Kemunculan Bersama tidak jejas pengaruh PKR - Fahmi

Kemunculan Bersama tidak jejas pengaruh PKR – Fahmi

FAHMI Fadzil ketika ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026 di Jalan Pantai Permai di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemunculan parti baharu tidak menggugat peranan PKR sebagai tonggak utama dalam Kerajaan Perpaduan sedia ada.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan keanggotaan parti serta sokongan berterusan rakyat terhadap agenda reformasi diperjuangkan PKR.

Menurutnya, PKR ketika ini mempunyai lebih sejuta ahli berdaftar dan terus mencatat peningkatan keanggotaan baharu tanpa perlu menjalankan kempen besar-besaran.

“Kalau dilihat sepanjang tempoh April hingga Mei sahaja, PKR berjaya menarik lebih 5,000 anggota baharu secara organik tanpa promosi khusus parti.

“Perkembangan itu membuktikan rakyat masih menaruh keyakinan terhadap perjuangan PKR dalam memastikan kestabilan politik dan kebajikan masyarakat terus dipelihara.

“PKR bukan sahaja mahu meneruskan agenda reformasi, malah memastikan harapan rakyat dapat dicapai melalui pentadbiran kerajaan perpaduan sedia ada,” katanya mengulas dakwaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) telah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Korban Perdana Lembah Pantai 2026 di Pustaka KL, Lembah Pantai, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Parti Bersama menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian sejak beliau mengambil alih parti itu seminggu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, hampir separuh daripada permohonan tersebut atau 46 peratus daripadanya datang daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

Dalam pada itu, Fahmi enggan mengulas lanjut mengenai kehadiran enam Ahli Parlimen PKR ketika pelancaran Bersatu baru-baru ini.

“Setakat ini tiada sebarang perkembangan baharu berhubung kemungkinan tindakan terhadap Ahli Parlimen terbabit yang menghadiri majlis pelancaran tersebut,” katanya.

Sebelum ini, kehadiran enam Ahli Parlimen PKR ke majlis peluncuran Parti Bersama baru-baru ini disifatkan sebagai tindakan yang menimbulkan persoalan terhadap kesetiaan mereka kepada parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Abdul Munim berkata, adalah adil untuk ahli dan parti PKR menuntut penjelasan daripada mereka. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN