Mampukah MIC sekat kemaraan PKR di Tapah? - Utusan Malaysia

Mampukah MIC sekat kemaraan PKR di Tapah?

M. Saravanan (kanan) merupakan satu-satunya wakil MIC yang berjaya kekal sebagai ahli Parlimen pada penggal ke-14. – UTUSAN/FACEBOOK MIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka mengejutkan pelbagai pihak. Dengan bertanding secara solo, Barisan Nasional (BN) menyimpan hasrat untuk menawan kerusi majoriti Parlimen sehingga 145 supaya dapat membentuk kerajaan.

Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berharap akan mendapat sokongan hebat daripada sebahagian besar pengundi terutama orang Melayu.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) juga berhasrat menawan majoriti kerusi Parlimen supaya pemimpinnya dapat dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas PRU15 ini.

Bahkan PH merancang strategi untuk meletakkan calon-calon berwibawa, menggugurkan veteran parti dan digantikan dengan muka baharu, termasuk menukar penyandang ke kawasan baharu yang dilihat mampu mengalahkan pihak lawan di kebanyakan negeri.

Sehubungan ini, PH menyasarkan Perak sebagai negeri tumpuan pada PRU15. Oleh itu, PH mencalonkan tokoh-tokoh utamanya bertanding di Perak termasuk Pengerusinya. Antara kerusi yang dianggap penting di Perak adalah Tapah yang disandang oleh Datuk Seri M. Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia dalam Kabinet.

Beliau ialah Timbalan Presiden MIC, malah satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili MIC di Dewan Rakyat dan kerajaan. Persoalannya, apakah BN mampu mempertahankan kerusi Parlimen Tapah pada PRU15?

Kerusi Parlimen Tapah mula dipertandingkan pada PRU7 (1986). Calon yang bertanding dan memenangi pada kali pertama kerusi Parlimen Tapah ialah Tan Sri M.G. Pandithan, calon MIC sebagai wakil BN. Beliau juga merupakan Naib Presiden MIC.

Sejak PRU7, kerusi Parlimen Tapah diperuntukkan kepada MIC, sebuah parti komponen BN sejak ditubuhkan pada 1974. Pada PRU8 (1990) dan PRU9 (1995), kerusi Parlimen Tapah dimenangi oleh K. Kumaran yang merupakan Naib Presiden MIC. Pada PRU10 dan PRU11, kerusi Tapah dimenangi oleh Datuk S. Veerasingam dari MIC.

Seterusnya, pada PRU12, Saravanan, seorang pemimpin muda MIC dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diturunkan untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tapah. Beliau bukan sahaja mempertahankan kerusi tersebut pada PRU12, malah menang dengan majoriti besar iaitu 3,020 undi dan 7,927 undi pada PRU13.

Namun pada PRU14, beliau menghadapi kesukaran dalam memperoleh majoriti besar tetapi masih dapat mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti tipis, iaitu 614 undi. Saravanan memperoleh 16,086 undi manakala calon PKR mendapat 15,472 undi dan Pas pula sebanyak 4,616 undi.

Dalam pada itu, keunggulan dan penerimaan Saravanan oleh pengundi Tapah ternyata dibuktikan apabila beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Tapah pada PRU12 (2008), ketika medan politik negara dilanda gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), khususnya dalam kalangan pengundi India yang menyebabkan barisan utama pemimpin MIC yang bertanding menemui kekalahan teruk, termasuk Presiden MIC di Parlimen Sungai Siput.

GST

Bukan itu sahaja, beliau berjaya merangkul kemenangan pada PRU14 ketika negara dilanda dengan pelbagai tohmahan dan isu politik seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebagainya.

Kebanyakan pemimpin BN terkandas, termasuk hampir keseluruhan barisan utama kepimpinan MIC yang bertanding termasuk Presiden MIC di kerusi Parlimen Segamat pada ketika itu.

Dengan itu, Saravanan merupakan satu-satunya wakil MIC yang berjaya kekal sebagai ahli Parlimen pada penggal ke-14 yang juga dilantik sebagai menteri bagi portfolio Kementerian Sumber Manusia.

Saravanan merupakan seorang menteri yang menghasilkan prestasi cemerlang, bukan sahaja mendapat penghargaan daripada kerajaan malah rakyat khususnya masyarakat India. Malah pendekatan beliau dalam mengurus Kementerian Sumber Manusia menerima sanjungan dan penghargaan daripada parti pembangkang.

Jumlah pemilih Tapah pada PRU15 adalah 61,664 pengundi termasuk 18,018 pengundi baharu. Majoriti pengundi Tapah adalah terdiri daripada pengundi Melayu (45.7%), diikuti pengundi Cina (24%) dan India (14%).

Dalam pada itu, pengundi Orang Asli pula adalah hampir 17 peratus daripada jumlah pengundi Tapah. Pengundi berusia 18 hingga 40 tahun termasuk yang baharu adalah hampir 43 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi Tapah.

Parlimen Tapah meliputi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chenderiang dan Ayer Kuning. Meskipun kedua-dua DUN tersebut dimenangi oleh BN pada awalnya, namun, akhir-akhir ini, PKR dan Pas didapati meluaskan pengaruhnya di kedua-dua DUN tersebut sekali gus Parlimen Tapah.

Memandangkan kepimpinan PKR telah mengumumkan Perak sebagai sasaran utama parti itu, maka kerusi Parlimen Sungai Siput yang ditandingi oleh Presiden MIC dan Tapah yang ditandingi oleh Timbalan Presiden MIC menjadi tumpuan pada PRU15.

Persoalannya, adakah Saravanan yang berjaya dalam mendepani gelombang Hindraf pada PRU12 dan gelombang anti-BN pada PRU14, mampu mempertahankan kerusi Parlimen Tapah pada kali ini? Apakah kerusi Parlimen Tapah yang menjadi kubu kuat BN dapat dicerobohi oleh pembangkang pada PRU15?

Pengamatan dan tinjauan kasar pola pengundian di kerusi Parlimen Tapah, menunjukkan undi Melayu yang menjadi tiang seri kepada kemenangan BN dijangka pecah antara BN dan PKR. Malah undi kaum India juga dijangka pecah antara BN dan PKR.

Namun, sokongan terhadap Saravanan tidak banyak berubah, malah masih kekal pada tahap sebelumnya. Lebih-lebih lagi pembangunan prasarana dan kemudahan kehidupan yang disediakan oleh Saravanan kepada masyarakat Orang Asli, selaku Ahli Parlimen Tapah dijangka membantu beliau dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Tapah pada kali ini. Tunggu dan lihat. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×