BERDEBAR dan sentiasa berkeringat. Inilah gambaran tepat perasaan yang membelenggu setiap warga The Navy People apabila masa yang ditunggu semakin hampir. Eksesais Kerismas, nama keramat yang penuh kemegahan dan digeruni oleh setiap warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Tidak hanya mencetus kegusaran kepada setiap pegawai TLDM, malahan adrenalin setiap anak kapal turut meningkat tatkala eksesais ini mula membuka tirai.
Bagi setiap individu yang pernah menyertai eksesais tahunan ini, pastinya teruja untuk berkongsi cerita tentang pengalaman dilalui. Ini kerana eksesais mega ini sangat-sangat menuntut komitmen The Navy People yang menyertainya untuk bersiap siaga sebilang masa. Malahan ada juga yang tidak lagi dapat membezakan siang dan malam akibat pengisian evolusi yang gencer.
Kerismas adalah eksesais tahunan TLDM berskala besar menggabungkan aset-aset Armada Barat dan Armada Timur. Objektif utamanya untuk mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset TLDM serta menguji kecekapan warganya dalam mengendalikannya.
Tahun ini, Armada Timur menjadi kawasan pelaksanaan eksesais. Mulai 29 September lalu hingga 23 Oktober ini, latihan fasa di laut berlangsung di perairan Laut China Selatan. Eksesais terbesar ini turut mengorek titik tenang bagi barisan kepimpinan di kapal kerana slot Chief of Navy Inspection (CINSPEC) iaitu siri penilaian dan pemeriksaan kesiagaan oleh Panglima Tentera Laut turut dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM. Antara aspek yang diperhalusi dalam penilaian adalah keupayaan ketahanan elemen platform, people and process.
Mengimbau sejarah pelaksanaan eksesais, ia berubah mengikut peredaran masa dan kemampuan ekonomi negara. Setelah dianjurkan semula pada 2014, eksesais ini terus diberi pendekatan berbeza di mana bermula 2015 sehingga 2018, ia dikenali sebagai Eksesais Angsa yakni gabungan Kerismas dan Angkasa Raya melibatkan aset-aset TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penggabungan ini bertujuan menjimatkan kos latihan selain turut meningkatkan efisiensi dalam penggunaan aset kedua-dua angkatan pertahanan. Namun begitu pada 2019, berdepan dengan masalah keusangan aset, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany mengarahkan Eksesais Kersimas dan CINSPEC dilaksanakan secara intra dalam usaha mengukur kesiagaan TLDM sendiri pada tahun pertama pemerintahan beliau.
Untuk rekod, sehingga kini dianggarkan hampir 75 peratus jentera utama kapal-kapal TLDM telah melepasi tempoh penggunaan dan senggaraan selamat. Berikutan hasil penemuan dan penilaian daripada Eksesais Kerismas dan CINSPEC 2019, keutamaan To Float and To Move diterapkan oleh pengurusan tertinggi TLDM bersesuaian dengan jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan yang diterima oleh TLDM daripada kerajaan.
Tujuan utama konsep ini untuk menyediakan aset TLDM yang mampu menggalas tugasan operasi secara optimum dengan kekangan aset dan peruntukan sedia ada. Dalam masa sama, isu kompetensi warga kapal TLDM turut diberikan penekanan oleh pengurusan tertinggi setelah hasil penilaian jelas menunjukkan kompetensi warga juga pada tahap kritikal setelah banyak platform tidak mampu beroperasi secara optimum.
PEMBINASA
Pelbagai usaha dalaman dilaksanakan bagi mencapai aspirasi pengurusan tertinggi TLDM, antaranya program repowering kapal-kapal pembinasa laju dan kapal ronda yang melibatkan hampir keseluruhan sistem kuasa gerak kapal ditukar baharu, melaksanakan proof of concept combat managament system yang dibangunkan di dalam negara, perolehan aset-aset baharu seperti kapal misi pesisir (LMS), bot pemintas laju, helikopter operasi maritim AW139 dan sistem pemantauan tanpa pemandu Scaneagle.
Bagi meningkat kompetensi warga kapal, beberapa eksesais berskala kecil menjadi rutin mingguan, bulanan dan suku tahun oleh Armada Barat dan Timur seperti Thursday War, Pangkor War, Borneo War dan Operational Sea Training Exercise West dan East. Penilaian kompetensi warga kapal juga dilaksanakan dengan sistematik menggunakan kaedah penilaian kad skor.
Justeru, Eksesais Kerismas 27/2022 dan CINSPEC 2022 akan menjadi medan bagi pengurusan tertinggi melihat di tahap manakah armada TLDM berada sekarang. Dalam masa sama, menjadi saksi sama ada aspirasi yang digariskan iaitu To Float dan To Move berjaya dicapai atau sebaliknya. Konsep ini juga untuk menyediakan aset TLDM yang mampu menggalas tugasan secara optimum dengan kekangan aset dan peruntukan sedia ada.
Bagi eksesais kali ini, 23 kapal, sebuah kapal selam serta 2,073 personel termasuk elemen Pasukan Khas Laut (Paskal) terlibat secara langsung. Kendatipun dihimpit dengan isu kapal yang kian keusangan dan menua, TLDM terus menyandar impian dan harapan kepada kepimpinan kerajaan dalam merealisasikan perolehan aset-aset baharu bagi memperkasa peranannya. Dengan sokongan serta perhatian yang diberikan terutama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan kepada TLDM, pastinya inisiatif pertahanan negara ini tidak hanya menjadi angan-angan mat jenin.
Jurang keupayaan peperangan TLDM yang kurang setaraf berbanding angkatan negara serantau pasti dapat diubah dengan jaminan kerajaan bahawa program kapal tempur pesisir (LCS) akan diteruskan selain perolehan LMS edisi kedua dapat dinyatakan dalam masa terdekat. Dengan penambahbaikan ke atas sistem persenjataan dan penderia terbaharu, edisi kedua ini dijangka lebih tangkas dan berkeupayaan berbanding LMS sedia ada.
Di samping itu, pembangunan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu perlu disegerakan mengambil kira keperluan operasi dan geostrategik serta menjamin kedaulatan Zon Maritim Malaysia ketika ini.
Sekali pun fasa yang dilalui sepanjang eksesais ini bukanlah semanis gula, namun segala pahit jerih yang bakal dirasai pastinya memberi suatu kepuasan buat warga The Navy People yang sememangnya dahaga dalam mempamerkan semangat luhur dan sifat Sedia Berkorban.
Dengan kehadiran angkatan laut negara di perairan Laut China Selatan sepanjang Eksesais Kerismas 27/2022 pastinya dapat memberi impak positif serta keyakinan kepada komuniti maritim bahawa TLDM sentiasa komited dan bersemangat dalam memelihara kedaulatan wilayah maritim Malaysia. – UTUSAN
LAKSAMANA Pertama Dr. Najhan Md. Said ialah Pengarah Eksesais Kerismas 27/2022.










