fbpx

Kerajaan perpaduan leraikan kemelut politik

Setelah melalui liku-liku sepak terajang dan ‘kerenah politik’ Datuk Seri Anwar Ibrahim diabsahkan sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Perjuangan tanpa mengenal erti mengalah berbaloi apabila parti yang ditajanya membentuk kerajaan perpaduan terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) setakat ini memilih untuk menjadi blok pembangkang dalam parlimen.
Senario ini meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi Raja Berperlembagaan apabila kuasa Yang di-Pertuan Agong menjadi kata pemutus pembentukan kerajaan perpaduan kerana tiada mana-mana parti politik yang memenangi dengan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rakyat Malaysia semestinya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah penyelesaian itu yang jelas mendahulukan rakyat dan menggalakkan kerjasama antara bangsa, agama dan daerah.
Kebijaksanaan dan hemah Seri Paduka Baginda lah yang telah menyelamatkan negara ini berhadapan dengan krisis politik yang tidak diingini dan Baginda menyeru agar Malaysia akan terus aman, makmur dan stabil dengan pembentukan kerajaan.
Jelas sekali Malaysia masih subur mengamalkan sistem demokrasi dan semua pihak terutamanya pemimpin parti politik menerima ketetapan dan restu Seri Paduka Baginda dengan hati terbuka agar Malaysia akan terus gemilang.
Sebagai Perdana Menteri Perpaduan, Anwar komited mempertahankan Perlembagaan – Bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan kaum Melayu tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Beliau juga menyatakan dalam sidang akhbar bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri satu untuk BN dan salah satu Sabah atau Sarawak
Malahan Kerajaan yang diterajui akan terus menjamin dan menjaga hak semua rakyat Malaysia khususnya golongan yang terpinggir dan melarat tanpa kira bangsa dan agama.
Antara fokus utama pentadbiran beliau masa kini adalah agenda pengukuhan ekonomi dek kemelut pandemik dan politik bagi memastikan kelangsungan dan ketahanan negara.
Seperti yang diperjuangkan selama ini beliau komited untuk memerangi rasuah dan penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tatakelola (governance) pemerintahan.
Janji pertama beliau tertunai apabila  beliau tetap menolak untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri.
Begitu juga pengumuman Isnin (esok) adalah cuti umum  telah menggembirakan rakyat Malaysia.
Namun Anwar dan kerajaan perpaduan yang ditadbirnya  berhadapan dengan cabaran mendatang.
Debaran sudah tentu akan berlaku pada 19 Disember  ini apabila Anwar menyatakan akan memanggil sidang Dewan Rakyat dengan agenda awal adalah undi percaya terhadap beliau.
Apatah lagi ura-ura akan wujud undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang pertama Kerajaan Perpaduan ini.
Usul lebih utama dan mendesak adalah apabila ahli parlimen mengundi untuk rang undang-undang (RUU) belanjawan mini bagi meluluskan belanja pengurusan kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.
Ujian kepemimpinan Anwar dicabar apabila kedua-dua usul ini perlu diluluskan dengan majoriti mudah dan andai gagal, bermakna beliau tiada majoriti di Dewan Rakyat sehingga menuntut seorang pengganti Perdana Menteri dilakukan.
Persoalan juga kedengaran, bagaimana dan sejauh mana jemaah Kabinet yang akan ditubuhkan? Adakah semakin mengecil atau terpaksa menerima tuntutan semua parti politik yang dianggotai dalam Kerajaan Perpaduan?
Anwar menerima desakan daripada pemimpin parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan dalam agihan ahli Kabinet dan Menteri terutamanya Menteri Kewangan, Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Sejauh mana manifesto dan janji-janji yang dihamburkan semasa kempen PRU15 dapat dilaksanakan?  Sejauh mana pula manifesto yang berbeza parti politik perlu dilayani agar pengundi tidak tertipu?
Malah ramai yang menunggu-nunggu penurunan harga petrol dan tol seperti yang dijanjikan.
Pengundi juga dilihat mendesak dan meminta agar semua janji dari mulut Anwar  dapat dilunaskan. Begitu juga janji-janji dari rakan  Kabinet perpaduan mengandungi  himpunan manifesto dari empat gabungan parti politik.
Persoalan ini hanya dapat diperhalusi dan dirungkai apabila semua parti politik duduk semeja mencari titik pertemuan bagi mengharmoniskan setiap tuntutan dalam ‘gabungan manifesto.
Sebenarnya, menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan tidak bererti dasar sesebuah parti politik perlu menjual prinsip  sebaliknya mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama.
Kebetulan dalam masa terdekat akan diadakan dua pilihan raya di Padang Serai dan Pulau Tioman menyaksikan pertembungan sesama rakan dalam Kabinet perpaduan bertanding sesama sendiri. Sejauh mana Anwar bersikap ‘berkecuali’ dalam kempen di tempat berkenaan kerana beliau terkenal dengan aura bila berpidato yang mempersonakan.
Mungkinkah akan ada yang menarik diri demi semangat perpaduan dek kerana penamaan calon telah dibuat lebih awal sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Semua kemungkinan boleh diatasi andai anggota Kerajaan Perpaduan berjiwa besar dan profesional dalam berpolitik.
Rakyat akan terus menyaksi dan mengikuti perkembangan sosok bernama Anwar Ibrahim yang telah diangkat sebagai Perdana Menteri. Ketokohan dan kewibawaan serta pengalaman beliau diyakini akan mengembalikan kegemilangan negara ini.
Kita berdoa agar Kerajaan Perpaduan dapat menghentikan kemelut politik selama ini dan kestabilan dan perpaduan perlu menjadi formula terbaik kesejahteraan rakyat demi Malaysia tercinta.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman
Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN