PENAMPILAN ramai muka baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seharusnya dimanfaatkan untuk mengubah landskap politik negara ke arah lebih positif daripada ada kini yang ditentukan muka lama yang secara umumnya bersifat negatif. Sehubungan ini, muka baharu iaitu mereka yang baharu dalam sesuatu peranan awam yang diketengahkan sebagai calon ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah berusaha keras untuk mengamal politik lawas, iaitu tidak sempit dan tidak lagi berlegar sepanjang masa pada hanya kelangsungan sebagai ahli politik berserta parti mereka, selain selaku kerajaan yang ditubuhkan dari segi ahli dan parti mereka semata-mata.
Hal ini dapat difahami kerana politik ialah kerjaya mereka. Justeru, ada keperluan untuk memastikan kelangsungan mereka dalam bidang politik.
Namun, ia tidak boleh sesekali bersifat begitu sahaja sehingga tiada langsung perimbangan dengan politik lawas, yakni mencakupi negara sebagai matlamat pertama dan akhirnya. Dengan kata lain, muka baharu hendaklah berbeza sama sekali dengan muka lama yang kebanyakannya hanya tahu berpolitik pada setiap waktu bagi memajukan diri sendiri dan tidak pun mahu berkorban untuk negara dalam apa-apa jua cara yang signifikan, khususnya kepentingan rakyat.
Dengan ini, muka baharu hendaklah selalu memastikan politik lawas adalah sasaran utama mereka setelah berjaya dalam PRU15 nanti. Ini mustahak kerana secara keseluruhannya negara merupakan satu-satunya tumpuan terpenting kegiatan politik mereka. Dengan asas utama yang mementingkan negara lebih daripada kerjaya politik mereka, muka baharu pasti akan disokong kuat rakyat yang kini tidak lagi menaruh apa-apa jua keyakinan kepada muka lama.
Sejauh manakah muka baharu dapat mengubah senario politik negara yang citranya telah terpalit kerakusan muka lama? Dari satu segi, ia kelihatan seperti tidak akan berjaya kerana muka baharu sebenarnya dianjurkan muka lama. Oleh itu, rasa terhutang budi selain setia kepada parti yang masih dipimpin muka lama pasti mencorakkan haluan politik mereka, ibarat bapa borek anak rintik.
Selain ini walaupun sebagai muka baharu, mereka sebenarnya sudah lama berkecimpung dalam politik sempit yang merupakan norma di negara ini. Dengan kata lain, asuhan politik mereka adalah dalam politik sempit.
Sehubungan ini, dari satu segi, penampilan muka baharu akan hanya meneruskan kitaran syaitan politik sempit, iaitu kesinambungan keadaan jelik yang sama. Ini terbukti pada politik negara yang ada menampilkan muka baharu setiap kali berlakunya pilihan raya. Akan tetapi dari segi lain, kadar yang begitu ramai pada kali ini yang dilakukan semua parti dilihat sebagai berpotensi untuk merubah cara politik negara dikendalikan selepas PRU15.
SEMPIT
Dengan kata lain, penampilan muka baharu dalam agregat besar begini hendaklah dijadikan pencetus pembaharuan politik negara. Ia hendaklah berupa faktor yang akan mengakibatkan peranjakan penting daripada cara berpolitik sempit kepada yang luas sifatnya. Dengan ini, muka baharu ialah agen yang akan menghapuskan cara berpolitik jelik di negara ini.
Sebetulnya ini bukan sahaja harapan, tetapi keinginan rakyat sememangnya sangat bosan dengan politik sempit yang diamalkan kebelakangan ini. Oleh itu, muka baharu hendaklah tidak lagi mengikuti cara muka lama semasa mereka berkempen, iaitu dengan hanya pandai menyalahkan pihak lain dan tidak pun mampu mengetengahkan pelan dalam bentuk konkrit untuk menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
Usulan mantap dengan rincian tuntas ialah perkara yang sangat diingini rakyat untuk antaranya mengatasi masalah ekonomi runcing yang amat membebani mereka kini. Ia tidak boleh lagi berupa retorik melalui pengumuman ringkas sahaja. Sebaliknya ia hendaklah meyakini rakyat menerusi perancangan rapi untuk waktu terdekat ini bagi meringankan beban yamat berat ditanggung mereka, selain untuk tempoh panjang yang boleh memakmurkan negara yang kesan langsungnya akan ikut dirasai rakyat.
Oleh itu, muka baharu hendaklah bertindak sebagai negarawan, walaupun gelaran itu begitu besar lagi mulia untuk hanya mereka yang sudah lama berkhidmat melalui politik dan besar pula sumbangan kepada negara.
Berdasarkan jiwa negarawan, iaitu kesanggupan berkorban untuk negara, muka baharu pasti akan dihormati kerana hanya melakukan perkara yang membawa kebaikan kepada negara dan bukannya untuk diri sendiri.
Dengan ini, mereka pasti akan dilihat bukan sahaja sebagai mahir dalam mengurus tadbir negara di kawasan yang diwakili mereka. Mereka juga akan diyakini sebagai pemimpin yang berintegriti kerana mendahului dan mengutamakan ehwal negara untuk memastikan kesejahteraan rakyat selain pembangunan negara.
Natijahnya ialah politik negara berpeluang pada PRU15 ini untuk beralih daripada hanya berskopkan politik sempit kepada bercakupan luas dengan penampilan ramai muka baharu yang muda lagi pintar. Sebenarnya rakyat menunggu peranan baharu ini daripada muka baharu yang bukan sahaja sangat diperlukan, malah dituntut keras daripada mereka ini untuk meletakkan kebajikan rakyat sebagai prinsip moral dan etika yang pertama-tamanya wajib ditunaikan dalam kerjaya politik mereka.
Inilah antara kepentingan negara yang selalu diperlihat mana-mana pemimpin yang bertindak sebagai negarawan walaupun sebenarnya sesetengahnya adalah pemimpin kecil di pedalaman sahaja. Dengan ini, jiwa negarawan sangat penting dalam membentuk pemimpin yang bukan sahaja disegani, tetapi yang baik dalam erti kata sebenar-benarnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










