CHAGAR Hutang di Pulau Redang, Terengganu sinonim dengan pendaratan penyu bertelur dan telah ditutup kepada umum selepas diwartakan sebagai pusat santuari penyu oleh kerajaan negeri pada 2005.
Semenjak itu, hanya penyelidik dan sukarelawan Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibenarkan berada di pantai itu.
Santuari Penyu Chagar Hutang terletak di bahagian utara Pulau Redang yang merupakan tempat pendaratan utama penyu agar dan penyu karah dengan jumlah sarang antara 700 hingga 1,700 setiap tahun. Ia merupakan teluk terpencil dan terlindung yang dikelilingi oleh tebing berbatu.
Pantainya sepanjang 350 meter berbentuk bulan sabit, perairan biru jernih dan terumbu karang yang asli serta persekitaran sesuai bagi penyu berehat dan makan sebelum pergi ke pantai untuk bersarang.
Namun, pada tahun ini, kita dikejutkan dengan kematian penyu di perairan Terengganu yang semakin menjadi-jadi. Saban hari ada sahaja berita kematian penyu dilaporkan dan kebanyakannya adalah spesies penyu agar.
Sepanjang Januari hingga September lalu, dianggarkan 70 kematian penyu dicatatkan. Apa yang menyedihkan, hasil laporan kematian turut melibatkan khianat dan kerakusan manusia. Menurut laporan media pada 21 Julai lalu, seekor penyu agar betina mati dengan kesan kelar di leher di perairan Pulau Kapas, Marang dipercayai dibunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
BATU BATA
Laporan pada 23 Julai lalu pula menyatakan terdapat batu bata diikat pada bahagian kepala dan kaki penyu agar. Keadaan ini jelas membuktikan terdapat perbuatan khianat kepada spesies ini dan kita tidak boleh hanya berdiam diri.
Kepupusan penyu belimbing merupakan antara penyumbang utama lambakan pendaratan ubur-ubur terutama daripada spesies ubur-ubur api berwarna biru atau Portuguese man o’war di perairan. Situasi tersebut menyebabkan berlakunya gangguan terhadap rantaian makanan dan ekosistem laut sekali gus memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat.
Kemuncak musim penyu bersarang adalah dari Mei hingga Julai setiap tahun. Pada musim ini, penyu akan naik ke daratan dan memilih lokasi sesuai untuk bertelur seterusnya kembali semula ke habitatnya.
Kehadiran penyu di pulau-pulau Terengganu menjadi daya tarikan para pelancong dalam dan luar negara. Namun mutakhir ini, spesies hidupan marin ini kian terancam akibat kerakusan manusia dan faktor alam semula jadi.
Menyedari keadaan itu, kerajaan negeri memberi fokus utama dalam aktiviti pemuliharaan penyu kerana ia boleh dijadikan daya tarikan pelancong malah untuk terus mengekalkan habitat ini daripada terus pupus.
Oleh itu, usaha menjaga dan mengawal perlu diberi perhatian terutama dari aspek pemuliharaan dan memastikan keadaan habitat marin ini tidak diganggu dan terancam. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).










