KEBERTAHANAN dan kestabilan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencecah tempoh setahun pada 21 Ogos lalu signifikan dalam peralihan demokratik Malaysia yang mencipta rekod baharu sebanyak dua kali dalam menyingkatkan riwayat kerajaan. Kerajaan bukan Perikatan/Barisan Nasional (BN) pertama, iaitu Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad bertahan kurang dari 22 bulan sungguhpun berjaya menambahkan majoriti daripada 121 kerusi (54.5%) ke 139 kerusi (62.6%), yakni hanya sembilan kerusi kurang daripada dua pertiga.
Penggantinya, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai 111 kerusi (50%) pada kelahirannya berhasrat asal untuk menawarkan sebuah ‘gabungan tetap’ baharu seperti BN yang menyatupadukan tiga nasionalis Melayu-Muslim, yakni UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Muslim yang menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah panji Perikatan Nasional (PN).
Akan tetapi, ia menjadi nyata dalam bulan keenam kerajaan Muhyiddin itu cumalah sebuah kerajaan campuran pasca-pilihan raya antara BN, PN, GPS dan ahli Parlimen Bebas dan parti kecil. Dan akhirnya tumbang pada bulan ke-18 apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada majoriti yang telah meningkat ke 115 kerusi (51.8%) dengan lompatan empat ahli Parlimen PKR.
Ismail Sabri mewarisi kerajaan campuran Muhyiddin, malah beliau mengalahkan calon Perdana Menteri PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti hanya 114 kerusi (51.4%), satu kerusi kurang daripada kerajaan Muhyiddin. Ketidakstabilan atau penjajaran baharu yang mula mengancam kerajaan sejak pertengahan 2019 berjaya dihentikan pada 13 September 2021, tiga minggu selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan apabila beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan PH.
Melalui MOU ini, kerajaan Ismail Sabri berjanji melaksanakan reformasi dalam dasar penanganan wabak Covid-19 dan reformasi-reformasi institusi berkekalan seperti pemerkasaan Parlimen dan undang-undang anti lompatan sementara PH berjanji untuk tidak menyokong sebarang usul yang akan menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri termasuk dalam undi Bajet 2023 dan rang undang-undang (RUU) berimplikasi keyakinan dengan syarat PH dibawa berunding dalam penyediaan belanjawan dan RUU. MOU ini pada teorinya boleh dipakai sehingga tamat tempoh Parlimen ke-14, iaitu pada 15 Julai 2023 tetapi secara spesifiknya kerajaan Ismail Sabri cuma menjanjikan untuk tidak memohon pembubaran Parlimen sebelum 1 Ogos 2022.
Ismail Sabri juga menandatangani satu memorandum perjanjian (MOA) dengan pendahulunya, Muhyiddin. Antaranya menjanjikan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) untuk Bersatu, pengekalan agihan jawatan menteri antara parti-parti kerajaan campuran dan perundingan untuk tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Berlainan dengan MOU, MOA ini tidak dimeterai secara awam dan hanya dibocorkan pada Julai 2022 apabila Bersatu kehilangan kesabarannya dengan tidak terkotanya janji TPM.
REFORMIS
Tersepit antara parti sendiri, UMNO yang sentiasa menuntut PRU15 seawal mungkin dengan kepercayaan ia akan menang besar dan Bersatu yang juga pernah mengugut untuk keluar daripada kerajaan, Ismail Sabri dilihat sebagai seorang pemimpin yang lemah melalui kanta cermin konvensional. Akan tetapi, beliau berjaya meneruskan kerajaannya dan UMNO atau Bersatu tidak berani menjatuhkannya serta berjaya mendapat sokongan bersyarat daripada PH yang menyambut baik pendekatan rentas-parti kerajaan Ismail Sabri.
Malah, reformasi institusi yang tercapai dalam era pentadbirannya sebagai Perdana Menteri melebihi reformasi institusi semua kerajaan sebelumnya, termasuk kerajaan PH yang menonjolkan dirinya sebagai reformis.
Paling nyata sekali, sungguhpun dasar, pelaksanaan dan tingkah laku menteri-menteri malah beliau sendiri tetap sering dikritik oleh netizen, label ‘Kerajaan Gagal’ untuk kerajaan Muhyiddin pada bulan-bulan akhirnya tidak terlekat kepada kerajaan Ismail Sabri sungguhpun barisan menteri dan timbalan menterinya hampir sama.
Kebertahanan dan pencapaian kerajaan Ismail Sabri adalah melebihi hasil gabungan gaya individu berbeza, ekspektasi awam yang rendah pada awalnya serta kesurutan krisis pandemik Covid-19 (disusuli perang Russia-Ukraine) tetapi melambangkan peralihan paradigma dalam erti dan alat ‘kestabilan’ untuk menangani persaingan politik apabila majoritarianisme (majoritarianism) beransur-ansur diganti oleh sistem pelbagai parti dalam ‘Parlimen tergantung.’
MOU antara kerajaan Ismail Sabri dan PH telah menghadapi kecaman daripada pemimpin dan akar umbi UMNO, PH dan pembangkang yang tidak terlibat seperti Parti Warisan (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) .
Bagi faksi UMNO yang inginkan PRU15 awal dan mengharapkan penggantian kerajaan sekarang oleh UMNO sebagai puak dominan, Ismail Sabri adalah pemimpin yang lemah kerana kuasa beliau bergantung kepada sokongan PN di Kabinet dan PH di Parlimen. Ramai pemimpin dan akar umbi mempersoalkan keikhlasan kerajaan Ismail Sabri dalam melaksanakan reformasi kerana beliau bukan seorang reformis sepanjang kerjaya politiknya.
Mereka melihat pendekatan rentas-parti itu kelemahan pada PH kerana perbezaan kepartian sudah menjadi kabur dan pengundi yang melihat politik sebagai perlawanan antara alim dan zalim akan keliru.
Dengan sikap saling tidak percaya yang menebal dalam masyarakat, pelaksanaan reformasi dasar dan institusi di bawah MOU menjadi pencapaian luar jangkaan yang cemerlang. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Wong Chin Huat ialah ahli sains politik di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC) & Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia (JCI), Sunway University.










