Serah saman menerusi WhatsApp

Serah saman menerusi WhatsApp

NEGARA-NEGARA maju seperti Amerika Syarikat, England dan negara-negara Eropah membenarkan saman dihantar menerusi media elektronik seperti Facebook, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah untuk menjalankan prosiding menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh disambut baik bukan hanya oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, bahkan daripada pengamal undang-undang syariah seluruh negara.

Manakan tidak, penggunaan teknologi sebegini merupakan ‘mekanisme’ penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam waktu yang munasabah tanpa sebarang kerumitan tidak wajar.

Seksyen 72 (A)(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) dan Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) tersebut mendefinisikan teknologi komunikasi jarak jauh sebagai apa-apa cara komunikasi elektronik termasuk e-mel, aplikasi sidang video atau rangkaian video atau apa-apa saluran digital lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kebenaran bagi mengguna pakai teknologi ini boleh diberikan sama ada ketika pendengaran atau penghakiman dari mana-mana tempat menurut Seksyen 119A Enakmen Tatacara Mal negeri tersebut.

Sesungguhnya pindaan pertama kali seumpama ini tidak lain bagi memastikan sistem perundangan dan kehakiman syariah sentiasa dipandang adil, bersifat murunah (fleksibel) dan mengelak tohmahan terhadap sistem keadilan Islam.

Walaupun terdapat pindaan terhadap prosiding perbicaraan, namun tiada peruntukan berhubung penyampaian saman secara dalam talian sama ada menerusi e-mel, Facebook, WhatsApp, Telegram mahupun lain-lain aplikasi internet.

Menurut kajian yang saya lakukan di Selangor terhadap 669 kes talak dan taklik sepanjang 2015 hingga 2019, didapati 3,355 penangguhan kes di peringkat sebutan yang berpunca daripada 25 alasan berbeza.

Peratusan terbesar iaitu 714 penangguhan (21%) adalah penyampaian saman tidak berjaya diserahkan kepada defendan. Kegagalan ini berlaku apabila defendan (majoritinya suami) menghilangkan diri, tidak diketahui alamat terakhir atau berada di negeri/negara berbeza.

Kesan kegagalan tersebut menyumbang kepada ketidakhadiran defendan ke mahkamah. Malah, menurut analisis yang dilakukan juga didapati purata ketidakhadiran defendan bagi prosiding sebutan adalah tinggi iaitu mencecah 60 peratus.

Di Amerika Syarikat (AS), perbincangan mengenai keperluan untuk menambah baik sistem penyampaian saman bermula semenjak 1950 menerusi kes Mullane lwn. Central Hanover Bank & Trust Co. Menerusi kes ini, mahkamah menegaskan bahawa undang-undang perlu sentiasa bersedia dengan mengguna pakai kaedah-kaedah altenatif terutama apabila alamat defendan tidak diketahui dan dalam masa sama pergerakan manusia menjadi semakin tidak terhad.

BLUE TICK

Semenjak kes tersebut, mahkamah bukan hanya mempelbagaikan kaedah penyampaian tetapi turut menyatakan bahawa kaedah penyampaian kendiri, pengiklanan dan surat berdaftar belum mencukupi bagi ‘mengejar’ pergerakan manusia yang tidak terbatas.

Semenjak alaf ke-21, negara-negara maju seperti AS, England dan negara-negara Eropah lain mula memberikan kebenaran agar saman dihantar menerusi media elektronik seperti Facebook, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Di Australia, pendekatan sama turut diguna pakai terhadap kaedah penghantaran saman. Bezanya, Peraturan 10.24, Federal Rules of Australia memperuntukkan sekiranya penyampaian dokumen adalah tidak praktikal untuk dilakukan, maka pihak-pihak boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi kaedah lain yang difikirkan lebih baik dan munasabah.

Dalam kes Child Support Registrar Applicant lwn. Leigh, Federal Magistrates Court membenarkan plaintif mengguna pakai kaedah SMS untuk memaklumkan defendan mengenai pemfailan kes tersebut.

Penerapan penyampaian saman secara elektronik ini juga dikuatkuasakan di India dan Indonesia. Di India, buat julung kalinya pada 2017, Court of Financial Commissioner dalam kes Satbir lwn. Ramdiyal and Krishan Kumar mengarahkan plaintif yang berada di Haryana, Chandigarh menghantar saman kepada defendan di Kathmandu, Nepal menerusi aplikasi WhatsApp. Menariknya, mahkamah turut menerima keterangan bahawa blue tick (dibaca) kepada mesej yang dihantar merupakan bukti penerimaan saman tersebut.

Di Indonesia, penyampaian saman menerusi media elektronik bukanlah perkara baharu. Peraturan Mahkamah Agung (PERMA) No. 3 Tahun 2018 mengenai Administrasi Perkara di Pengadilan Secara Elektronik memperkenalkan e-Saman yang menjadi suatu usaha badan kehakiman untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi mengelak daripada berlaku penangguhan kes secara tidak munasabah.

Di Arab Saudi, Artikel 13 Undang-undang Prosedur Syariah membenarkan Supreme Judicial Council untuk mengeluarkan Pekeliling No. 1020/T bertarikh 21 Januari 2018 yang memperuntukkan pemberitahuan secara elektronik sebagai sah menurut undang-undang.

Sama ada di negara-negara maju, Arab Saudi serta India malah di Indonesia sekalipun, mahkamah membenarkan penyampaian saman diserahkan menerusi aplikasi teknologi jarak jauh bagi mengelak kelengahan penyelesaian kes secara tidak munasabah. Penghantaran saman tersebut bukan hanya melangkaui bidang kuasa negeri, malah merentasi sempadan benua.

Sudah tiba masanya penggubal undang-undang mahkamah syariah di seluruh Malaysia melangkah dengan lebih progresif, menghilangkan birokrasi dan memanfaatkan kaedah baharu bagi memastikan sistem penyampaian keadilan dapat dicerna sebaiknya. Saban hari, pergerakan teknologi bertambah pantas, justeru kita tiada masa untuk terus terpacak di takuk lama. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×