Tiada isu untuk serang pentadbiran BN

Tiada isu untuk serang pentadbiran BN

BARISAN Nasional sudah menang dari sudut calon Perdana Menteri yang bersesuaian dengan aspirasi semasa anak muda kerana Ismail Sabri Yaakob (berdiri) baru berusia 62 tahun berbanding calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional masing-masing berusia 75 tahun. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 dan 19 November ini, parti-parti politik semakin giat membuat gerak kerja masing-masing bagi membuktikan mereka lebih bagus daripada pesaing. Antara yang menonjol ialah di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Ipoh, Perak pada 20 Oktober lalu. Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) jika mereka menang PRU15.

Sebelum ini di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Serdang, Selangor pada 27 Ogos lalu, Pengerusinya merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai calon PM jika PN menang PRU15.

Setakat ini PN tidak menggariskan strategi khusus selain bertumpu kepada kekuatan Pas yang terserlah melalui keputusan calon-calonnya menggunakan logo parti itu di dua kubu kuat mereka, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Strategi khusus PH pula menjadikan Perak sebagai barisan hadapan perjuangannya dengan Anwar sendiri mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang disandang oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, kelmarin Anwar juga mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman mewakili PKR dalam PRU15. Dua daripadanya di Perak iaitu anak bekas Menteri Besar Kelantan merangkap bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Pada masa sama, bila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menawarkan untuk berjumpa Anwar bagi membincangkan kerjasama antara Pejuang dan PH, Anwar menolaknya sekali gus membayangkan betapa PH tidak menganggap Dr. Mahathir sebagai faktor penting dalam PRU15.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, sememangnya Pejuang langsung tidak ada pengaruh dalam politik negara. Bayangkanlah bila semua 42 calonnya termasuk Pengerusi Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh hilang deposit mereka.

Begitupun, perlu diingat berbanding Pejuang yang masih bertatih kerana hanya baharu ditubuhkan, PKR yang ditubuhkan sejak 998 juga mengalami petanda buruk kerana tujuh calonnya dalam PRN Johor turut kalah dan hilang deposit. Lebih malang lagi bila tujuh calon baharu dikemukakan oleh Anwar bukanlah nama yang dikenali dan berketokohan, malah Nik Omar adalah calon yang turut kalah dan hilang deposit di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dalam PRU14.

Apa yang dilihat oleh majoriti rakyat ialah baik PH mahupun PN tidak ada strategi baharu yang benar-benar ampuh untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 dengan tokoh yang mereka kemukakan adalah kitar semula serta tidak selari dengan perkembangan semasa.

RISHI SUNAK

Dunia menyaksikan kelmarin betapa seorang anak muda bernama Rishi Sunak yang dilahirkan pada 12 Mei 1980 dan kini berusia 42 tahun dilantik menjadi PM Britain selepas beliau memenangi persaingan untuk memimpin Parti Konservatif. Begitulah juga trend di negara-negara lain yang semakin memilih pemimpin muda untuk mengetuai kerajaan. Namun, lihatlah calon PM dari PH dan PN masing-masing berusia 75 tahun, dilahirkan pada 10 Ogos 1947 dan 15 Mei 1947.

Dilihat seimbas lalu, BN sudah menang dari sudut calon PM yang bersesuaian dengan aspirasi semasa anak muda dan perkembangan dunia kerana calonnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilahirkan pada 18 Januari 1960, baru berusia 62 tahun.

Sebab itulah jika dilihat kepada corak kempen PH dan PN, mereka ketandusan isu untuk menyerang BN mahupun calon PM kerana Ismail Sabri tiada isu dari sudut peribadi dan pentadbiran, malah terbukti pemerintahannya selama 14 bulan. Kedua-dua PH dan PN sendiri turut mendukung pentadbiran Ismail Sabri sewaktu beliau menjadi PM dengan PH menandatangani perjanjian persefahaman untuk menyokong dan terlibat dalam menjayakan transformasi pentadbirannya.

Sudah pastilah ia akan menjadi satu perkara pelik malah lelucon jika tiba-tiba PH dan PN menyerang Ismail Sabri sebagai calon PM kerana ini akan menggambarkan kedua-duanya sebagai pemimpin tidak berprinsip. Sebab itulah juga jika dilihat kepada bahan kempen strategis-strategis PH dan PN, mereka terpaksa mengada-adakan perkara yang tidak ada semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi daripada mengundi BN.

Strategis DAP, Liew Chin Tong umpamanya menulis, “Pengundi takut kemungkinan Ahmad Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menjadi PM, Ini membayangkan masa depan yang gelap untuk Malaysia.”

Begitu juga dengan strategis PKR, Hassan Abdul Karim yang menulis mengenai ‘10 Kebimbangan Jika BN Kembali Berkuasa’ dengan kebimbangan terbesarnya ialah Ahmad Zahid menjadi PM.

Ini semua dakwaan karut semata-mata ditimbulkan oleh pihak yang ketandusan isu kerana sejak 14 April lagi, UMNO dan BN secara sebulat suara memutuskan Ismail Sabri adalah calon PM dalam PRU15.

Mengaitkan Ahmad Zahid dengan wajah lama UMNO yang bermasalah adalah sesuatu perkara batil kerana beliau sendiri sudah berkali-kali membuat penegasan bahawa yang akan menjadi PM mewakili BN adalah Ismail Sabri. Malah beliau sendiri menegaskan, calon UMNO dan BN adalah 70 peratus muka baharu dalam kalangan ‘wali’, iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable). Perkara ini terbukti dalam PRN Johor dan sebelumnya, PRN Melaka.

Melihat kepada corak kempen yang berlaku sekarang, berkemungkinan pengundi mendapat gambaran bahawa PRU15 akan menjadi pusara politik kepada Anwar dan Muhyiddin sekali gus membuka ruang kepada politik baharu Malaysia. – UTUSAN

DR. Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN