Pilih calon al-Amin, bukan parti

Pilih calon al-Amin, bukan parti

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEMPENA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menitipkan satu, dua pesanan buat 21.1 juta pengundi sedia ada termasuk lebih sejuta pengundi muda yang berdaftar secara automatik.

Presidennya, MOHD. AZMI ABDUL HAMID atau lebih mesra disapa Cikgu Azmi berkata, pesanan yang ingin disampaikan bukanlah kempen pilihan raya untuk mana-mana pihak tetapi sekadar panduan buat pengundi dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak dari pelbagai aspek terutama berciri amanah dan bersifat al-Amin.

Menurutnya, rakyat harus memahami maknawi PRU15 bukanlah sekadar pesta demokrasi tetapi masa untuk mereka melaksanakan hak istimewa sebagai rakyat majoriti bagi menentukan masa depan negara dan nasib sendiri dari aspek polisi, undang-undang dan jenis pembangunan didambakan.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS dengan Mohd. Azmi di pejabatnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

UTUSAN: Pasca PRU14 menyaksikan pentadbiran negara bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali disebabkan berlaku kemelut politik yang kini tinggal menjadi sejarah. Komen?
MOHD. AZMI: Pertama, saya ingin bermula dengan mengatakan kita masih bertuah kerana negara ini masih mampu mengendalikan proses demokrasi. Ruang itu masih ada dan mudah-mudahan kita tidak seperti negara-negara lain yang berada dalam suasana tegang dan tidak stabil.

Kita harus bersyukur masih berada dalam keadaan yang nampak tenang sehingga kini.

Dari sudut sejarahnya, pengundi di negara ini pada suatu masa dahulu berada dalam satu sistem demokrasi di bawah sebuah kerajaan lebih 60 tahun, di bawah kepimpinan sebuah parti yang dominan. Namun, pada PRU14 berlaku anjakan besar di mana pengundi menerima semacam pendedahan hingga menyebabkan mereka kritikal dalam membuat pemilihan terhadap siapa yang harus memerintah.

Sejak berakhirnya PRU14 hingga kini, wujud pelbagai peristiwa dan siri pendedahan kepada pengundi-pengundi yang agak luar biasa. Pengundi pada fasa itu menerima pelbagai maklumat dan pelbagai peristiwa, pelbagai krisis muncul hingga berlaku satu peristiwa yang menyebabkan kerajaan dijatuhkan disebabkan satu amalan tidak sihat. Walaupun ia dalam konteks sistem demokrasi, ia tetap merubah kerajaan dengan cara yang dianggap luar biasa.

Apakah hikmah tersirat daripada episod pertukaran kerajaan yang dikatakan luar biasa tersebut?
Hikmahnya apabila berlaku peristiwa tersebut, di tengah-tengah itulah kita terdedah kepada pelbagai kisah penyalahgunaan kuasa, rasuah dan kita melihat wujudnya dalam kalangan parti-parti politik yang nampaknya berubah-ubah pendirian. Jadi, pengundi selama lebih kurang empat tahun ini menyaksikan keadaan yang tidak sihat.

Oleh kerana itu, bila sampai masanya sekarang ini diputuskan pembubaran Parlimen dan kita terpaksa mengadakan pilihan raya, saya kira pengundi sekarang menjadi agak lebih kritikal walaupun kita ada tiga jenis pengundi.

Pertama, jenis pengundi yang kritikal. Kedua, pengundi tegar atau setia yang sudah lama mengundi parti sama dan ketiga, pengundi atas pagar.

Jadi, profil pengundi sebegini bagi saya tidak boleh dielakkan.

Apa panduan terbaik untuk rakyat dan tiga kategori pengundi tadi dalam memilih calon pemimpin yang terbaik bagi membela nasib mereka?
Panduan terbaik adalah pengundi harus melihat kepada seseorang calon di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pengundi harus melihat kepada kualiti-kualiti terbaik yang ada pada calon bertanding.

Kualiti tersebut dalam sejarah disebut al-Amin yang tercetus daripada peristiwa Nabi Muhammad SAW menyelesaikan masalah melibatkan Hajarul Aswad. Orang Mekah atau Quraisy melihat suatu kualiti dalam diri baginda sebagai orang yang boleh dipercayai. Semasa itu, Rasullullah SAW belum diangkat sebagai nabi namun sudah menampakkan kualiti baginda.

Kualiti diri calon yang dipercayai itu yang paling penting untuk kita ambil kira, bukannya memilih berdasarkan parti diwakilinya. Pilihlah calon atau sosok diri calon itu sendiri, adakah dia mempunyai latar belakang yang baik? Adakah dia mempunyai pengalaman yang baik, pendirian dan nilai hidup yang baik?

Kesimpulannya, pilihlah calon yang jujur dan pemegang amanah yang baik. Inilah kriteria yang Mapim sarankan kepada pengundi untuk diperhalusi sebelum memilih calon.

Kedua, pengundi kini terdedah kepada teknologi maklumat di hujung jari dan ini menyebabkan mereka terdedah dan terpengaruh kepada perkara yang benar, separuh benar dan palsu di media sosial. Mereka harus menjadi pengundi yang kritikal dengan pelbagai maklumat yang mereka terima. Ini bagi mengelakkan mereka terpengaruh dan diperalatkan.

Ketiga, Mapim berpendirian, negara dalam keadaan kritikal dan di persimpangan jalan. Ertinya, keadaan tidak kondusif. Sepatutnya jika kita hendak mengadakan pilihan raya, negara seharusnya berada dalam keadaan baik atau feeling good factor yang mana semuanya baik. Namun, tekanan dari dalam kerajaan dan parti menyebabkan kerajaan terpaksa dibubarkan.

Ternyata PRU15 berada dalam keadaan agak tidak selesa untuk mana-mana parti sekalipun. Kita sedang menghadapi masalah pekerjaan, mata wang ringgit dan pelabur tidak yakin dengan kita. Maknanya, nasihat saya kepada pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan turun mengundi, walaupun ada suara bebal yang tidak mahu mengundi kerana tidak percaya dengan mana-mana parti. Apabila negara di persimpangan, rakyat yang akan menentukan.

Apa pesanan lain sebagai panduan khususnya kepada pengundi muda?
Simbol adalah suatu perkara yang penting. Kepada orang awam, simbol memberi kesan. Untuk mengundi, mereka harus mengetahui sejarah logo dan bendera parti, mengapa ia dicipta sebegitu rupa dan apakah relevan dengan perjuangan sesebuah parti. Simbol atau logo parti tidak penting tetapi mesti tahu membezakan antara satu sama lain untuk mengundi calon yang bertanding.

Apa yang lebih penting, pilihlah calon yang terbaik dan berkualiti di samping mendengar ucapan kempen mereka bagi memastikan mereka layak sebagai calon PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×