Luar biasa Kamus Dewan Perdana

Luar biasa Kamus Dewan Perdana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN ketebalan 2,529 halaman mencakupi lebih 120,000 entri, lebih 7,000 kata disediakan maklumat asal usul kata atau etimologi dan kerja menyusun pula mengambil masa lebih 30 tahun, sudah terserlah sifat Kamus Dewan Perdana yang unggul dan luar biasa.

Kerja-kerja menganalisis kata dalam kamus ini merentasi lebih 113 juta kata korpus daripada pangkalan data yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal ini menjadikan Kamus Dewan Perdana sebagai kamus bahasa Melayu pertama di dunia yang memanfaat data digital.

Kerja menyusun yang merentas garis masa begitu lama dan komprehensif menjadikan Kamus Dewan Perdana antara sumbangan besar DBP terhadap bahasa Melayu. Masa depan dan dinamiknya bahasa Melayu boleh dilihat daripada tradisi perkamusan yang dimulai DBP termasuk Kamus Dewan Perdana.

Manfaatnya tidak sahaja kepada penutur bahasa Melayu di alam Melayu, malah menjadi sesuatu yang sangat membantu kepada penutur baharu bahasa bahasa Melayu di seluruh pelosok dunia. Hal ini kerana Kamus Dewan Perdana menyimpan kosa kata paling luas cakupannya – lebih seabad lalu.

Keberadaan kamus yang secara fizikal beratnya 3.72 kilogram di pasaran sejak 2020 adalah tanda aras kecemerlangan DBP. Editornya silih berganti, akan tetapi matlamat diteruskan tanpa henti. Penerbitan berskala mega ini membuktikan iltizam peneraju-peneraju DBP pada tanggungjawab kebahasaannya.

Pada masa sama, ini juga mencerminkan kedudukan bahasa Melayu dalam satu tamadun yang besar. Memasukkan kosa kata sejak seabad lampau adalah sebuah karya antropologi kebahasaan yang sangat tinggi nilainya. Ditambah dengan ciri-ciri yang unik iaitu memuatkan maklumat sebutan atau transkripsi fonetik.

Perkara ini bertujuan memberi gambaran tepat mengenai sebutan. Bayangkan kosa kata dituturkan lebih seabad lampau, kini telah lenyap dalam perubahan sosial yang sangat pesat.

Dengan adanya kosa kata dan maklumat sebutan, pengguna mendapat manfaat mengekalkan keaslian sebutannya. Turut dimuatkan aksara Jawi pada setiap kosa kata yang dikira satu langkah pelestarian tulisan Melayu itu.

Kamus Dewan Perdana yang berada di pasaran sejak 2020 dilancarkan dengan rasminya oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada Selalu lalu di Dewan Tun Syed Nasir DBP.
Majlis pelancaran gemilang itu sebenarnya ada signifikan antara bahasa Melayu, institusi bahasa dan persuratan Melayu iaitu DBP dan dewan yang mengabadikan nama tokoh pejuang bahasa Melayu, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail. Majlis pelancaran ini juga menjadi antara catatan sejarah penting DBP dalam konteks pemerkasaan bahasa Melayu. Selebihnya Kamus Dewan Perdana menjadi satu jenama yang merentas benua dan pemangkin pada kerancakan pengembangan bahasa Melayu di beberapa universiti di luar negara.

Sekalipun bahasa Melayu agak terpinggir di negara asal Melayu sendiri, akan tetapi tumbuh dan menjalar di negara yang bukan majoriti penutur bahasa Melayu. Kewujudan jurusan pengajian Melayu hingga ke tahap akademik tertinggi, doktor falsafah (PhD) di banyak universiti di luar negara adalah cerminan sebenar nilai bahasa Melayu.

PESAT

Keperluan menyelongkar dan menyusuri jutaan kosa kata bahasa Melayu menjadi tinggi dan dalam hal demikian, Kamus Dewan Perdana adalah tempatnya. Sumbangan melahirkan kamus terunggul ini tentunya akan diingatkan oleh generasi pada zaman mendatang.

Sejarah perkamusan bahasa Melayu di negara ini bermula dengan Kamus Dewan edisi pertama yang diterbitkan pada 1970. Ini menjadi langkah pertama yang sangat besar makna dan kesannya kepada DBP sebagai pihak bertanggungjawab dalam mengembangkan bahasa Melayu.

Dalam berdepan dengan dinamiknya bahasa Melayu maka mengemaskini Kamus Dewan edisi pertama bukan lagi pilihan sebaliknya satu keperluan. Tanpa berbuat demikian akan menjadikan Kamus Dewan tertinggal daripada perkembangan sosial yang pesat.

Maka terbitlah Kamus Dewan Cetakan Kedua dengan beberapa penambahan pada 1984. Tidak terhenti di situ, DBP terus menerbitkan Kamus Dewan Edisi Baharu (1989), Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), dan yang terakhir ialah Kamus Dewan Edisi Keempat (2005).

Keberadaan Kamus Dewan Perdana dalam masyarakat hari ini dilihat sangat bertepatan dengan ledakan maklumat, kemajuan teknologi dan penemuan kosa kata baharu yang merentas pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.

Semua perubahan pesat yang berlaku ini tidak tertampung dengan edisi kamus sedia ada. Keperluan kamus yang menyeluruh cakupan entri dan subentrinya dapat dipenuhi dengan pelan jangka panjang penyusunan Kamus Dewan Perdana.

Pada sisi lain pula, Kamus Dewan Perdana membuktikan bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gemilang dan terus berkembang khususnya dalam pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.

Ini termasuklah dari segi politik, budaya, sains dan teknologi, industri, sejarah, undang-undang, pertanian dan seumpamanya.

Banyak kata baharu yang tercipta dan tidak kurang juga terpadam oleh faktor perubahan sosial. Di mana lagi kata yang terpadam dan hilang itu boleh ditemukan semula kalau bukan di Kamus Dewan Perdana?

Empat editor yang terlibat menerajui Kamus Dewan Perdana adalah Salmah Jabbar, Nor Azizah Abu Bakar, Noresah Baharom dan Dr. Fadilah Jasmani. Hasil kerja mereka serta pasukan yang besar menjadikan kamus ini khazanah bahasa Melayu bernilai tinggi.

Demikianlah istimewanya sebuah kamus yang kerja-kerja menyusun adalah getir yang amat menduga kesabaran. Masa sama menuntut kemampuan bekerja secara berpasukan dalam skala besar, jangka masa panjang selain ketelitian yang tidak boleh ditolak ansur.

Oleh hal yang demikian, kamus tidak sahaja tempat rujukan. Akan tetapi berperanan sebagai bahan bacaan. Membaca kamus adalah sebuah kembara intelektual yang sangat luar biasa hebatnya. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×