DUDUK melepak di kedai atau warung kopi ketika ini adalah paling seronok. Macam-macam fiil boleh diperhati. Pertikaman lidah adalah biasa apatah lagi apabila masing-masing mahu menang ketika membicarakan tentang calon atau parti kegemaran masing-masing. Malah ketika tempoh berkempen memasuki minggu kedua, masing-masing sudah mula membuat ramalan, parti mana dan siapa calon akan menang.
Namun, perbualan beberapa anak muda ketika saya lepak di sebuah warung di pinggir bandar baru-baru ini agak mencuit hati. Mereka berusia belasan tahun kerana saya terdengar baru pertama kali akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Remaja A bertanya kepada remaja B, “Hang nak undi sapa nanti?” Remaja C mencelah, “Aku tak taulah. Tak kenal pun depa semua ini.” Kemudian jawab remaja B, “Betullah, aku kenal dacing dengan bulan sahaja.”
Sememangnya perbualan seperti ini tidak boleh dijadikan penanda aras tentang apa-apa pun. Namun sesekali difikir, ada logiknya.
Ketika ini banyak pemerhati politik mengandaikan pengundi muda boleh menjadi penentu kemenangan sesebuah parti atau seseorang calon. Banyak juga dalam kalangan mereka dianggap sebagai pengundi atas pagar. Keputusan mereka untuk memilih calon yang mana satu juga dikatakan bergantung kepada pegangan atau haluan politik ibu bapa masing-masing.
SPR
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lebih 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun akan turun mengundi pada 19 November ini. Daripada jumlah itu, 1.4 juta merupakan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Malaysia melakarkan sejarah apabila membenarkan remaja berusia 18 tahun ke atas mengundi buat pertama kali (Undi18) pada PRU15. Pada Mac lalu, Undi18 ini dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kembali kepada tiga remaja berkenaan yang mendakwa mereka hanya tahu parti dacing, iaitu Barisan Nasional (BN) dan bulan (Pas) sahaja, perkara itu juga bukan sesuatu yang mengejutkan.
Terdapat lima gabungan parti iaitu BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) daripada Gerakan Tanah Air dan Parti Warisan yang bertembung dalam PRU15. Daripada penggunaan logo, hanya BN mengekalkan penggunaan lambang dacing sedangkan gabungan lain menggunakan logo agak baharu termasuk PN dan Pejuang.
Logo bulan milik Pas hanya digunakan di Kelantan dan Terengganu, malah PN Kedah yang ditadbir parti itu turut memilih logo PN. Demikian yang tercatat pada kertas undi nanti adalah logo-logo berkenaan dan yang paling ‘legend’ adalah dacing serta bulan di negeri-negeri berkenaan.
Saya percaya tiga anak muda ini bukan sendirian. Ramai lagi yang masih pening dan keliru untuk buat pilihan. Bukan semua dalam kalangan mereka memahami kepentingan mengundi dan memilih calon apatah lagi tentang politik.
Di sebalik itu apa yang diharapkan, masing-masing boleh membuat pilihan terbaik. Barangkali calon-calon yang bertanding ketika ini boleh mempergiatkan lagi kempen dalam kalangan anak muda. – UTUSAN










