat dalam kalangan yang bertanding tidak sesekali diwujudkan untuk mengakomodasi begitu ramai yang bertanding secara semberono, lebih-lebih lagi mereka yang didapati tiada kredibiliti dan prospek langsung untuk menang, lalu diangkat sebagai bakal pemimpin, apatah lagi bagi meraikan keramaian menggila itu sebagai sarkas yang sarat dengan badut.

Dengan terdapat belanarnya pertandingan banyak penjuru dalam PRU15, ia sebenarnya pencabulan kepada demokrasi biarpun ia merupakan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan bagi semua warganegara untuk bertanding walaupun sebilangan mereka ini memang didapati tidak layak langsung sebagai bakal pemimpin.

Natijahnya ialah perlu ada perimbangan bestari antara demokrasi yang serius lagi luhur dengan politik licik dan lucu itu. Sehubungan ini, demokrasi dilacurkan apabila ada dalam kalangan bertanding itu didapati memang dianjurkan pihak tertentu yang licik bagi sengaja memecahkan undi. Ia juga begitu apabila seorang yang serba kekurangan ikut bertanding dan menjadi bahan ketawa masyarakat sahaja, selain pasti akan kehilangan wang cagarannya.

Walaupun begitu, dalam sesetengah keadaan, mereka yang tiada kredibiliti dan prospek itu masih boleh menang. Ini antaranya kerana pengundi terlalu marah kepada pihak sebelum ini yang didapati tidak cekap selain gagal mengurus tadbir kawasan mereka sehingga sanggup memberi undi yang berharga itu kepada sosok sedemikian sebagai tanda bantahan.

Walaupun rakyat jelata rata-ratanya menyedari hak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam PRU15 ini dengan keluar mengundi beramai-ramai untuk membuat pilihan bijak, mereka hendaklah dihormati pada setiap masa dengan ahli politik tidak sesekali bertindak secara rakus bagi mencapai keinginan semata-mata seperti yang berlaku pada PRU15 ini. Waima politik sarat dengan perkara pelik lagi bebal ekoran kemahuan ahli politik yang tamak, ia hendaklah juga dipastikan agar tidak sesekali diselewengkan sehingga boleh menjahanamkan kesucian demokrasi. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN