Kepimpinan terbuka Ismail Sabri masih diperlukan - Utusan Malaysia

Kepimpinan terbuka Ismail Sabri masih diperlukan

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan ucapan penggulungan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam persekitaran yang tidak selesa. Beliau sedar banyak cabaran yang perlu dihadapi memandangkan bayangan krisis politik, ekonomi dan sosial belum dileraikan. Kebuntuan politik masih mendominasi.

Ismail Sabri memimpin mengikut caranya dan yang penting adalah impak keputusan gaya kepimpinan ke atas kerajaan dan rakyat. Ismail Sabri dianggap mempamerkan gaya kepimpinan terbuka dan yang mendasari gaya kepimpinan terbuka kerajaan beliau adalah rundingan, akomodasi dan partisipasi. Ketiga-tiga gaya kepimpinan ini wujud apabila melibatkan rakyat dalam proses kepimpinannya.

Sebagai seorang pemimpin politik di bawah nama Perdana Menteri ‘Keluarga Malaysia’, beliau cuba memobilisasi sokongan orang ramai dengan menggunakan pendekatan ‘mengurus kepelbagaian’. Gaya kepimpinan ini sebenarnya penting ketika negara memerlukan komitmen ke atas ‘merakyatkan kepimpinan’ untuk mengatasi perbezaan dan meraikan persamaan agar masing-masing menunjukkan rasa perkongsian, kepunyaan, sederhana dan tasamuh untuk mengatasi permasalahan negara bersama.

Kestabilan perlu diperbaiki pada waktu itu kerana desakan datang dari luar dan dalam parti. Ini kerana beliau mewarisi kerajaan yang tidak menentu disebabkan oleh penjajaran mandat dalam kalangan wakil rakyat. Bucu-bucu pemisah ingin dirobohkan dan dipulihkan benteng-benteng kekuatan atas gagasan ‘Keluarga Malaysia’.

Mengurus mediasi, rundingan, akomodasi, berpartisipasi dan konsensus demi menebus kestabilan negara dianggap antara cabaran cara kepimpinan beliau. Ia dilakukan secara tersusun dan berkesan agar tidak mendatangkan impak berterusan sehingga sukar melaksanakan agenda besar untuk tanah air.

Hatta, urusan parti dihadapi selaku Naib Presiden dengan memberi keyakinan di Perhimpunan Khas UMNO 2022 bahawa UMNO adalah partinya dan jaminan perbincangan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan barisan tertinggi parti selepas desas-desus wujud kem Putrajaya dan PWTC untuk menghindar persepsi ke atas kepimpinan beliau.

Penggulungan selaku Naib Presiden memberi nafas baharu. Julung kali seorang Perdana Menteri membuat penggulungan sebelum Timbalan Presiden dan Presiden UMNO. Menarik untuk melihat beliau menyampaikan pencapaiannya untuk menjawab persoalan perwakilan agar sebarang keraguan tidak menjadi polemik berterusan.

Antaranya, isu kos sara hidup, bahasa Melayu, pendidikan, Covid-19, fasa endemik, PRU15 dan pengumuman gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei lalu. Keberanian untuk memperkenalkannya ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup mesti diberikan pengiktirafan sewajarnya.

INFLASI

Ini seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa ke seluruh pelosok negara memerlukan masa untuk memastikan dari fasa pemahaman boleh ditukar kepada fasa penerapan dan seterusnya amalan. Ini juga menjadi agenda beliau.

Apabila beralih fasa pandemik kepada endemik, maka cabarannya berbeza untuk meneruskan dos vaksin tetapi waktu yang sama memantapkan pengukuhan dalam negara dengan merancakkan semula ekonomi tanah air termasuk sektor pelancongan dan jihad inflasi apabila rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barang mendadak. Ini memerlukan sistem penyampaian awam yang berakomodasi ke atas ‘rakyat’.

Peruntukan tambahan untuk sebanyak RM1 juta (menjadi RM2 juta orang) untuk membantu aktiviti persatuan belia; inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI); beberapa dana untuk peneroka Felda; blueprint perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan peruntukan 100 juta untuk Tabung Agromakanan serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Langkah lain adalah membatalkan kuota import (AP) barangan makanan luar negara; pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual dan peruntukan RM4.8 bilion dibawah JaminKerja untuk menurunkan kadar pengangguran.

Sinergi Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memperkasakan sekuriti makanan negara dan ketegasan tangani isu bekalan makanan merupakan antara inisiatif dan intervensi yang dilakukan di bawah usaha penyaluran sistem penyampaian lebih baik dari sebelumnya.

Naratif keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan kesihatan diselaraskan dengan ilmu hukum menjadi asas kepada penyampaian gaya kepimpinan Ismail Sabri. Kesemua ini dilengkapi dengan perwatakan dan sikap bertanggungjawab ke atas pembudayaan dan identiti nasional termasuk kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, komunikasi dan perhubungan rasmi.

Yang jelas, dalam pentadbiran Ismail Sabri sehingga ke hari ini, nilai perwatakan, kandungan komprehensif dan komunikasi serta kompetensi outputnya memperlihatkan ada kesinambungan tetapi pendekatannya berbeza kerana refleksi dari perubahan persekitaran politik, ekonomi dan sosial.

Asas kepimpinan politik Malaysia adalah faktor demografi, geografi dan ideologi. Beliau cuba menyesuaikan pendekatan sendiri dalam menentukan hala tuju negara di bawah gagasan Keluarga Malaysia.

Tahap awal kepimpinan Ismail Sabri menunjukkan adanya reformasi berstruktur termasuk sistem penyampaian awam dan perundangan. Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian di bawah gagasan Keluarga Malaysia menjadi formula tawaran baharu beliau.

Harapan kini adalah ia menjadi perkakas kepada usaha pengembangan dan memperkukuhkan serta mensejahterakan anggota masyarakat dengan komunikasi dan paparan kandungan yang komprehensif. Begitu juga untuk terus menjadi faktor penyatuan melalui tindakan dan keputusan yang ‘merakyatkan kepimpinan’. – UTUSAN

PROFESOR Dr. P. Sivamurugan ialah Pensyarah Sosiologi Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×