Undang-undang antabangsa tidak cukup jamin kestabilan

Undang-undang antarabangsa tidak cukup jamin kestabilan

STRUKTUR Majlis Keselamatan PBB tidak mampu memberikan keputusan berkesan sebaliknya kuasa sebenar masih terletak di tangan lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis, Russia dan China. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK dan serangan Russia ke atas Ukraine berjalan lebih lapan bulan. Serangan bermula 24 Februari lalu dan sehingga kini tiada tanda-tanda konflik itu akan berakhir dalam masa terdekat. Dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 baru -baru ini, isu ini disentuh oleh banyak negara. Banyak pihak secara umumnya menyalahkan Russia yang bertindak menyerang Ukraine dan meminta supaya berundur segera bagi menamatkan konflik.

Penyelesaian konflik antara kedua-dua negara tidaklah semudah itu. Konflik itu tidak hanya melibatkan Russia dan Ukraine tetapi percaturan kuasa yang lebih besar dan meluas.

Russia tidak wajar dipersalahkan walau apa yang dilakukannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Apa yang dilakukan oleh Russia jelas bercanggah dengan Artikel 1 dan Artikel 2 Piagam PBB.

Paling jelas, percanggahan dengan Artikel 2(4) yang tidak membolehkan tindakan ketenteraan dilakukan. Tindakan Russia juga tidak memenuhi Bab VII (iaitu Artikel 39-51).

Adakah hanya Russia yang melanggar peraturan dalam Piagam PBB? Adakah tindakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada Mac 2003 dan Afghanistan (Oktober 2001) selaras dengan peraturan Piagam PBB?

Tindakan AS itu jelas bercanggah khususnya Artikel 1 dan 2, juga Artikel 51. Kenapa tidak dikenakan tindakan? Ini realiti undang-undang antarabangsa yang berbeza dengan undang-undang domestik. Yang menimbulkan persoalan lebih besar, adakah undang-undang antarabangsa itu sebenarnya undang-undang?

Apa yang sedang berlaku di Ukraine adalah sebahagian daripada percaturan kuasa era pasca Perang Dingin yang belum selesai, khususnya di benua Eropah. Sebaik sahaja berakhir Perang Dingin pada 1989 (secara rasmi 1991), AS terus bertindak meluaskan pengaruh dan mengukuhkan kuasa di Eropah Timur iaitu negara-negara bekas komunis sekutu Kesatuan Soviet,

Warsaw Pact berakhir dengan runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1991. Negara-negara bekas komunis dan bekas anggota Warsaw Pact menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Tidak ada apa-apa tentangan daripada Russia sepanjang 1990-an dan awal 2000-an. Ini kerana pentadbiran Boris Yeltsin dan kedudukan Russia yang relatifnya lemah.

Keadaan Russia berubah apabila Vladimir Putin menjadi Presiden. Dengan kebangkitan kekuatan baharu Russia di bawah Putin, AS tidak lagi bebas bertindak meluaskan pengaruh ke rantau Eropah Timur.

Ukraine adalah dalam lingkungan pengaruh dan penting bagi pertahanan Russia. Mana mungkin kuasa AS dan NATO yang meluas ke dalam lingkungan pengaruh Russia (Ukraine) dibiarkan begitu sahaja? Russia rasa terancam dan perlu bertindak.

VETO

Kenapa AS memberikan sokongan kuat kepada Ukraine? Ini bagi meneruskan perluasan pengaruh AS dan NATO ke rantau Eropah Timur. Dengan memasukkan Ukraine sebagai anggota NATO, kedudukan AS akan lebih kukuh, tetapi sebaliknya pula memberikan kemungkinan ancaman keselamatan kepada Russia.

Sejauh mana undang-undang antarabangsa di bawah PBB mampu membawa penyelesaian? Secara mudahnya kita dapat katakan struktur Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada 15 anggota tidak mampu memberikan keputusan berkesan. 10 anggota tidak tetap tidak mempunyai kekuatan. Kuasa sebenar masih terletak di tangan lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto (iaitu AS, Great Britain, Perancis, Russia dan China). Apa-apa keputusan yang bercanggah dengan kepentingan lima kuasa besar utama itu akan terbatal dengan kuasa veto.

Peruntukan undang-undang khususnya yang terkandung dalam Bab VII Piagam PBB adalah sangat murni. Artikel 39 hingga 43 dalam Bab VII andainya diamalkan akan mampu menjamin keamanan dunia.

Persoalan yang timbul, bagaimana ia akan diamalkan kerana struktur Majlis Keselamatan PBB dengan kuasa veto yang ada pada lima kuasa besar utama yang menjadi anggota tetapnya? Untuk menjadi lebih berkesan, kedudukan lima kuasa veto ini mesti dihapuskan dan keputusan berdasarkan undian demokratik. Walaupun Artikel 108 membolehkan pindaan dengan undi dua pertiga (termasuk lima kuasa veto), sangat sukar dan mustahil untuk berlaku dalam dekad-dekad terdekat ini.

Adakah struktur keselamatan bersama wajar dan mempunyai asas kukuh dalam menyelesaikan konflik ini? Jawapan mudahnya, tidak wajar dengan struktur dan peruntukan yang ada. Percaturan kuasa yang berlaku adalah lebih tertakluk kepada kepentingan operasi kuasa-kuasa besar utama. Objektif utama PBB seperti terkandung dalam Artikel 1 dan 2 Piagam PBB tidak benar-benar diterjemahkan dalam realiti dan amalan sebenar.

Apa cadangan yang mungkin boleh membawa penyelesaian konflik Russia-Ukraine? Cadangan yang wajar adalah mewujudkan Ukraine yang neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana, sama ada AS atau Russia. Biarkan Ukraine terbentuk sebagai sebuah negara neutral. Sokongan dan campur tangan daripada mana-mana kuasa besar hendaklah ditolak.

Kestabilan hanya akan terbentuk apabila keseimbangan kuasa berlaku sebagaimana pada 1947 hingga 1989 (Long Peace in Europe). Yang menjamin kestabilan bukan semata-mata undang-undang antarabangsa, tetapi keseimbangan kuasa politik antarabangsa. Undang-undang antarabangsa adalah perlu, tetapi kuasa politik merupakan syarat bagi menggerakkan pelaksanaannya. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian sarjana undang-undang (LLM in International Law) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×