PERLIS, salah sebuah negeri yang masih menjadi deposit tetap atau kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam setiap kali pilihan raya umum (PRU) termasuk berjaya mengekalkan penguasaan pada PRU14 di sebalik ‘tsunami’ politik yang menumbangkan kerajaan BN selepas 60 tahun di peringkat Pusat. Meskipun diramal tidak berdepan masalah mengekalkan kerajaan negeri dalam PRU15, BN pastinya tidak boleh leka memandangkan dalam pilihan raya lalu parti itu tewas enam kerusi iaitu Parlimen Kangar serta lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Lapan daripada 10 kerusi DUN yang dimenangi BN pula adalah dengan majoriti di bawah 1,000 undi. Sudah pastinya parti-parti politik lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengintai peluang untuk merampas negeri ini buat kali pertama daripada BN pada PRU15 nanti.
Mengambil formula kejayaan luar biasa BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini dengan menampilkan lebih ramai calon muka baharu khususnya dalam kalangan anak muda, BN Perlis juga tidak salah jika mengambil langkah sedemikian. Ketika ini, BN masih belum mengumumkan senarai calon bertanding, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi jaminan bakal menampilkan lebih 70 peratus muka baharu.
Di Perlis, muka baharu yang disebut-sebut bakal dikentengahkan sebagai calon antaranya Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya. PRU15 mungkin menjadi masa yang tepat bagi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu dipilih sebagai calon selepas tercicir dalam PRU14.
Selain berpengaruh di peringkat Pusat, nama Fathul Bari merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar juga bukanlah asing dalam kalangan penduduk di negeri ini khususnya di Kangar apabila sudah bertahun-tahun turun padang dan bekerja mendekati rakyat di kawasan berkenaan.
Mempunyai pendidikan tinggi, berlatar belakang agama yang baik selain mempunyai pengalaman luas di peringkat kerajaan, swasta, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nama Fathul Bari mempunyai potensi besar diketengahkan sebagai calon dalam PRU15. Jika di Parlimen, Kangar mungkin kerusi paling sesuai untuk beliau seterusnya jika menang menjadi antara pemimpin muda dalam UMNO berpotensi diketengahkan di peringkat Pusat sebagai menteri atau timbalan menteri. Di peringkat DUN, antara kerusi yang dikaitkan dengan beliau seperti Bintong atau Kayang dan juga disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar.
Selain Fathul Bari, calon muka baharu lain yang disebut-sebut adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar.
Nama Syed Atif bukanlah asing dalam kalangan ahli UMNO, malah pengaruh beliau yang mula berkecimpung dalam politik sejak 2005 cukup kuat khususnya dalam kalangan orang muda.
Selepas beberapa kali disebut-sebut bakal menjadi calon termasuk dalam PRU14, pilihan raya kali ini nampaknya menjadi masa terbaik bagi Syed Atif. Dalam PRU15, nama Syed Atif yang juga Exco Pemuda UMNO dikaitkan bertanding di DUN Pauh yang sudah cukup sinonim dengan beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA negeri, Ng Sing Phing juga antara calon muka baharu menjadi sandaran untuk merampas kembali DUN Indera Kayangan selepas dua penggal dikuasai PKR. Nama Sing Phing, seorang anak muda berusia 36 tahun yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bukanlah asing di Perlis khususnya di Indera Kayangan. Ini berikutan komitmennya yang sering turun padang menyantuni rakyat menyebabkan beliau disenangi penduduk di kawasan berkenaan.
Selain Sing Phing, seorang lagi wakil dari MCA, Lim Weng Khee juga antara muka baharu yang disenarai pendek sebagai calon di Indera Kayangan. Ketua Pemuda MCA Bahagian Padang Besar itu juga antara pemimpin muda yang cukup disenangi khususnya di kawasan Indera Kayangan dan tidak mustahil diketengahkan sebagai calon muka baharu BN.
Selain itu, nama Exco Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin, 34, juga antara yang berpotensi sebagai muka baharu diketengahkan sebagai calon di negeri ini.
Gabungan muka baharu dan lama yang berpengalaman sudah pastinya akan memberi lebih kesegaran dan kekuatan kepada BN negeri terus mengekalkan penguasaan di Perlis dalam PRU15. Apa pun, menjelang pengumuman calon BN, pucuk pimpinan parti sudah pastinya bakal memperhalusi calon-calon terbaik untuk diketengahkan dalam PRU15 yang boleh memberi kemenangan kepada BN.
Apa yang pasti, pemilihan calon khususnya bagi mengekalkan negeri kubu kuat BN itu perlu dilakukan dengan sebaiknya dengan individu yang bakal diketengahkan itu perlulah disenangi dan diterima rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










