Era baharu PN di Perlis

Era baharu PN di Perlis

PARA penyokong Perikatan Nasional (PN) meraikan di Perlis kemenangan selepas berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOHD. Shukri Ramli selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu semalam, sekali gus bermulalah era baharu kerajaan negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menamatkan penguasaan lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Pesuruhjaya Pas negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu bakal menjadi Menteri Besar pertama dari Pas.

Sebelum ini ramai tidak menjangkakan PN yang diketuai Mohd. Shukri mampu menyapu bersih 14 daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Satu lagi kerusi di Indera Kayangan kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PH) buat penggal ketiga berturut-turut.

Jika sebelum ini Perlis dilihat cukup selamat sebagai kubu kuat BN dan diramal tidak menghadapi masalah mengekalkan kerajaan negeri, namun gelombang PN mula dirasai ketika Datuk Seri Shahidan Kassim bersama gabungan itu dan mula mengempur BN. Gelombang PN termasuk aura Shahidan dalam pilihan raya kali ini sekali gus menyaksikan tidak ada seorang pun wakil rakyat dari BN berada dalam Dewan negeri dalam tempoh lima tahun ini.

Kegagalan BN memperoleh walaupun satu kerusi DUN termasuk hilang kesemua tiga kerusi Parlimen adalah pencapaian terburuk parti itu di bawah kepemimpinan Datuk Seri Azlan Man yang turut tumbang di Bintong dengan majoriti besar.

Detik-detik kejatuhan BN sebenarnya sudah mula kelihatan sebaik sahaja parti itu menggugurkan Shahidan di Parlimen Arau yang kemudian mengambil keputusan mempertahankan kerusi tersebut atas tiket PN.

Shahidan yang menjadi ‘panglima perang’ bagi gabungan tersebut juga meraih majoriti cukup besar, iaitu sebanyak 23,216 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dan calon BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman.

Selain gelombang PN yang turut tempias di negeri ini, kegagalan BN juga dikatakan kerana silap percaturan khususnya dalam soal calon apabila menggugurkan calon boleh menang yang akhirnya memberi kesan kepada parti itu. Malah, Azlan juga dilihat gagal mengetuai parti dengan baik sehingga menyebabkan BN kalah teruk 18-0. Sangat memalukan.

EXCO

Sehingga hari ini, bekas Menteri Besar itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Malah naratif yang dimainkan, ‘satu undi untuk BN, satu undi kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi’ nampaknya memberi kesan apabila majoriti pengundi Melayu dan golongan muda mengambil keputusan mengundi PN.

Kerajaan negeri selepas ini pastinya bakal menjadi tumpuan dan sudah tentu mengalas tanggungjawab dan amanah cukup besar dalam mentadbir negeri ini buat kali pertama.

Bagaimanapun, wakil-wakil rakyat PN yang bakal dilantik sebagai Exco selepas ini perlu belajar dengan cepat dalam membawa negeri ini ke tahap lebih baik, iaitu sesuatu cukup diinginkan oleh rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada PN.

Kemenangan PN iaitu gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini disifatkan cukup bersejarah. Dengan slogan Perlis Baharu, sudah pastinya rakyat ingin melihat pembaharuan.

Apa yang pasti, jika sahabat saya, Saifullah Abi Jamrah yang mengabdikan dirinya dengan perjuangan Pas selama ini masih ada, sudah tentu dia akan menjadi insan paling gembira. Saifullah yang merupakan aktivis Pas yang banyak terlibat dengan kerja-kerja parti di peringkat akar umbi, meninggal dunia bulan lalu. Kemenangan Pas itu juga adalah hadiah kepadanya.

Selamat menjalankan tugas Mohd. Shukri yang bakal mengetuai kerajaan negeri bagi membawa era baharu di Perlis. Kata Mohd. Shukri dalam sidang akhbar pertama selepas kemenangan tersebut, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat adalah satu ujian dan amanah amat besar kepada gabungan ini.

“Kejayaan ini adalah satu kejayaan yang amat dahsyat apabila rakyat Perlis dilihat berani melakukan perubahan demi Bersih dan Stabil yang menjadi slogan PN.

“Kami kepemimpinan PN Perlis akan berusaha membawa pimpinan bersih dan stabil, seperti yang terkandung dalam tawaran manifesto PN Best, dan perkara ini menjadi impian seluruh rakyat negeri ini yang inginkan perubahan,” kata Mohd. Shukri. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×