MASALAH ketidakstabilan politik terus berlaku di negara kita apabila tiada sebuah gabungan parti utama berjaya memperoleh majoriti mudah, iaitu 112 kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berada di belakangnya. Sementara itu di sebelah Borneo, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan jumlah kerusi yang besar diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).
Dewan Rakyat dianggotai seramai 222 ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui proses pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Parti yang memperoleh kerusi majoriti akan membentuk Kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara.
Perlu diingatkan, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Keamanan dan kestabilan adalah penting supaya tidak berlakunya suasana huru-hara dalam negara. Adalah penting seorang pemimpin dilantik dengan segera bagi memimpin negara pelbagai kaum dan agama ini. Negara juga masih berada dalam tempoh pemulihan daripada penularan virus Covid-19 serta sedang menghadapi masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Masalah ketidakstabilan politik yang berlaku kini menyebabkan banyak pihak mengutarakan pelbagai jenis cadangan bagi menghentikannya. Antara cadangan dikemukakan ialah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan meliputi beberapa buah ataupun kesemua parti politik yang ada.
Apakah kerajaan perpaduan? Kerajaan perpaduan ialah sebuah kerajaan dianggotai oleh beberapa buah atau semua parti politik yang ada. Mereka yang ada di dalamnya akan mengetepikan perbezaan politik serta bergabung di bawah satu pasukan kerajaan yang sama. Ia boleh diibaratkan sebagai sebuah pemerintahan yang hampir tiada barisan pembangkang ataupun barisan alternatif lain.
Penubuhan sebuah kerajaan perpaduan dilakukan atas pelbagai faktor seperti kecemasan ataupun darurat, serangan musuh, bencana alam, ketiadaan sebuah kerajaan yang boleh memerintah negara dan lain-lain faktor lagi. Tiada tempoh waktu ditetapkan untuk kewujudan kerajaan perpaduan ini.
Semuanya terpulang pada setiap ahli politik serta parti terlibat untuk menentukan tempoh kewujudan kerajaan perpaduan ini. Selalunya kerajaan perpaduan diwujudkan untuk sementara waktu sahaja. Setelah segala masalah besar dihadapi negara berjaya diselesaikan, kerajaan perpaduan ini akan terbubar dan proses pemerintahan akan kembali menjadi seperti biasa dengan wujudnya kembali barisan kerajaan dan barisan pembangkang.
TERBANTUT
Perkara pokok yang harus ditanya kini, apakah kebaikan dan keburukan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini? Antara kebaikan yang boleh diperoleh melalui penubuhan sebuah kerajaan perpaduan ialah kita dapat mewujudkan sebuah negara atau kerajaan yang kuat dan stabil kerana kurangnya atau tiadanya pasukan ataupun barisan pembangkang akan mempertikaikan keputusan atau tindakan diambil oleh kerajaan memerintah.
Melalui penubuhan kerajaan perpaduan juga, sesuatu dasar dan polisi dapat diperkenalkan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah dengan lebih mudah serta cepat dirasai oleh semua pihak khususnya rakyat jelata kerana ahli politik dan parti terlibat sudah ada kefahaman untuk mengetepikan perbezaan politik masing-masing. Faktor kekuatan dan kestabilan dalam proses pemerintahan kerajaan perpaduan ini juga penting bagi melawan virus Covid-19 yang masih berlaku ketika ini serta masalah inflasi dan kos sara hidup sedang dihadapi.
Dengan adanya kerajaan perpaduan ini juga, ia dapat menghentikan musuh-musuh luar negara daripada mengganggu gugat keamanan dan keselamatan negara kerana fokus sepenuhnya dapat diberikan oleh pemerintah bagi memperkuatkan tahap keselamatan sempadan negara.
Pada masa sama, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan juga boleh membawa kepada beberapa keburukan. Antara keburukan paling jelas ialah dengan tiadanya barisan pembangkang yang benar-benar kuat, kerajaan perpaduan bebas melakukan apa-apa sahaja perkara yang mereka ingini.
Dengan tiadanya barisan pembangkang, proses semak dan imbang sukar untuk dilakukan. Ini sekali gus boleh membuka ruang yang luas kepada kegiatan penyalahgunaan kuasa dan jenayah rasuah oleh pemerintah. Segala yang dirangka oleh kerajaan perpaduan ini juga dilihat akan menjadi sebuah dasar atau polisi syok sendiri kerana tanpa melalui proses semak dan imbang yang sepatutnya dilakukan pembangkang.
Adalah dibimbangi juga, segala dasar dan polisi yang ingin dirangka kelak melalui kerajaan perpaduan yang tiada proses semak dan imbang bakal memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Dengan tiadanya barisan pembangkang yang kuat, sistem demokrasi negara akan menjadi terbantut serta tidak dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya sistem demokrasi negara terbantut dan tidak dapat berfungsi dengan baik, yang rugi adalah rakyat serta negara.
Terdapat juga kebimbangan dengan adanya kerajaan perpaduan ini, mereka yang berada di dalamnya akan rasa selesa untuk memerintah selama-lamanya sekali gus boleh membawa negara kita ke arah pemerintahan diktator yang boleh memusnahkan sistem demokrasi negara kita. – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










